Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Siasatan isu filem Mentega Terbang kini dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata polis.

Mengesahkan hal itu kepada Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya berkata pihaknya memanjangkan isu filem tersebut kepada SKMM.

“Kami telah merujuk perkara ini kepada agensi lain iaitu SKMM,” katanya.

Mentega Terbang menjadi perhatian ramai selepas ia didakwa mengancam akidah orang Islam dan wujud cubaan untuk memesongkan ajaran agama.

Pada 28 Feb lalu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi dan mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atasnya.

Malam tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Na’im Mokhtar, berkata penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap Mentega Terbang mendapati ia berkenaan bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia.

Justeru, katanya, Jakim diminta untuk mengemukakan ulasan secara terperinci kepada SKMM agar tindakan undang-undang dapat diambil.

Mentega Terbang mula ditayangkan 19 Januari lalu melalui platform penstriman berbayar Viu.

Filem arahan Khairi Anwar itu berkisahkan remaja Muslim bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian.

Antara babak yang dipaparkan ialah bagaimana ayah Aishah tidak menyekat anaknya jika mahu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain.

Berdasarkan treler, terdapat adegan remaja itu membaca Bible. Terdapat juga gambaran dan dialog berkaitan rumah ibadat pelbagai agama.

Filem terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment itu dilaporkan ditayangkan secara ‘underground’ sejak 2021. Ia juga pernah ditayangkan di Festival Filem Jogja-Netpac Indonesia 2021 dan menjadi filem penutup untuk Festival Filem Aceh 2022.

Laporan media berbahasa Inggeris menyebut Mentega Terbang berhasrat menyediakan ruang untuk penonton mempersoalkan kepercayaan masing-masing tanpa rasa takut dihakimi atau dibenci.

Sementara itu, wakil jurucakap Viu berkata, pihaknya belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan.

“Sekiranya ada, kami akan maklumkan kepada pihak media,” katanya.

Lihat Komen
ADS