Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Erma bukan ugut Rosyam, cuma tak mahu kerja kerana terpaksa

Mungkin ada yang akan mentafsirnya kelihatan seperti mengugut, tetapi Erma Fatima mengaku dia cuma lebih kepada bertegas semasa ditawarkan mengarah Juang oleh penerbit filem itu, Rosyam Nor.

Kata Erma, dia meletakkan syarat semasa Rosyam menunjukkan minat untuk menggunakan khidmatnya sebagai seorang daripada enam pengarah pilihan bagi menyiapkan filem berkenaan.

Juang adalah naskhah yang dipersiapkan untuk memberi penghargaan kepada pejuang barisan hadapan Covid-19.

“Saya berminat, tapi dengan satu syarat.

"Ada satu bahagian dalam skrip filem tu saya suka sangat. Kalau diberi peluang untuk mengarah bahagian itu baru saya terima tawaran Rosyam.

“Tapi kalau Rosyam tak setuju dia boleh beri tugasan berkenaan kepada orang lain. Dan dia (Rosyam) pun terima,” katanya yang ditemui pada majlis pengumuman Juang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Fatimah Rahmad Ali itu berkata, dia berbuat demikian kerana menjadi prinsipnya untuk bekerja dengan minat penuh terhadap sesuatu naskhah, bukannya kerana terpaksa.

Bukan nak ugut

Menurut Erma, 52, dia hanya akan mengarah naskhah yang digemari secara jujur berbanding hanya 'menyemak' di set penggambaran.

“Sebaik saja saya dengar kisah tu, dah terus 'jatuh cinta' pada bahagian berkenaan. Saya katakan pada Rosyam: 'Ala Syam... aku nak bahagian yang tu. Kalau tu, aku berminat," katanya.

Ditanya jika tindakan itu dianggap mengugut Rosyam, Erma berkata: "Mana ada...”

Untuk rekod Rosyam mempersiapkan Juang dengan memberi kepercayaan kepada enam pengarah berbeza - termasuk Erma - kerana yakin dengan prestasi kerja mereka sebagai sutradara.

Tiga penerbit filem Juang

Lima pengarah lain ialah Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali dan Matt Lai. Juang turut menampilkan 100 pelakon dan dibantu 200 pekerja di balik tabir.

Rosyam yang menjadi pemilik Suhan Movies itu turut bergabung dengan dua lagi penerbit iaitu Matt Lai (Tropical Films) dan Jack Lim (The Film Engine) untuk menghasilkan projek menelan kos RM6 juta itu.

Menggunakan judul yang diambil daripada perkataan perjuangan, projek berkenaan menampilkan lima kisah berlainan latar mengenai rakyat Malaysia yang bangkit menangani musibah wabak Covid-19.

Antara pelakon utama yang menjayakan Juang ialah Zizan Razak, Zul Ariffin dan Jack Lim.

Mengenai barisan pengarah pilihan itu, Rosyam menepis dakwaan dia memandang rendah kebolehan pengarah lebih muda sebaliknya ingin naskhah tersebut berkenaan dikendalikan sutradara lebih matang. 

Diminta pendapatnya mengenai gabungan enam pengarah berbeza dalam satu filem, Erma berkata, dia yakin usaha berkenaan akan berjaya melahirkan hasil yang hebat.

Juang tak akan jadi cacamarba, saya yakin mereka mempunyai formula tersendiri.

“Mereka yang berkerja adalah profesional selain menggunakan pengarah fotografi yang sama, jadi takkan ada masalah,” katanya.

Lihat Komen
ADS