Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images

MALAYSIANSKINI | Sepuluh tahun lalu, artis seni visual, Sharon Chin berpindah ke Port Dickson menempati sebuah kediaman lama, terletak di kawasan perumahan terpencil yang dikelilingi kehijauan tumbuh-tumbuhan.

Pokok avocado tinggi lampai di belakang rumahnya itu tidak berbuah selama enam tahun pertama selepas ditanam.

Di sinilah Sharon Chin serta pasangannya penulis Zedeck Siew, dan kucing kecil mereka mencari kedamaian daripada hiruk pikuk kota untuk menumpukan perhatian menghasilkan karya seni.

"Kehidupan kota seakan menjadi mustahil dijalani," kata Chin, seorang artis yang lahir pada tahun 1980-an, membesar di Petaling Jaya.

Selepas menamatkan pengajian seni dari Victorian College of the Arts (VCA) di Melbourne pada 2005, dia teringat kesibukannya di Kuala Lumpur dan bagaimana dia mengejar satu demi satu projek seni.

Kata Chin sekitar tahun 2011-2012, dia merasa dirinya telah 'lebur' dalam kesibukan kehidupan sehari-hari.

"Saya bekerja sangat keras, tetapi dari segi kewangan tidak ke mana. Malah, saya juga tidak sampai ke mana-mana secara artistik."

Dia membandingkan dirinya sebagaimana orang-orang yang lari dari Omelas, sebuah kota yang aman dan makmur tetapi hasil derita penderaan kanak-kanak dalam kurungan.

Omelas ialah kota rekaan dalam karya pengarang AS, Ursula K Le Guin. 

Menurut novel sains fiksyen itu, penduduk Omelas sedar bahawa kota itu akan runtuh sekiranya ada sesiapa yang mahu menyelamatkan kanak-kanak yang dikurung itu.

Akhirnya, Chin dan pasangannya memutuskan untuk meninggalkan kota 'Omelas' mereka dan berpindah ke Port Dickson.

"Saya fikir ia satu langkah masuk ke dalam wilayah tak diketahui," katanya.

Selepas berpindah, Chin mendapati memiliki banyak masa untuk dirinya sendiri.

"(Di Lembah Klang) selalu tidak ada cukup waktu, bahkan ketika bercuti juga tidak ada cukup waktu."

"(Tiba-tiba) saya merasa kaya, sangat kaya dengan masa. Sungguh mengejutkan, dan saya tidak tahu bagaimana menghadapinya," katanya tertawa.

Perkembangan pesat seni visual di KL

Ketika awal kembali ke Malaysia selepas pengajiannya di Australia, Chin menganggarkan rata-rata setiap dua minggu sekali terdapat pameran seni tetapi pada saat dia berpindah ke Port Dickson, hampir setiap malam ada acara pameran.

Oleh itu, terdapat konflik antara sumber dan peluang yang terhad, dengan ganjaran yang ditawarkan kota.

Hal ini merimaskan dirinya.

"Segalanya pantas, ya. Lebih banyak acara seni, lebih banyak orang mempraktikkan seni, tetapi kebajikan (seniman) tidak bertambah baik. Segala-galanya tidak menjadi lebih baik; pasti semakin memburuk berdasarkan pengalaman langsung saya.

"Perkara itu mengganggu saya. Ini bermaksud keadaan material (ekonomi) untuk para pengkarya tidak mampan.

"Ini adalah kehidupan yang sangat tidak menentu, dan saya mengatakan hal ini sebagai seseorang yang mempunyai kewangan keluarga yang stabil. Tetapi itupun saya sudah merasa terdedah.

"Jadi saya tidak dapat membayangkan orang lain," jelasnya.

Chin merasakan perbincangan dalaman antara seniman masih tidak mencukupi dan malah semakin merosot.

Setelah bertahun-tahun terlibat dalam program yang didanai geran, dia merasa tidak mapan untuk mencipta persekitaran sihat seni kreatif.

"Rumah ini milik keluarga pasangan saya, dan hakikat bahawa kami tidak perlu membayar sewa (beri perbezaan sangat besar)," katanya.

