mk-logo
Seni & Hiburan
Karya Ahmad Fuad diturunkan agar 'tak disalah erti'
Diterbitkan:  Feb 10, 2020 10:07 PM
Dikemaskini: Feb 16, 2020 2:38 AM

Balai Seni Negara hari ini mempertahankan tindakan mereka menurunkan empat karya Ahmad Fuad Osman hasil daripada keputusan mesyuarat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerruddin Ahmad, berkata langkah itu bukanlah sesuatu yang mustahil diambil sepanjang proses pameran di situ.

Katanya, ada prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana perjanjian di antara Balai Seni Negara dengan pempamer yang menyatakan badan itu berhak menurunkan karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat dan negara.

“Pameran merupakan suatu proses dan ianya bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran.

"Proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita," katanya.

Terdahulu Ahmad Fuad menyatakan rasa tidak puas hati ekoran empat karyanya ditarik balik daripada dipamerkan di Balai Seni Negara.

Langkah itu dibuat ketika pameran At The End Of The Day, Even Art Is Not Important hanya berbaki kira-kira 19 hari saja lagi selepas ia dibuka sejak akhir Okt tahun lalu.

Beroperasi ikut norma, tertib

Kata Ahmad Fuad, pendirian Balai Seni Negara perlu dinyatakan kepada orang ramai dan harus ada akauntabiliti serta ketelusan.

"Alasan itu mesti dijelaskan, dipertahankan di khalayak ramai, dan tertakluk kepada penelitian dan perbahasan," katanya.

Menurut kenyataan dikeluarkan malam ini, empat karya Ahmad Fuad yang ditarik balik berjudul Untitle 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating The Mountain 2004, dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik.

Amerruddin berkata sebelum ini pun pernah timbul situasi membabitkan pelukis dan Balai Seni Negara membuat perubahan pada susun atur dan pemilihan karya bagi mendapatkan hasil yang sesuai dengan maksud dan pengunjung di Malaysia.

"Balai Seni Negara tidak menyentuh kredibiliti pelukis dari segi komentar dan juga kebolehannya.

"Bagaimanapun pihak Balai Seni Negara berpendapat karya-karya tersebut memerlukan bimbingan, penerangan dan pemahaman seni yang tinggi untuk dihayati supaya tidak disalah erti.

"Tindakan ini diambil merujuk kepada respon dan aduan masyarakat yang diterima," katanya.

Amerruddin menambah Balai Seni Negara berperanan sebagai galeri institusi yang didanakan oleh kerajaan, justeru ia perlu beroperasi mengikut norma dan tertibnya.

"Perkara ini telah melalui perbincangan di antara Balai Seni Negara dengan pelukis dan telah diformalitikan melalui surat makluman rasmi.

"Kekeliruan ini mengundang reaksi daripada masyarakat seni visual negara.

"Atas keperihatinan itu, Balai Seni Negara mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat," katanya.

Lihat Komen
ADS