Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
CEO Finas perjelas gesaan supaya k'jaan kawal Netflix
Diterbitkan:  Nov 17, 2019 5:02 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri tampil menjelaskan laporan media semalam yang memetik kenyataannya supaya kerajaan mengawal selia kandungan digital, termasuklah Netflix.

Katanya, Finas tiada kuasa untuk menapis isi kandungan digital.

"Di sini saya ingin memperjelaskan perihal kenyataan media yang mana tajuk utamanya mengatakan Finas akan usul pada kerajaan untuk tapis Netflix.

"Untuk makluman juga Finas tiada kuasa untuk menapis, tetapi dalam konteks kandungan digital, Finas sentiasa akan mencari jalan terbaik untuk memperkasakan kandungan tempatan agar ianya akan memberi impak yang positif pada masyarakat dan negara. Ahmad Idham CEO Finas," katanya pada ciapan di Twitter.

Menurut Ahmad Idham, beliau cuma mencadangkan kerjasama antara Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Finas untuk menganjurkan forum atau seminar bagi membincangkan isi kandungan cerita dalam talian yang tidak ditapis.

Beliau berkata hal itu dikemukakannya pada majlis forum 'Keluarga Sejahtera 2019' di Universiti Teknologi Malaysia semalam.

"Semasa Seminar Keluarga Sejahtera 2019 di UTM KL, saya berkata saya mengambil maklum keluhan di zaman siber ini yang bertanyakan akan kemasukan cerita-cerita yang tidak ditapis.

"Apa yang saya cadangkan adalah untuk adakan satu kerjasama antara Finas dan pihak NCWO mewujudkan satu forum atau seminar untuk membahaskan isu ini dalam konteks memperkasakan kandungan digital pada masa akan datang," jelasnya lagi.

Kenyataan beliau semalam yang dilaporkan media menggesa kerajaan mengawal selia Netflix telah menerima kritikan warga maya dengan ramai berkata tiada keperluan penapisan memandangkan terdapat aturan kawalan ibu bapa pada aplikasi tersebut.

Semalam, Ahmad Idham dipetik Bernama berkata hala tuju Finas ialah menghasilkan kandungan yang sarat dengan nilai-nilai murni.

Bagaimanapun, beliau berkata kandungan filem dan program yang ditawarkan melalui platform digital seperti Netflix tidak ditapis selain mempunyai rangkaian yang lebih meluas berbanding rangkaian televisyen tempatan.

"Kalau kita kawal kandungan di platform media tempatan sahaja tetapi kandungan (dalam talian) program antarabangsa terbuka kepada sesiapapun, ia akan tetap merisikokan pembangunan minda anak-anak kita,” katanya.

Ahmad Idham selanjutnya berkata pihaknya telah berjumpa dengan Lembaga Penapisan Filem dan menyuarakan isu itu serta berharap akan ada kawalan yang lebih baik terhadap kandungan filem dan program yang ditawarkan platform dalam talian.

CEO Finas bukanlah orang pertama yang membangkitkan isu mengenai Netflix.

Pada Mac tahun ini, MP Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid turut menyuarakan keprihatinan mengenai adegan seks dan cerita berkisar LGBT dalam saluran digital Netflix.

Lihat Komen
ADS