Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Santesh bawa suara banduan hukuman mati melalui Arah Tuju

"Jalan hidup ini
ada baik ada buruk
terserah pada kita
patut pilih mana satu..."

Hampir tujuh tahun berada dalam tahanan di penjara Singapura, seorang rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati, P Pannir Selvam, bertekad menghantar pesanan cinta dan kemaafan menerusi lirik lagu Arah Tuju nyanyian Santesh.

Mengangkat pesan kesedaran terhadap isu hukuman mati, Santesh mengaku teruja untuk berkolaborasi bersama Pannir menerusi NGO Sebaran Kasih yang turut melancarkan musik video Arah Tuju dalam satu acara di Kuala Lumpur.

"Secara peribadi, saya merupakan pengambil risiko.

"Mungkin ada yang bertanya kenapa saya bersetuju mengambil projek ini, tapi idea utamanya adalah untuk menyampaikan pesanan," kata Santesh pada satu sidang media selepas sesi pelancaran di Kuala Lumpur semalam.

"Setiap banduan memiliki nama, ada keluarga dan mempunyai cerita masing-masing.

"Untuk menjenamakan mereka semua sebagai penjenayah adalah amat tidak adil," kata penyanyi Amalina itu lagi.

Santesh bersama keluarga Pannir

Santesh menjelaskan dia turut mendapat inspirasi daripada penyanyi rap Malique untuk menyampaikan pesan-pesan Pannir.

Presiden Sebaran Kasih Angelia Pranthaman - yang juga merupakan adik Pannir - berkata Santesh dipilih kerana mereka yakin penyanyi itu mampu menarik perhatian orang ramai kepada nasib banduan hukuman mati serta keluarga mereka.

Angelia Pranthaman menunjukkan gambar Pannir

"Kami berharap pesanan yang disampaikan oleh Pannir melalui suara Santesh dapat meningkatkan kesedaran terhadap keperluan memansuhkan hukuman mati yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Kami juga berharap ia akan membuka hati orang ramai untuk memaafkan banduan hukuman mati," kata Angelia.

Lebih istimewa, lagu dan musik video Arah Tuju yang mula dihasilkan sekitar Ogos lalu turut menampilkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, dengan mesej tegas menuntut pemansuhan hukuman mati.

"Mungkin hukuman mati dilihat sebagai satu isu yang sensitif tetapi terdapat mesej penting yang perlu disampaikan.

"Kita bagai dapat mendengar suara hati Pannir melalui lagu ini," kata Latheefa yang juga merupakan pengasas Lawyers for Liberty, kumpulan hak asasi manusia yang turut mendukung pelancaran Arah Tuju.

Turut bersama di sesi pelancaran semalam ialahj ibu dan bapa Pannir, adik-beradik serta anak-anak saudaranya.

Pannir berdepan hukuman mati setelah ditahan membawa 51.84 gram dadah jenis diamorfin ketika memasuki Singapura melalui Woodlands pada 2014.

Dia disabitkan bersalah pada 27 Jun 2017 dan kini dalam proses mencabar penolakan permohonan pengampunan yang diajukannya pada 2019.

Lihat Komen
ADS