mk-logo
Seni & Hiburan
Artis AS, Malaysia bergandingan nyanyi lagu Ella
Diterbitkan:  Jul 4, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Sempena menyambut ulang tahun ke-244 kemerdekaan AS hari ini, kedutaan negara itu di Kuala Lumpur melancarkan rendisi baru lagu Standing In the Eyes Of The World.

Ia menjadi lebih menarik kerana menyaksikan kolaborasi di antara pemuzik Malaysia dan AS.

Lagu asal nyanyian ratu rock Malaysia, Ella, disusun semula oleh Helen Yap dan dinyanyikan dalam dwibahasa, serta disiarkan di laman YouTube rasmi kedutaan AS.

Video itu dimulakan dengan tiupan seruling oleh pemuzik tempatan, Mohar Mohram atau nama sebenarnya Muhardiman Ismail, daripada duo Mohram, sebelum dilanjutkan dengan nyanyian beberapa penyanyi AS.

Malah, Rolin Alexis dan Chris Rossi dari kumpulan reVoiced turut berharmoni menyanyikan korus lagu berkenaan yang cukup ikonik:

“kini standing in the eyes of the world

hanyalah selangkah dari nyata

keazaman membara di jiwa

menanti saat bebas merdeka”.

Ella pula membuat penampilan dan menyumbangkan suara dalam video berkenaan, selain Zee Avi yang turut menyanyi dalam bahasa Inggeris.

Penyanyi AS lain yang turut serta termasuklah Ron "Bumblefoot" Thal yang merupakan bekas gitaris Guns N’ Roses, Tony Memmel , Gabrielle Stravelli, Farewell Angelina, serta pemuzik lain.

Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, dalam satu kenyataan di laman web rasmi kedutaan itu berkata meskipun rakyat AS dan Malaysia tidak dapat berkumpul bersama-sama bagi merayakan persahabatan pada tahun ini, ada cara lain yang boleh digunakan untuk menunjukkan kebersamaan dan kerjasama.

“Hari ini, muzik menjadi bahasa semesta yang melangkaui sempadan dan membawa manusia bersama-sama, dan dalam semangat itu, pihak kedutaan dengan bangganya melancarkan rakaman baru lagu klasik dari Malaysia, Standing In the Eyes Of The World,” dia dipetik sebagai berkata.

Tarikh 4 Julai merupakan hari perayaan kemerdekaan yang diraikan setiap tahun oleh rakyat AS, sejak kemerdekaannya pada 4 Julai 1776.

Lagu Standing In the Eyes Of The World hasil ciptaan Wah Idris bersama penyanyi dan komposer warga AS David Gates, merupakan lagu tema untuk Sukan Komanwel 1998.

Liriknya pula ditulis oleh penulis lirik terkemuka tanah air, Habsah Hassan.

 

Lihat Komen
ADS