Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak gamak suruh pelakon veteran tunggu berjam-jam
Diterbitkan:  Nov 21, 2019 3:40 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Sebagai pengarah, penerbit dan pelakon, ada sebab Michael Ang membantah peraturan baru - bakal dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tahun depan - yang tidak membenarkan pelakon baru disolek menjadi tua.

Bagi Michael, antara kekangan untuk melaksanakan peraturan berkenaan ialah, tenaga kerja dan stamina segelintir pelakon veteran yang dilihatnya tidak secergas pelakon muda.

“Bukan semua pelakon veteran boleh berlakon (dengan baik). Ada segelintir daripada mereka nak ingat line (dialog) pun tak boleh ingat.

“Penggambaran kalau sampai empat atau lima jam, lepas tu mereka dah lemah. Kita sebagai pengarah dan penerbit tak sanggup nak suruh mereka tunggu di set penggambaran.

“Kadang-kadang, kita sengaja tukar jadual, tak apalah... bagi pelepasan balik dulu sebab tahu mereka dah penat dan lelah,” katanya di media sosial.

Semalam, Finas mengumumkan pelakon muda tidak lagi boleh dimekap bagi menjayakan watak orang tua dalam mana-mana drama mahupun telefilem.

Pengerusinya, Hans Isaac, berkata watak lebih berusia wajib diberikan kepada pelakon veteran sebagai langkah menjaga hak dan kebajikan mereka dalam industri.

Sekat bakat pelakon

Selain itu, katanya, ia dibuat bagi memastikan artis veteran mempunyai jaminan pekerjaan. Finas juga menetapkan supaya ada tempoh atau jam tertentu dalam produksi akan diperuntukkan untuk golongan berkenaan.

Menurut Hans, peraturan baru itu bakal dikuatkuasakan ke atas semua stesen penyiaran bermula Januari tahun depan. 

Michael berkata, Finas seharusnya memikirkan perkara tersebut dengan lebih teliti sebelum terus membuat keputusan yang disifatkannya tidak masuk akal.

Justeru, kata Michael, 43, Finas wajar memberikan pilihan kepada produksi dan bukan terus mengenakan peraturan sedemikian walaupun tujuannya ingin menjaga kebajikan artis veteran.

Syafiq Kyle.

“Kena fikir semua tu sebelum buat peraturan ni semua, yang saya rasa tak masuk akal,” katanya.

Peraturan dikenakan Finas juga kata Michael ibarat menutup periuk nasi sebelah pihak kerana dirasakannya bukan situasi menang-menang kepada produksi.

“Kalau kata pelakon veteran tak ada orang ambil, ia hanya disebabkan satu perkara saja iaitu bajet, bajet… Kalau ada bajet cukup kita ambil je,” katanya.

Selain itu, menurutnya, peraturan berkenaan juga akan mengehadkan kredibiliti seseorang pelakon bagi membawa watak berbeza-beza.

“Contoh, ambil Syafiq Kyle. Dia berlakon sampai 38 tahun, umur 40 lebih mesti kena mekap bagi nampak tua.

“Tapi takkan umur 40 lebih aku kena tukar pelakon lain, tak masuk akal, ni hadkan bakat pelakon,” katanya.

Lihat Komen
ADS