Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah dan penerbit veteran, Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser kulit tahap empat yang sudah merebak ke bahagian otak di kediamannya di Taman Melawati, Kuala lumpur sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Berita dukacita itu disampaikan oleh rakan niaganya, Taha Wahid kepada Malaysiakini sebentar tadi.

“Yusof Kelana meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi tadi. Doktor sahkan perkara itu jam 10.45 pagi kemudiannya. Sekarang jenazah masih berada di rumah,” katanya.

Yusof sebelum ini dimasukkan ke Institut Kanser Negara, Putrajaya oleh keluarganya selepas jatuh akibat tidak makan dua hari.

Seorang lagi rakannya yang juga pengarah, Jurey Latiff Rosli berkata, Yusof pada ketika itu hidup bergantung pada alat bantuan pernafasan dan beliau akan dibawa pulang ke rumah.

Tanda-tanda awal Yusof, 66, mengidap kanser ialah selepas mengalami luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki. Dia disahkan mengidap kanser kulit tahap empat Julai lalu.

Pengarah filem Tragedi Oktober itu sebelum ini menjelaskan, pada awal dia menyangka dirinya hanya menghidapi penyakit kencing manis.

Malah menurut Yusof atau nama sebenarnya Omar Kamarudin, sebelum menerima rawatan pakar, dia sudah beberapa kali pergi ke klinik dan farmasi untuk mengubati luka tersebut.

Selain Tragedi Oktober, Yusof juga mengarahkan Bidong: The Boat People, Pontianak Menjerit dan Bahaya Cinta serta baru selesai selesai menyiapkan penggambaran dokumentari Bisikan Dari Kota Pusaka sebanyak 13 episod untuk siaran Radio Televisyen Malaysia.

Allahyarham juga bertindak selaku penerbit filem biopik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad iaitu Mahathir: The Journey yang dijangka ditayangkan tahun depan.

Babak terakhir filem berkenaan berjaya disiapkan sepenuhnya semalam dan diuruskan Taha. 

Sementara itu, Taha berkata, jenazah Yusof akan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.

"Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate,” katanya.

Yusof meninggalkan seorang balu, Myna Abdul Malik 63 dan tiga cahaya mata perempuan. Suzana, 35, Nur Yusnani 34 dan Nur Azzrena,17

Lihat Komen
ADS