Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rosyam tampilkan 6 pengarah miliki rekod prestasi baik demi Juang

Ilham untuk melahirkan filem bertaraf mega dengan kos RM6 juta sebagai apresiasi pada pejuang barisan hadapan tercetus selepas terkurung tiga bulan akibat menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata penerbit Rosyam Nor.

Menurutnya, Juang yang memberi gambaran sebenar terhadap perjuangan barisan hadapan itu digarap bersama dua lagi penerbit iaitu Tropical Films, Matt Lai dan Jack Lim (The Film Engine).

Justeru, kata pemilik syarikat penerbitan Suhan Movies itu, untuk mencipta sebuah karya yang mampu menyentuh emosi penonton, dia memerlukan persaingan sihat daripada enam pengarah dengan latar belakang berbeza bagi merealisasikan misi tersebut.

Rosyam yang juga pelakon itu menjelaskan, kesemua enam pengarah diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab tersebut selepas menilai hasil kerja dan prestasi mereka.

“Nak buat penonton percaya dengan sesebuah naskhah, kita memerlukan pengarah yang matang. Ibarat macam perkahwinan, takkan nak kahwin dengan budak 15 tahun.

“Saya dah melihat trek rekod mereka dalam industri perfileman, jangan kata ada yang sudah hilang ‘bisa.’

“Bila ada enam pengarah, baru mereka akan mencabar diri untuk sesuatu yang sihat dan melahirkan karya yang hebat,” katanya yang ditemui pada sidang media pengumuman filem berkenaan di Kuala Lumpur kelmarin.

Bagaimanapun, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin menafikan dia tidak merekrut pengarah lebih muda kerana memandang rendah kepada kebolehan mereka.

Menggunakan judul yang diambil daripada perkataan perjuangan, projek berkenaan menampilkan lima kisah berlainan latar mengenai rakyat Malaysia yang bangkit untuk menangani musibah wabak Covid-19.

Enam pengarah hebat yang akan menjayakan filem itu adalah Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, Matt Lai dan Erma Fatima selain turut menampilkan 100 barisan pelakon dan 200 pekerja balik tabir.

Antara pelakon yang akan menjayakan Juang sebagai bintang utama adalah Zizan Razak, Zul Ariffin dan Jack Lim.

Kemunculan khas

Mengulas lanjut, Rosyam, 53, mendedahkan, tawaran untuk mengarah Juang sebenarnya turut diberikan kepada beberapa pengarah lain, namun ia ditolak.

“Ada juga yang kami dekati, tapi mereka tolak. Senang cerita, kami hasilkan idea, dan lihat siapa yang datang semula untuk terima tawaran tu.

“Kami nak buat kerja dengan orang yang betul-betul ingin bekerja dengan kami, baru dapat apa dikehendaki.

“Saya juga percaya mereka yang terpilih tidak mengharap pada bayaran semata-mata sebaliknya ingin bekerja bersungguh-sungguh menghasilkan kisah yang menghargai pejuang barisan hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosyam yang dijangka membuat kemunculan khas dalam Juang berkata, filem berkenaan disasarkan tayangan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

"Penggambaran dijangka dilakukan secepat mungkin kerana kami sasarkan untuk tayangkan filem berkenaan pada tahun depan atau pertengahan tahun.

"Namun, maklumat lanjut mengenai pembahagian tugas pengarahan dan jalan cerita itu akan diumumkan kemudian," katanya.

Lihat Komen
ADS