Paling Popular
Terkini

TRAVELOG Dua ulama yang saya ceritakan dalam tulisan bahagian pertama telahpun pergi meninggalkan kita. Dr Wahbah Zuhaili meninggal dunia pada bulan Ogos tahun ini di Damsyik. Sheikh Butti pula meninggal dunia dalam satu letupan di Damsyik.

Sheikh Butti pada ketika itu sedang menyampaikan kuliah tafsir beliau di masjid Jamek Iman yang menjadi rutin mingguan beliau setiap hari Isnin.

Tiba-tiba berlaku letupan di meja kuliah beliau dan beliau terkulai dengan darah menitis di atas helaian al-Quran.

Beliau syahid disaksikan kitab suci al-Quran.

Sehingga ke hari ini tiada sebarang tangkapan atau dakwaan kepada pembunuh beliau. Ada yang mendakwa pemerintah Bashar yang membunuhnya dan ada juga yang mendakwa pihak lain yang membunuh.

Khabarnya ketika itu beliau sedang berusaha untuk keluar dari Syria berkaitan dengan pandangannya tentang hal peperangan di Syria.

Pada awalnya Sheikh Butti mengambil pendirian yang berbeza dengan ulama Syria yang lain dan juga ulama dunia seperti Sheikh Yusuf Al Qardhawi.

Beliau menolak revolusi rakyat ke atas pemerintahan Bashar yang telah mencetuskan peperangan. Ramai menyangka beliau ulama kerajaan yang menyokong Bashar atau mengampu pemerintah.

Hinggakan, ada pelajar di negara lain yang sanggup membakar kitab Fiqh Sirah tulisannya. Setahu saya beliau bukanlah pengampu pemerintah.

Jika dikira popular, beliau lebih popular di dunia berbanding Bashar yang zalim. Jika hendak dikatakan mengampu pemerintah, tidak sama sekali. Beliau bukan hidup mewah. Hanya tinggal di rumah sederhana dan kenderaannya juga amat sederhana.

Rakyat Syria dan warga asing di Syria kenal dengan ketegasan dan tawaduknya Sheikh Butti. Beliau tidak membenarkan pelajar mencium tangannya.

Jika ada pihak yang cuba mengambil gambar ketika beliau sedang mengajar atau berkhutbah, Sheikh Butti akan menegur pada ketika itu juga.

Ketika beliau masuk dalam masjid atau apa-apa majlis, beliau cukup marah jika ada orang yang bangun berdiri. Akan diarahkan segera duduk sehinggalah beliau berdiri di sejadah imam, barulah semua jemaah boleh berdiri.

Pernah satu ketika, pemerintah memerintahkan rakyat menginfakkan hartanya untuk menampung kegawatan ekonomi yang berlaku. Sheikh Butti menggunakan kesempatan khutbah Jumaat mingguannya di Jamek Umawi (Masjid Negara) untuk menegur kerajaan Basyar.

Kata beliau, “jika kamu hidup dalam kemewahan dan istana-istana besar, kamu belum layak mengarahkan rakyat berkorbankan harta untuk negara”.

Ini ketegasan Sheikh Butti, persis ketegasan sama yang diucapkan oleh Sheikh Izzuddin Abdul Salam di mimbar yang sama di Jamek Umawi ratusan tahun yang lampau menyebabkan Izzuddin dipenjarakan penjajah.

Ketika ura-ura kerajaan Bashar hendak menutup universiti persendirian dan menghalau keluar semua pelajar asing dari bumi Syria, Sheikh Butti memberitahu kerajaan: “Jika pelajar asing dihalau keluar dari Syria, aku juga akan keluar dari Syria bersama-sama mereka”.

Ini menyebabkan kerajaan tidak jadi bertindak sedemikian. Dalam isu revolusi dan peperangan menentang Bashar, Sheikh Butti melihat mudarat lebih besar akan berlaku berbanding keuntungan yang tidak pasti.

Kekal bersama Bashar menyebabkan diktator itu terus menzalimi rakyat. Namun di sana mereka masih boleh hidup dengan aman, boleh mengajar dan belajar. Puluhan ribu pelajar asing boleh terus menuntut ilmu di bumi Syria. Situasi perang belum dapat dipastikan kemenangannya.

Yang pasti, akan berlaku kematian dan kerosakan yang banyak. Jika menang sekalipun, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu. Sebab itu beliau menentang.

Namun ia satu ijtihad yang boleh saja kita menolaknya sebagaimana pandangan majoriti ulama yang lain yang menyokong revolusi, kemudian peperangan.

Namun meletakkan Sheikh Butti sebagai pengampu kerajaan dan menggadaikan keilmuannya tidak tepat sama sekali.

Jika dilihat hari ini, seolah-olah benar apa yang dipegang oleh beliau. Ini kerana sudah lima tahun peperangan berlaku, kemenangan masih belum muncul. Malah Bashar semakin kuat.

Mujahidin berperang sesama sendiri khususnya selepas kemunculan ISIS. Ia suatu yang mendukacitakan. Dalam masa yang sama negara telah musnah.

Lebih dua juta rakyat Syria menjadi pelarian di Turki dan beberapa juta lagi di Jordan, Mesir

dan juga dalam negara.

Sudah beratus ribu nyawa rakyat terkorban. Bashar tetap zalim dan mesti dijatuhkan. Tetapi perbezaan pendekatan di antara ulama tidak harus meletakkan kita sebagai penghukum yang buruk kepada mereka.

Alhamdulillah beliau membuktikan kematian beliau yang sangat mulia – dibunuh ketika mengajar tafsir al-Quran.

Kepada Allah kita memohon agar diampunkan dosa beliau dan ditempatkan bersama orang yang soleh. Khazanah ilmu yang banyak beliau tinggalkan dengan ratusan ribu anak murid di seluruh dunia akan menyambung kerja dakwah beliau.

 


 

MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Ikuti sedutan bahagian pertama: Syeikh Butti yang tepat saat

Lihat Komen
ADS