Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Sebaik masuk ke ruang penyambut tetamu Citi Residence, segala prasangka kami mengenai keadaan di lorong itu lenyap. Kami disambut dengan senyuman oleh penjaga kaunter, Tom.

Raut wajahnya seperti seperti orang Cina. Kata Tom, dia berasal dari daerah Kalimantan.

Citi Residence menyediakan bilik-bilik kecil dengan ruang untuk bersarapan dan bersosial di antaranya. Walaupun tempatnya tidak sebesar mana, namun tetap selesa.

Aku meninggalkan Haeri yang berbaring di atas katil sambil membaca buku ‘Culture Shock!: Jakarta’. Cuaca sejuk pada malam itu membuatkan aku teringin untuk menikmati kopi.

Di tingkat bawah hostel terdapat empat bilik, begitu juga di tingkat atas. Ada dua bilik air yang mempunyai tandas untuk dikongsi sesama pengunjung di setiap tingkat. Bilik sebelah kami tiada penginap, begitu juga dengan bilik di hadapannya.

Bilik hadapan kami pula kelihatan gelap sahaja namun terdengar bunyi orang batuk dari dalam bilik.

Sedang sedap-sedap menikmati secawan kopi panas dan rokok, aku terdengar suara Tom berbicara dengan pelancong. Dari lorong itu kelihatan seorang lelaki dan seorang wanita Eropah yang aku kira pasangannya membuka pintu bilik berhadapan bilik sebelah kami.

Kami bertegur sapa dan lelaki Eropah itu menyertaiku untuk merokok.

Namanya Wilco dari Netherland. Kami bertukar-tukar rokok dan berjabat tangan. Bagaikan sebuah perjanjian telah dimeterai di antara pihak Belanda dan juga Malaysia.

Wilco berkata, rasa rokok keluaran Malaysia itu lebih berat. Mungkin dia berasa pening selepas hisap rokok Malaysia. Kandungan nikotin dan tar lebih tinggi.

Tidak pelik bila bila orang Malaysia sukar berhenti merokok dan orang luar keberatan untuk mencuba rokok dari Malaysia.

Rokok Lucky Strike milik Wilco itu ditanda dengan tulisan dalam bahasa Poland. Apa yang aku faham angka 1.2 itu bermaksud kandungan nikotin 1.2 mg, jauh berbeza dengan kadar 1.8 mg yang dibenarkan untuk rokok buatan Malaysia.

Wilco berkata beliau sebelum ini tinggal di Berlin dengan teman wanitanya itu, Barbra yang merupakan warga Poland. Mereka memulakan kembara dari Berlin.

Teman wanitanya, Barbra Gracowski menyertai perbualan kami selepas itu. Rancangan mereka hanya untuk meluangkan masa seminggu di Indonesia. Selepas beberapa hari di Jakarta, mereka akan ke Bali.

Haeri menyertai kami dan Wilco mempelawa kami minum. Dua tin bir dan empat gelas yang diambil di dapur diletakkan di atas meja.

“Marilah, jemput minum,” ujar dalam bahasa Inggeris sambil membuka tin bir.

Aku dan Haeri menolak dengan sopan. Wilco sedikit terkejut kerana kami menolak pelawaannya. Beliau menjelaskan, kandungan alkohol dalam bir tidak kuat seperti dalam arak lain.

Wilco bertanya jika kami enggan minum atas halangan agama ataupun sepbab lain.

“Tidak apa, saya faham dan saya hormati pilihan anda,” tambahnya dengan senyuman dan terus meneguk bir.

Walau aku dan Haeri enggan menjamah bir hidangannya, perbualan kami tidak terhenti di situ sahaja. Bermacam-macam topik yang dibualkan, daripada soal bola sepak sehingga hal-hal pengembaraan.

Setelah hampir sejam lebih berborak-borak, pasangan itu bangun dan meminta diri untuk masuk tidur kerana terlalu keletihan. Mungkin disebabkan perjalanan mereka yang jauh.

Kami berjanji untuk bersarapan bersama – yang disediakan percuma setiap pagi di situ.

Aku mengajak Haeri keluar untuk berjalan-jalan di sekitar penginapan itu. Ketika dalam perjalanan ke hotel, aku terlihat satu kedai Indomaret di hujung Jalan Hayam Wuruk.

Kami mahu mendapatkan beberapa barang keperluan seperti sabun mandi dan mi segera. Jika di Malaysia kita lebih banyak nampak 7 Eleven dan juga KK Mart, tapi di Indonesia Indomaret ini bersepah-sepah.

Lorong yang gelap itu dipenuhi dengan lopak air setinggi paras buku lali. Tiada pilihan lain, kami redahinya juga. Dalam perjalanan ke Indomaret, aku terasa gembira kerana berada di bumi asing.

Walaupun suasana di bandar Jakarta tidak jaub berbeza dengan Kuala Lumppur tapi aku tetap rasa gembira. Haeri juga rasa begitu. Itu berdasarkan pemerhatian aku dari lenggok bahasa badannya.

Ketika menghampiri Indomaret, aku terlihat seorang lelaki menghampiri kami.

“Mau cewek, mas? Murah aja ini,” seorang bapa ayam membuat tawaran kepada kami. Aku dan Haeri tersenyum nakal dan menggelengkan kepala.

Pada masa yang sama, mata kami meneliti badan wanita yang berpeleseran di tepi jalan itu. Boleh tahan menarik juga bentuk badan mereka.

Keinginan nafsu itu ditolak ke tepi. Kami perlu menjayakan misi ke Indomaret.

Di Indomaret kami capai apa yang kami hajati dan kemudian terus ke kaunter. Bukan hanya sabun mandi serta mi segera, malahan syampu, ubat gigi dan bermacam lagi.

Sebaik tiba di kaunter aku membeli dua kotak rokok. Harga rokok di sini lebih murah berbanding di Malaysia. Haeri membeli rokok kretek untuk dicuba. Haeri bukan perokok tegar seperti aku. Dia boleh diibaratkan sebagai perokok sosial.

Sekali lagi kami terserempak dengan bapa ayam tadi yang masih datang dengan tawaran murahnya. Rp150,000 harganya. Namun pelawaan itu sekali lagi kami tolak dan terus berlalu ke tempat penginapan kami.

Di tempat penginapan, tanpa berlengah kami masuk ke kamar untuk tidur. Tanpa menunggu lama, Haeri sudah berdengkur. Aku masih tidak dapat tidur lalu bangkit semula untuk keluar.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


AHMAD FAUZAN AZAM seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine Dead Sick Society bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk Charity Zine terbitan Marhaen Litera.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine LRT dan antologi cerpen 10 Orang Gila keluaran Cukong Press. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman didiami.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pesanan, hubungi Rabak-Lit: Facebook , Twitter , Instagram.

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak.

Bahagian pertama: 30 hari di Indonesia? Ayuh

Bahagian kedua: Saki-baki pinjaman PTPTN jadi bekalan

Bahagian ketiga: Mas Jimmy, Batak yang peramah

Lihat Komen
ADS