Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zed Zaidi kena dakwa di mahkamah
Diterbitkan:  Feb 21, 2020 11:35 AM
Dikemaskini: 7:26 AM

Empat individu - termasuk Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi - didakwa di Mahkamah Masjitret Sepang pagi ini.

Menurut Bernama, Zed serta tiga yang lain dituduh membuat kenyataan mengenai wabak Covid-19 di media sosial sehingga boleh menyebabkan kegentaran kepada orang ramai.

Bagaimanapun, Zed - atau nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil - mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan majistret A Akhiruddin @ Boy Acho.

R Siamalah bertindak sebagai timbalan pendakwa raya, manakala Zamri Idrus mewakili Zed sebagai peguam bela.

Zed didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, Zed dituduh menggunakan Twitter yang bernama rozaidijamil berniat untuk menyebabkan kegentaran awam dan dikhuatiri mungkin mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Zed didakwa berkongsi berita palsu berbunyi: Breaking News: All countries except Malaysia - All countries has banned Chinese tourist except Malaysia yang dimuat naik menerusi akaun Facebook dan Twitternya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Zed pada 27 Jan lalu, iaitu pada jam 12.51 tengah hari dan dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kira-kira pada jam 10.30 pagi dua hari kemudian.

Takkan la tak tahu

Mahkamah membenarkan Zed diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu kes itu disebut semula pada 11 Mac ini.

Pada akhir Jan lalu, Zed menjadi sasaran kecaman dan dilabel "bodoh" kerana berkongsi maklumat palsu mengenai penyakit yang berpunca dari wilayah Hubei, China.

Dia menjadi bahan sendaan kerana memuat naik imej yang dijana melalui aplikasi dalam talian ke akaun Facebook dan Twitter.

Beberapa pengguna memberitahunya, "berita" itu sebenarnya boleh dibuat oleh sesiapa saja melalui laman breakyourownnews.com dengan memasukkan teks dan imej dalam pencontoh (template) yang disediakan, untuk menghasilkan imej yang seakan-akan berita.

Kesan kecaman dan persendaan itu, Zed tampil membela diri dengan mendakwa dia memang mengetahui apa yang dikongsikannya itu adalah berita palsu.

"Memang benda tu kita tahu aplikasi berita yang boleh buat apa saja.

"Takkan la saya tak tahu tu berita palsu," katanya kepada Malaysiakini pada 28 Jan.

Menurut pelakon Pontianak Menjerit itu dia memuat naik 'berita' berkenaan untuk memaparkan dirinya sedang memakai topeng muka yang baru dibeli.

"Apa yang saya cuba buat adalah nak link (pautkan) berita yang dibuat dengan gambar-gambar banyak pakai topeng muka (sebab) nak link saya pakai topeng tu," katanya.

Tiga hari kemudian dia dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di Cyberjaya.

Zed menghabiskan masa lebih dua jam di situ.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pengarah syarikat, Mohd Khairul Anuar Rosli, 30, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama dengan menggunakan aplikasi web Oh My Media yang mendapat perhatian SKMM pada jam 1.20 tengah hari, 27 Jan lalu.

A Akhiruddin menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dan tarikh sebutan semula pula pada 17 Mac ini.

Bernama melaporkan dua lagi yang dituduh di mahkamah pagi tadi ialah juruteknik, Mohd Afendy Mohd Said, 34; dan peniaga, Syed Mohd Faiz Syed Nasir, 28.

Bagaimanapun tidak seperti dua yang terdahulu, Mohd Afendy dan Syed Mohd Faiz mengaku bersalah dan hakim menetapkan 17 Mac bagi menentukan hukuman ke atas mereka.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000.

Mohd Afendy didakwa menggunakan Facebook menerusi akaun Afendy Said yang dibaca SKMM pada jam 2.30 petang, 27 Jan lalu, manakala Syed Mohd Faiz menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun faeznasirr yang dikesan oleh SKMM pada jam 3.30 petang, hari yang sama.

Lihat Komen
ADS