Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
MB Selangor, Adun muda berdendang untuk Malaysia
Diterbitkan:  Sep 16, 2020 12:46 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Bukan cuma menjaga kebajikan rakyat dan berpolitik, sejumlah anggota dewan undangan negeri (Adun) muda Selangor meluangkan masa untuk menyatakan rasa kasih mereka kepada negara melalui seni.

Melalui Standing In The Eyes Of The World mereka mempersembahkan lagu ikonik itu dengan diiringi dua penyanyi terkenal, Lah Ahmad dan Ella.

Lebih unik lagi, selain sebahagian daripada lagu itu dipersembahkan secara rap, ia juga menampilkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Menerusi video YouTube yang dimuat naik beberapa Adun Selangor, ia cepat menarik perhatian ramai dan mula menjadi tular di media sosial.

Standing In The Eyes Of The World asalnya dinyanyikan Ella kira-kira 22 tahun lalu sempena penganjuran Sukan Komanwel 98 di Kuala Lumpur. Lagu berkenaan diilhamkan komposer Wah Idris manakala liriknya hasil buah tangan Habsah Hassan.

Semasa AS meraikan hari kemerdekaan mereka yang ke-244 pada 4 Julai lalu, beberapa penyanyi negara terbabit - termasuk Rolin Alexis dan Chris Rossi dari kumpulan reVoiced - menyanyikan lagu berkenaan.

Versi berkenaan turut mendapat sentuhan penyanyi dan komposer AS David Gates. 

Untuk dendangan Adun Selangor itu, antara yang menyumbangkan suara ialah Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati) Rajiv Risyakaran (Bukit Gasing), Michelle Ng (Subang Jaya), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Edry Faizal Eddy Yusof (Dusun Tua), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Chua Wei Kiat (Rawang).

"Buat poster dah biasa. Kali ni kami nyanyi beramai-ramai. Dirgahayu Malaysia. Terus gah di mata dunia," ciap Edry Faizal di Twitter.

Ng pula berkata: "Selamat Hari Malaysia! Lagu ini disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia! Ikhlas daripada Adun-Adun Muda Selangor."

 

Lihat Komen
ADS