Apakah kayuhan tiga hari ini mampu capai sasaran kutipan RM50,000? Kiyai Mohd Anwar perlu menjelaskan bayaran deposit bangunan baru pada 28 haribulan ini.
Saya terbayang anak-anak di Sekolah Al-Anwar dan Al-Bayan. Wajah-wajah harapan mereka. Kepada tuhan saya berserah. Saya berkayuh.
Saya bukan atlet, bukan bekas atlet. Sama sekali bukan pelumba basikal profesional. Dulu, di sekolah cikgu telah berpesan kepada kami, "sukan-sukan juga, kerja baik kena buat. Jangan asyik fikir pasal diri sendiri semata."
Maksud cikgu saya, sukan tidak terhenti sekedar untuk membolehkan badan kita sihat dan cerdas. Tidak cuma untuk kecergasan, apatah lagi untuk punggah populariti politik.
Sambil kayuh-kayuh, atau lari-lari, kita mampu melakukan sesuatu untuk masyarakat. Idea ini bukan idea baru.
Sesiapa yang pernah bersekolah di sekolah kebangsaan akan tahu, idea berbakti dalam apa jua yang kita lakukan telah diajarkan ketika kita menjadi anggota pengangkap. Lainlah kalau tuan memang tidak pernah bersekolah di dalam ini negeri.
Saya bukan atlet. Bukan juga menteri yang memegang biaya berbilion ringgit, yang boleh menganjurkan acara sukan dengan belanja berjuta-juta.
Apakah hanya dengan jawatan tinggi melangit, baru kita mampu berfikir dan kemahuan? Saya tak rasa begitu. Bukankah akhirnya, antara orang yang punya kuasa dengan orang-orang yang tidak punya kuasa, akan selamanya lebih ramai kalangan kita yang tidak punya kuasa?
Dan, apakah rakyat yang ramai ini tidak punya harapan atau cita-cita kita sendiri?
Ketika sampai di Bandar Banting, sudah pukul 5.30 petang. Hari kedua. Sepanjang hari itu, hujan mencucur tak putus-putus. Dari pagi ke petang. Kadang lebat, kadang renyai. Tapi tidak juga reda-reda.
Di mana saya berhenti di Pekan Tanjung Sepat pada hari pertama, di situ jugalah saya bermula pada hari kedua.
Hujan bukannya masalah. Pakai sahaja baju hujan. Muka, seluar jeans, kasut dan stoking jadi basah. Redhakan sahaja.
Sementara sepanjang jalan dari Tanjung Sepat ke Morib dengan melintasi Pekan Batu Laut, saya menghidu bau kampong.
Bau hancing air parit, atau bau ayam basah dari kandang besar tempat orang pelihara secara komersial, paing air laut yang kotor sehinggalah bau-bau aroma sedar tumbuh-tumbuhan yang basah.
Sedepa demi sedepa, batu-batu jalan seperti bercakap kepada saya. Sehingga khayalan itu disentap oleh bunyi lori yang memotong dari arah belakang.
Sekiranya lori itu lori besar, saya dapat rasakan anginnya menolak kayuhan saya menjadi sedikit lebih ringan dan melaju. Juga percik yang disimbah oleh air dari kereta-kereta yang kadang kala seperti tiada belas sama sekali.
Sepanjang jalan utama dari Bagan Lalang, bahu jalannya cukup luas untuk laluan basikal. Bukan hanya saya yang berkayuh. Ada juga kumpulan-kumpulan pengayuh lain dalam empat-lima orang, atau tujuh-lapan orang begitu.
Semuanya memakai basikal lebih besar daripada saya punya. Bukan basikal lipat, yang terkeseng-keseng. Sekali pusing kayuhan basikal-basikal besar itu sama dengan empat-lima kali pusingan tayar basikal saya.
Mereka lebih laju. Justeru itu, kayuhan hari pertama hanya dalam 23 kilometer sahaja.
Hujan pun berhenti ketika saya sampai di Kampung Kanchong Laut, selepas saya lintasi selekoh tajam yang memisahkan antara Morib dengan Banting.
Di situ, jalan mulai tidak sesuai lagi untuk pengayuh basikal. Suasana juga agak semakin sebuk. Kenderaan besar mulai tunjuk taring dan hilang hati perut kepada pengayuh basikal.
Dalam 50 meter daripada lampu isyarat Kampung Kanchong Laut, ada warong jual pisang goreng. Saya berhenti di situ. Muka comot. Rambut lembab. Saya perlu mengopi dahulu kerana Bandar Banting pun sudah tidah jauh lagi...
Saya bukan atlet. Misi ini tidak mengejar waktu penamat. “Kayuhan Solo Wakaf” bagi saya juga satu kehidupan yang harus dinikmati. Hidup bersama sesiapa sahaja yang sempat disapa.
Sehinggalah sekali lagi saya dapat berbual dengan orang-orang di gerai pisang goreng; gerai yang diusahakan tiga bersaudara. Dua perempuan yang berumur lebih 40-an, bersama anak muda yang juga anak saudara mereka.