Jelas Chin, ia umpama subsidi perumahan yang membebaskan pasangan itu daripada menjadi hamba 'hutang dan sewa' rumah di kota.

Generasi dalam bayangan Mahahirisme

Chin menyarankan subsidi serupa diberikan kepada para seniman dan percaya ini akan membantu mengatasi masalah pemusatan kerja sini di kawasan bandar.

"Sekiranya seorang seniman mempunyai autonomi untuk memilih tempat tinggal yang diinginkan mereka, itu membantu mengurangkan beberapa kesan pemusatan bandar."

Dorongan berterusan untuk pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi adalah mesej yang diterima bagi mereka yang berada dalam bayangan Mahathirisme.

Generasi yang secara kolektif belajar menyanyikan Malaysia Berjaya atau Wawasan 2020 di sekolah dibesarkan berdasarkan kisah khusus mengenai patriotisme dan pembangunan.

Sebaliknya, Chin menyukai buku cerita fiksyen dan fantasi sejak dia masih kecil, dengan Le Guin antara penulis kegemarannya. Senario khayalan dalam unjuran fikiran mudanya itu tidak dapat ditandingi dengan ideologi yang dirangka oleh aparat negara.

"Saya mempunyai corak pemikiran yang berbeza yang tidak sesuai dengan realiti atau jejak ideologi tahun-tahun (di bawah era pentadiran) Mahathir, patriotisme, dan sebagainya."

Pada mulanya, Chin berpendapat bahawa kebebasan ideal yang dijanjikan dalam buku ceritanya itu akan dapat dicapai selepas dia berkelana ke negara-negara barat tetapi mendapati dirinya "tidak dapat berjauhan dari Malaysia."

"Yang saya tahu ketika itu saya tidak gembira, dan saya tidak berada di sini dengan tenang. Saya fikir saya tidak boleh menjadi satu-satunya yang merasai hal ini, bukan begitu? Apa yang membuat saya merasa seperti ini?

"Nasib baik, bidang pilihan saya, yang merupakan seni, membolehkan kami mencari dan mendalami."

Dia akhirnya menemui jalan untuk menyelesaikan konflik dalamannya.

"Masing-masing (mempunyai sudut pandangan) yang sah. Semua yang kita bawa dengan diri kita pada dasarnya menjadikan negara ini. Tidak ada yang tidak sah," tegasnya.

"(Contohnya, ada orang yang mengatakan) kamu hanya boleh berbahasa Inggeris, oleh itu apa yang kamu fikir adalah tidak sah.

"Bahasa Melayu kamu tidak bagus, jadi (pandangan) kamu tidak sah. Mandarin kamu juga tidak bagus, maka kamu bukanlah orang Cina yang sebenar-benarnya. Kecenderungan ini sangat kuat dalam budaya kita. Ia memerlukan semangat kuat (untuk menghadapinya)."

Chin tidak percaya kepada patriotisme atau politik pilihan raya, tetapi yakin dengan hubungan ruang yang dihuni seseorang. 

Walaupun begitu, banyak karya seninya mengupas tema politik semasa, seperti gerakan reformasi pilihanraya Bersih, PRU dan lain-lain lagi.

"Mungkin sebilangan artis yang saya kagumi, karya mereka menangani masalah sosio-politik.

"Terdapat ciri kuat untuk menangani masalah sosial dalam seni kontemporari Malaysia," jelasnya.

Hell Money, 2014, ilustrasi Chin untuk cerpen satira Siew mengenai pemaju kaya yang meneruskan kegiatannya walaupun di alam selepas mati.

Dia menamakan beberapa artis seni visual, yang karya mereka terlibat secara sosial, seperti Wong Hoy Cheong, Hasnul Jamal Saidon dan Zulkifli Yusoff.

"Oleh itu, ini pasti bukan perkara baru. Lebih sukar untuk mengatakan di mana kita berada sekarang dalam hal seni kontemporari. Saya akan selalu menjadi sebahagian daripadanya; Saya tidak dapat menafikannya.

"Tetapi bagi saya, kritikan saya terutama mengenai ruang sosial seni kontemporari, dinamika kuasa dalam bidang itu. Terdapat banyak masalah mikro dalam - ketidaksamaan dan pemisahan sosial kerana kaum. Ini hanyalah gambaran keadaan sosial yang lebih luas," kata Chin.

