Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Treler filem Pulau: Pendirian Fahmi boleh menjurus ekstremisme - NGO
Diterbitkan:  Jan 19, 2023 5:45 PM
Dikemaskini: Jan 20, 2023 2:18 AM

Pendirian Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bahawa treler filem seram Pulau tidak sesuai untuk ditonton boleh menjurus kepada ekstremisme, kata NGO.

Sebuah inisiatif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Saksi berkata membimbangkan apabila menteri berkata adegan bercumbuan dan pakaian pantai dianggap tidak sesuai untuk tontonan.

"Menanggapi pandangan sebegini mengenai badan wanita, seksualiti dan penapisan adalah kemerosotan menuju ekstremisme," kata Saksi.

Tambahnya, reaksi sedemikian terhadap filem tempatan yang menunjukkan pelakon berbikini adalah ironis kerana filem atau rancangan antarabangsa yang lebih eksplisit tersedia dan popular di kalangan rakyat Malaysia.

"Budaya adalah cair dan secara aktif mengawal apa yang dipilih oleh (tenaga) kreatif lain menjadikan negara kita mundur.

"Ada sebab ramai pembikin filem/ artis Malaysia yang berjaya mencapai kejayaan di luar negara dan bukannya di tanah air mereka sendiri," katanya.

Penerbit setuju hasilkan treler baru

Malam tadi, Fahmi berkata treler filem seram itu tidak sesuai untuk ditonton dan dia telah menghubungi rangkaian pawagam GSC mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, penerbit berkata mereka telah mendapat mendapat kelulusan LPF dengan klasifikasi PG13 setelah memotong beberapa bahagian daripada filem itu.

Dalam pada itu, Fahmi yang pernah terlibat dunia teater juga berkata penerbit bersetuju untuk menghasilkan suntingan berbeza untuk treler itu.

"Pandangan saya mungkin kita kena teliti semula beberapa SOP kerana jelas di sini telah berlaku satu pelanggaran dan saya difahamkan dari segi kelulusan LPF itu telah diberi pada bulan September tahun lalu, sebelum saya jadi menteri, sebelum kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya, lapor Bernama.

Treler Pulau memaparkan antara lain, seorang wanita berpakaian bikini berenang di lautan, pasangan berpelukan dan hampir bercium serta pelbagai adegan seram.

Sementara itu, Lembaga Penapisan Filem berkata ia telah menyemak filem itu apabila ia diserahkan untuk kelulusan LPF dan meluluskannya untuk tayangan.

LPF berkata Pulau adalah filem seram, dan bukan lucah, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak berdasarkan treler itu.

Filem ini memaparkan sekumpulan muda-mudi yang pergi bercuti dan kemudian mengalami kejadian misteri apabila melawat pulau terlarang, walaupun penduduk tempatan telah memberikan amaran.

Filem itu mendapat perhatian selepas bekas timbalan menteri hal ehwal agama Ahmad Marzuk Shaary berkata filem ngeri seram itu "mengandungi adegan lucah dan keterlaluan".

Susulan itu, penerbit filem WebTVAsia menggesa orang ramai supaya tidak menilai Pulau berdasarkan treler sahaja, sebelum menonton filem yang dijadualkan ditayangkan pada 9 Mac ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS