Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hans Isaac: Saya di sini bukan untuk cari suka orang

Diberi kepercayaan menduduki kerusi panas dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hans Isaac, mengakui mencari sebab untuk membuat ramai orang menyukainya bukan tanggungjawab utama yang ingin diperjuangkan.

Bergelar sebagai pengerusi Finas, Hans Isaac berkata, masa yang ada padanya agak terhad. Justeru, kesempatan yang ada, katanya, tidak boleh dibazirkan sebaliknya perlu difokuskan bagi menyelesaikan isu-isu yang membelenggu agensi itu sejak bertahun-tahun lalu.

“Saya di sini bukan untuk cari suka orang. Kami (Finas) komited untuk industri hingga ada kalanya terlebih berkerja.

"Minta maaf kalau ada individu berkata saya sombong, tapi semuanya sebab ada banyak perkara perlu dilakukan dalam sehari untuk kementerian dan industri,” katanya.

Menurut penerbit, pengarah dan pelakon itu, dia menerima jawatan tersebut kerana beranggapan ada pengalaman pada dirinya yang boleh digunakan untuk membawa pembaharuan kepada Finas.

“Saya rasa boleh membantu dapatkan keputusan terbaik. Ini janji saya untuk bantu industri.

"Kalau tak, orang lain patut ambil tempat saya. Cuma orang-orang ni perlulah bersabar dulu,” katanya.

Ada pengumuman lain lagi

Hans Isaac ditemui pada majlis pelancaran program Stand Up Comedy Otai di Pusat Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Pelakon Baik Punya Cilok itu dilantik Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjadi pengerusi Finas pada awal April lalu. Sebagai reaksi segera Hans Isaac, 48, berkata antara matlamatnya di Finas ialah mahu menaikkan kualiti filem tempatan serta memperjuangkan kebajikan penggiat seni tanah air.

Baru-baru ini, namanya menjadi kecaman sesetengah pihak selepas mengumumkan larangan mana-mana penerbit menggunakan pelakon muda untuk dimekap menjadi watak tua.

Syarat yang dijadual berkuat kuasa 1 Jan 2020 itu menerima tentangan segelintir pemain industri yang antaranya menyifatkan ia bukan situasi menang-menang. 

Selain itu, ada juga berpendapat, Finas sewajarnya menumpukan kepada perkara lain yang dianggap lebih wajar dan bukannya mengangkat isu remeh.

Menjawab kontroversi berkenaan, Hans Isaac berkata, syarat solekan berkenaan memang dikenakan terhadap semua stesen televisyen namun ia bukanlah mutlak sebagaimana dianggap segelintir pihak.

“Ia bukan satu kemestian,” katanya.

Menurut Hans Isaac, larangan tersebut - bagi menjaga kebajikan pelakon veteran - hanya satu daripada berpuluh-puluh isu yang dijangka akan diumumkan kemudian.

“Agenda Finas antaranya nak selesaikan isu hak cipta, kaedah pengurusan dan pengeluaran dana, tapi tu semua mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

“Isu besar ambil masa agak panjang untuk diselesaikan berbanding isu kecil," katanya.

Terbaru, kata Hans Isaac, Finas juga menaja 250 artis veteran mendapatkan polisi insurans di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selain mendapatkan bayaran lebih tinggi untuk penerbit drama, cerekarama serta dokumentari.

Katanya hal itu sedang diteliti Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, di sebalik kecaman yang diterima, Hans Isaac berkata, dia menghormati pandangan yang dilontarkan oleh mana-mana individu kepadanya.

Lihat Komen
ADS