Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menteri agama: Filem Mentega Terbang bertentangan akidah Islam
Diterbitkan:  Mar 2, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 8:10 AM

Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar berkata penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap Mentega Terbang mendapati filem berkenaan bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia.

Justeru, katanya, Jakim telah diminta untuk mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan undang-undang dapat diambil.

"Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga telah diminta untuk memanggil pihak-pihak yang terbabit dengan penerbitan filem ini untuk urusan selanjutnya.

"Ingin ditegaskan, bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam lebih-lebih lagi yang boleh mengundang kontroversi dan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup.

"Saya juga ingin menasihatkan kepada penggiat seni kreatif agar lebih berhati-hati dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat agar matlamat kerajaan menuju Negara Madani akan tercapai," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mentega Terbang sebuah filem indie pertama ditayangkan di platform penstriman Viu atau aplikasi mobile secara percuma. Filem itu ditayangkan pada 19 Januari lalu.

Pada 28 Feb lalu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi terhadap produksi filem itu yang didakwa boleh memesong dan mencabar akidah umat Islam.

Lihat Komen
ADS