Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ramli Ibrahim: Motac tak cukup visi, k’jaan ulang silap sama

WAWANCARA | Bimbang dengan perkembangan seni dan budaya tanah air yang dilihat hambar, kerajaan Pakatan Harapan diseru segera membawa perubahan terutama melantik calon kepimpinan yang komited menjalankan tugasnya bagi memajukan industri berkenaan.

Penari dan koreografer tarian klasik India terkenal, Ramli Ibrahim, 66, berkata demikian berdasarkan pemerhatiannya terhadap situasi berlaku dalam industri yang dianggap berada jauh daripada tahap cemerlang.

“Saya fikir Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) tidak mempunyai visi cukup kuat dalam menjadikan seni dan kebudayaan sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

“Terlalu banyak usaha perlu ditingkatkan dalam bab ini terutama apabila melihat bagaimana perkembangan Tahun Melawat Malaysia 2020 di bawah kementerian tersebut.

“Tapi di mana festivalnya? Malaysia tak boleh hanya ada sebuah bandar perniagaan, ia harus diseimbangkan dengan kebudayaan sekali. Tapi yang dilihat sekarang bab kebudayaan itu seperti tak menjadi. Where is the serious art (mana seni yang serius)?” katanya.

Mohamaddin Ketapi, menteri Motac

Menambah kegusarannya, pengerusi Sutra Foundation itu berkata, beliau melihat pelbagai kesenian tradisi, budaya dan warisan misalnya diketepikan apabila keistimewaannya tidak dapat difahami.

"Di manakah Mak Yong kita, opera Cina, atau kesusasteraan hebat yang sepatutnya disusun di rak-rak Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.

Sutra Foundation yang dilancarkan pada 2007 oleh Ramli sebagai usaha memupuk lebih banyak minat masyarakat dalam tarian tradisional dan seni persembahan.

Bagi penerima Padma Shri - anugerah tertinggi dari India itu - kerajaan Malaysia Baru dikatakan kurang memainkan peranan dalam memartabatkan seni dan kebudayaan ke tahap sewajarnya ekoran terlalu sibuk “membersihkan kerosakan” pemerintah terdahulu.

“Banyak dana (kerajaan) yang diperuntukkan untuk memajukan seni dan budaya tak disalurkan kepada penggiat seni sebaliknya lebih kepada infrastruktur birokrasi. Ia seolah-olah suatu tragedi yang sedang berlaku ketika ini.

“Dan cukup merisaukan apabila kerajaan sekarang seakan-akan mengulangi kesilapan sama seperti pemerintah sebelum ini yang memandang sambil lewa manfaat seni dan budaya sebagai berpotensi menjana ekonomi negara,” katanya.

Ramli Ibrahim.

Namun, kata Ramli, di sebalik kebimbangannya, masih ada sinar buat kelangsungan seni dan budaya tanah air apabila usaha itu kebanyakannya digembleng oleh individu dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pada dasarnya orang-orang inilah yang melakar naratif mereka sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pengamal-pengamal seni tersebut masih perlu berdepan kekangan terbesar iaitu dari segi dana atau modal.

Mengambil contoh Sutra Foundation itu sendiri, kata Ramli, ia bukanlah sebuah syarikat yang menjadi kegemaran untuk menerima bantuan kerajaan padahal ia dianggap kebanyakan orang sebagai duta kebudayaan terbaik di negara ini.

“Sudah begitu lama kami diabaikan. Tapi saya perlu berterima kasih kepada masyarakat yang sering menjadi penyokong terbaik kami.

“Kerana merekalah kami masih mampu bertahan hingga bertahun-tahun. Bagi saya, Sutra Foundation perlu dilihat sebagai relevan di luar dan dalam negara,” kata penerima anugerah Warisan Kebangsaan Orang Hidup itu.

Ramli Ibrahim.

Untuk rekod, anugerah berkenaan diberikan kerajaan selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan beliau sebagai Unesco Living Treasure pada tahun 2012.

Justeru, kata beliau, pelantikan seseorang yang berkaliber bagi melakukan tugas-tugas berkaitan seni dan kebudayaan tanah air dilihat amat penting.

“Kerajaan perlu melantik seseorang yang dipercayai mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik, bukan berpaksikan agenda politik semata-mata.

“Secara spesifik, kita perlu tangani isu ini dengan lebih berkesan, mungkin kita perlu rombak kabinet atau tukar menteri yang tak berfungsi supaya dapat bawa visi dan tenaga baru dalam memartabatkan seni dan budaya demi masa depan negara.

“Tugas saya menari. Bagi saya, kerajaanlah sepatutnya membantu menaikkan seni dan budaya negara. Bukan saya yang kena habiskan masa fikirkan caranya bagaimana," katanya.

Lihat Komen
ADS