Tahun lalu, dia dijemput menyertai Biennale Singapura bagi menyajikan karya instalasi dan performans berjudul "In The Skin of a Tiger: Monument to What We Want (Tugu Kita)".

Pameran diadakan di balai seni negara di Malaysia dan Singapura, di mana seratus peserta dijemput untuk menjahit kain berbentuk geometri ke atas sepanduk raksasa.

Kain ini diambil daripada bendera parti politik yang dikumpulkannya selepas pilihan raya umum ke-13 dan ke-14.

Kenapa menjahit?

Chin menjawab menjelaskan karyanya: "Ini mengenai hasil usaha, usaha perlahan yang membawa kepada perubahan, khususnya seperti perubahan ini. Segalanya memfokuskan kepada ahli politik dan Mahathir khususnya. (Tanggapan bahawa) dia ialah orang yang membawa perubahan besar. Dia mendapat semua perhatian, dan anda tidak dapat berpaling dari itu."

"Saya sangat bosan dengan cerita itu. Bukannya saya mahu mengganti cerita itu, tetapi saya mahu kebenaran saya juga di sampingnya. Oleh itu, jika anda melihat kembali sejarah, itu, ia bukan hanya satu kisah. Ada kisah-kisah lain yang terjadi. Ia ada dalam rakaman awam."

Peserta mungkin tidak dapat melihat hasil karya akhirnya, tetapi dia mahu mereka memakai bandana berkilat ketika menjahit karya dengan pendekatan penyertaan orang ramai itu.

"Apa yang saya mahukan ialah walaupun anda tidak dapat melihat karya (lengkap), anda dapat melihat perbuatan bekerja bersama-sama... perbuatan menjahit anda dapat dilihat."

"Tetapi anda tidak akan mendapat kredit untuk itu. Ahli politik akan mendapatkan semua glamor."

Sebab lain, Chin berpendapat menjahit selalu dilihat sebagai pekerjaan wanita, yang dinilai rendah di negara ini.

Karya Chin: In The Skin of a Tiger: Monument to What We Want (Tugu Kita), 2019.

Walaupun menghabiskan sebagian besar waktunya di Port Dickson, Sharon mengakui bahawa dia masih sangat bergantung pada sumber budaya dari Lembah Klang.

Walaupun dia menyifatkan kediamannya sekarang dalam suasana damai, dia berdepan perjuangan baru sejak dua tahun lalu.

Terdapat sebuah kilang berdekatan yang menyebabkan pencemaran bunyi dan udara ke kawasan kejiranan yang didakwa berpunca akibat pembesarannya. Sharon dan penduduk memutuskan untuk mengambil tindakan bersama memperjuangkan hak keselamatan dan kualiti hidup mereka.

Akhirnya, bunyi bising seperti pesawat terbang itu berhenti selepas masyarakat setempat berunding dengan pengurus kilang.

Walaupun begitu, katanya ramai orang merasa tidak terjamin selagi kilang besar itu masih di sana.

"Apakah kami akan terus tinggal di sini, apakah kami akan menjadi seperti rumah degil ketika semua orang pergi, dan kami menjadi yang terakhir meninggalkannya," soalnya

Dia memutuskan untuk mengambil isyarat dari pokok avocado semaian di belakang rumahnya.

Mereka telah menanti selama enam tahun untuk pohon itu berputik. Dia bahkan berseloroh dengan pasangannya, Siew dan jiran mereka: "Lihat lah, jika ia berbuah, kami akan terus tinggal di sini."

Tahun ini, akhirnya pohon avocado itu berbuah.

"Saya tidak boleh pergi dengan mudah sekarang kerana ia tawaran saya; itu adalah janji."

"Ini adalah tanda bahawa tanah, tempat pohon ini mengakar cuba untuk bercakap dengan saya, memberitahu saya, mengajar dan meyakinkan saya. Kami akan berusaha dan bertahan," Chin tertawa.

[Baca laporan asal]

MALAYSIANSKINI ialah siri warga Malaysia yang patut anda kenali.

Lihat Komen
ADS