Ketiga-tiganya adalah orang Jawa. Bunyi percakapan mereka membuat saya boleh agak-agak bahawa mereka adalah Jawa.
Gerai mereka didirikan atas parit yang berada dalam rezab tanah kerajaan. Bukan tapak sendiri. Bila-bila masa, mereka boleh diarah keluar. Itulah yang dibimbangkan. Mungkin sahaja satu hari nanti, periuk nasi mereka hilang.
Sementara saya lihat jualan pisang tanduk dan keledek goreng, sangat laku. Ramai yang singgah membeli. Sama ada yang bermotosikal, mahupun yang berkereta. Sepertinya saya seorang yang pakai basikal.
Sama ada makcik Masnah di Pekan Tanjung Sepat, atau tiga bersaudara peniaga pisang goreng itu, mereka yang tidak punya kuasa ini adalah rakyat yang tetap punya impian. Tetap punya cita-cita. Punya anak-anak dan keluarga.
Apabila yang mereka usahakan terganggu, bagaimanakah nasib mereka kelak? Siapakah yang akan turun tangan untuk membela?
Begitu di sebelah malam, saya mendengar pula keluh seorang pengusaha hotel bajet di Bandar Banting. Di hotel itu saya menginap untuk malam akhir. Bersama suaminya, Kak Haslina membuka perusahaan hotel dalam sepuluh tahun lalu.
Umurnya kini setahun lebih tua daripada umur saya. Dalam tahun ini, pengunjung di hotelnya kurang 50 peratus daripada tahun lalu. Maknanya, pendapatan perniagaannya terjejas 50 peratus daripada tahun lepas. Hal itu cukup membebankan.
Apa yang boleh saya katakan, ekonomi Malaysia sekarang berada dalam keadaan tak bagus. Kapal terbang Malaysia jatuh dan ditembak selain nilai ringgit tidak meyakinkan.
Sedangkan syarikat besar yang diberi segala kemudahan seperti 1MDB pun bisa terhutang berbilion ringgit, bagaimanakah peniaga kecil yang tidak terpedulikan itu?
Mungkinkah leket peluh dan gawat rakyat terbanyak ini dapat dirasakan pemimpin? Dalam debaran hati, saya menjadi semakin tak pasti...
Juga akan kisah seorang remaja, yang sepatutnya bersekolah di tingkatan tiga, telah memilih untuk berhenti sekolah. Saya temui dia bersama sekumpulan kawan-kawannya di atas Bukit Jugra.
Di Bukit Jugra petang-petang jadi tempat ramai orang berjogging. Juga tempat bercengkerama. Beberapa pasangan sedang berbual di bawah pokok tepi rumah api atas bukit itu. Ada pula pasangan yang lain sedang memetik foto mereka sendiri, dengan telefon bimbit mereka sendiri.
Apabila ditanya mengapa dia berhenti sekolah, remaja itu menjawab mahu membantu bapanya membuka tempat basuh kereta. Saya hendak pujuk. Saya cuba yakinkan bahawa dia bukan anak bodoh.
Tidak sesiapa pun yang terlalu bodoh sehingga perlu berhenti sekolah. “Hanya dengan sekolah dan pelajaran,” sambil saya nyalakan rokok, “kau boleh bantu orang tua dan keluarga kau.”
Apa lagi yang terdaya? Dia senyum. Memandang arah jauh ke bawah Bukit Jugra yang dilintasi oleh Sungai Langat. Kapal berlayar perlahan.
Tanah hijau yang luas dan padang yang di bahagian tengahnya tampak gondol. Juga kuburan Cina dan tokong dengan bumbung merah. Matahari sudah sedikit malap.
Kiyai Mohd Anwar menelefon. Dia memberitahu bahawa esok ketika saya sampai di halaman sekolah, murid-murid akan menyambut saya. Saya kata, “Tak perlu!” Kiyai Mohd Anwar kata, “Tak mengapa!”
Ini adalah siri akhir travelog #KayuhanSoloWakaf. Saya sepertinya tak dapat menceritakan jejak kayuhan pada hari akhir dan bagaimana gembiranya saya disambut dengan keriangan oleh anak-anak Sekolah Al-Anwar berserta bendera Malaysia yang mereka kibar-kibar di tangan.
Saya tetap tidak tahu, apakah sasaran kutipan RM50,000 itu bisa tercapai sebelum 28 haribulan ini.
Kepada semua yang memberi perhatian, membantu dan lebih-lebih pula para penderma yang enggan nama mereka tampil di kertas tulisan, kami ucapkan terima kasih yang tiada terkira.
Sumbangan untuk sekolah ini boleh disalurkan ke akaun bernombor 22100003950 (Hong Leong Bank) atas nama Sekolah Rendah Islam Al-Anwar.
HASMI HASHIM seorang pegawai di pejabat menteri besar Selangor. Aktivis seni ini juga dikenali sebagai BUDDHI HEKAYAT, penulis lirik lagu popular 'Awan Nano'.
Bahagian pertama: Jerebu dan misi #KayuhanSoloWakaf
Bahagian kedua: Romantis Pekan Tanjung Sepat
