Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Pulau bukan filem porno - LPF
Diterbitkan:  Jan 19, 2023 12:12 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Di sebalik kritikan, Lembaga Penapis Filem (LPF) menjelaskan bahawa Pulau bukan filem lucah.

“Filem Pulau adalah merupakan sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan,” kata badan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu.

Pulau mencetuskan kontroversi selepas dikritik warga maya berkaitan pemakaian pelakonnya, antaranya wanita berbikini ketika berenang.

Bekas timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary turut memanaskan keadaan dengan mendakwa ia mempunyai babak lucah.

Ahmad Marzuk Shaary

WebTVAsia mempertahankan pemakaian dalam filem itu kerana berdasarkan latar filem yang dilakonkan di pulau. 

Penerbit juga berkata mereka telah mendapat mendapat kelulusan LPF dengan klasifikasi PG13 setelah memotong beberapa bahagian daripada filem itu.

Sementara itu, LPF dalam kenyataan sebentar tadi berkata, terdapat perbezaan antara kandungan treler yang dimuat naik di media sosial dengan yang dikemukakan untuk penapisan.

“Treler filem Pulau telah ditayangkan secara dalam talian (melalui platform internet), maka didapati bahawa kandungan yang ditayang tersebut adalah di luar bidang kuasa LPF,” kata LPF.

LPF tidak mengulas banyak berkaitan filem itu tetapi menegaskan mereka peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat dan melaksanakan penapisan filem berdasarkan garis panduan ditetapkan. 

“LPF menghargai pandangan dan maklum balas berkenaan dengan penapisan filem di negara ini,” menurut kenyataan itu.

“LPF juga sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak terutamanya pandangan yang bersifat konstruktif berdasarkan kepada keseluruhan kandungan sesuatu filem,” kata lembaga itu.

Filem mendapat arahan Euho itu berkisarkan  percutian sekumpulan anak muda yang bertukar menjadi mimpi ngeri selepas bermalam di sebuah pulau terpencil. 

Terjumpa sebuah perkampungan terbiar, mereka secara tidak sengaja mematahkan mantera lama yang diletakkan untuk menahan semangat jahat yang terperangkap.

Filem itu dijayakan barisan pelakon seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Namron dan model Ms Puiyi.

Lihat Komen
ADS