Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zed Zaidi dikecam, digelar bodoh lepas kongsi berita palsu koronavirus
Diterbitkan:  Jan 28, 2020 5:31 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi dikecam warga maya selepas mengongsikan berita palsu berkaitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di media sosial.

Berita palsu itu berbunyi: Breaking News: All countries except Malaysia - All countries has banned Chinese tourist except Malaysia (Berita tergempar: Semua negara kecuali Malaysia – semua negara mengharamkan pelancong China kecuali Malaysia).

Pelakon itu menerima kecaman bertalu-talu selepas memuat naik hantaran itu di akaun Facebook dan Twitternya sejak semalam.

Ada juga warga maya yang memaklumkan "berita" itu boleh dibuat oleh sesiapa saja melalui laman breakyourownnews.com, dengan memasukkan teks dan imej dalam pencontoh (template) yang disediakan, untuk menghasilkan imej yang seakan-akan berita.

"Senang saja nak buat berita tergempar, pergi website breakyourownnews.com dan masukkan tajuk dengan kapsyen di bawah tajuk, muat naik gambar, selesai. Boleh muat turun gambar yang sudah siap," kata pengguna akaun @muadzzz.


BERITA BERKAITAN: 'Takkan saya tak tahu itu berita palsu'


Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abd Jamil itu turut disindir warga maya yang menyifatkan tindakannya menyebar berita yang tidak disahkan itu sebagai bodoh.

 

Beberapa pengguna media sosial malah menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap Zed yang juga seorang anggota Umno.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini mahu semua pengguna media sosial berhenti menakutkan orang ramai dengan menyebarkan maklumat dan berita yang tidak sah berkenaan wabak koronavirus.

Menyifatkan mereka sebagai "pakar separuh masak", Abdul Hamid berkata golongan terbabit giat mengeluarkan pendapat yang dikutip dari tempat lain dan ia tidak disahkan.

Semalam Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menyuarakan perkara sama, dan berkata selain koronavirus, negara berdepan satu lagi masalah kritikal iaitu penularan berita palsu tentangnya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Zed Zaidi berhubung perkara ini.

Lihat Komen
ADS