mk-logo
Seni & Hiburan
Senator PAS dikecam lepas kaitkan bunuh diri dengan drama Korea
Diterbitkan:  Oct 14, 2021 4:30 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Senator Mohd Apandi Mohamad dikecam selepas mencadangkan drama Korea Selatan mungkin menjadi salah satu faktor yang mendorong orang ramai - khususnya remaja - membunuh diri.

Dakwa Mohd Apandi banyak drama dari Korea Selatan menggambarkan elemen bunuh diri sebagai pilihan apabila seseorang itu gagal dalam hidup.

Bekas ahli parlimen Jeli itu membangkitkan isu tersebut ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara semalam. Ia dibuat selepas Senator Fadhlina Sidek memohon campur tangan segera dalam isu krisis kesihatan mental yang dihadapi negara ini.

“Ramai remaja yang bunuh diri - bersetuju atau tidak - disebabkan kebanyakan mereka terdorong oleh drama dan filem dari Korea. Pasal setiap cerita mesti ada bunuh diri.

“Bersetuju atau tidak? Remaja ni, apabila gagal, jawapan dia (ialah) bunuh diri. Adakah ia disebabkan mereka terlalu terpengaruh dengan drama Korea?” katanya.

Sebagai respons, Fadhlina berkata, dia bersetuju dengan pandangan bahawa drama Korea memang mengandungi elemen yang menyebabkan golongan remaja bawah umur terdorong membunuh diri.

Namun, katanya, terdapat beberapa faktor lain yang boleh mencetuskan perilaku sebegitu termasuk peranan media.

Lebih 1,400 kes dilaporkan

Menurutnya, media memainkan peranan penting untuk melaporkan kes bunuh diri secara beretika iaitu dengan mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kata-kata Mohd Apandi mengundang perhatian warganet dengan kebanyakan mereka memintanya mengemukakan data dan bukti penyelidikan bagi menyokong dakwaannya itu.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, melalui Twitter melabelkan senator PAS itu sebagai tidak sensitif dengan kenyataan yang dikeluarkan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim - juga melalui Twitter - bertanya: drama Korea Selatan mana yang ditonton Mohd Apandi.

“Filem apa Senator PAS ni tengok?” ciapnya.

Untuk rekod, sehingga Julai lalu Korea Selatan menduduki tangga teratas kedudukan bunuh diri dalam kalangan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Sejak kebelakangan ini pula, beberapa selebriti dan personaliti media sosial negara itu mencabut nyawa sendiri disebabkan beberapa alasan termasuk kemurungan, menjadi mangsa buli siber dan tekanan hidup.

Pada 20 Sept lalu Dewan Rakyat diberitahu sebanyak 1,426 kes bunuh diri dilaporkan di negara ini untuk tempoh dua setengah tahun atau antara 1 Jan 2019 hingga 31 Julai 2021.

Dengan kadar itu, secara purata ada kira-kira 1.86 kes bunuh diri setiap hari.

Menurut kerajaan, motif utama kes bunuh diri adalah, 27.99 peratus disebabkan kemurungan, diikuti masalah kewangan (15.87 peratus).

Sebahagian besar (1,358 orang) dari mereka yang membunuh diri berusia 19 hingga 40 tahun.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata tindakan kerajaan menyah jenayah bunuh diri adalah langkah pertama dalam usaha meningkatkan kesihatan mental penduduk di negara ini. 

Sekiranya anda berasa tertekan atau ingin bunuh diri, atau mengenali seseorang yang berada dalam masalah sila hubungi talian hotline berikut:

  • Talian Kasih Hotline : 15999
  • Befrienders Hotline: 03-76272929
  • Pusat Kaunseling Agape Malaysia Hotline: 03-77855955 atau 03-77810800
  • Life Line Association Malaysia Hotline: 03-42657995

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah membentuk barisan sokongan psiko-sosial untuk pekerja barisan hadapan dan yang lain sekiranya terjejas secara emosional akibat dipengaruhi wabak Covid-19.

Talian boleh dihubungi 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

ADS
Paling Popular
Terkini
ADS