Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Aku pusing ke kiri, tak boleh lena. Pusing lagi ke kanan pun sama. Haeri masih tidur dengan nyenyak. Alangkah nikmatnya jika aku dapat tidur seperti Haeri.

Aku keluar dan bersembang dengan seorang pelancong Eropah di luar bilik. Namanya Stefan, dari Jerman. Beliau berhasrat untuk berjumpa dengan seorang temannya dari Thailand di sini dan seterusnya mereka akan ke Bali.

Kami tidak berbual lama. Stefan sudah penat dan ingin masuk tidur. Habis minum aku kembali ke bilik untuk sambung tidur. Mudah-mudahan berjaya.

Sambil berbaring, aku teringat pada satu petikan dari novelis British, Somerset Maugham:

“I am often tired of myself and have a notion that by travel I can add to my personality and so change myself a little. I do not bring back from a journey quite the same self that I took.”

Perlahan-lahan aku buka mata. Sinar mentari menyelinap masuk ke bilik melalui celah tirai kayu yang menutup tingkap, mengenai wajahku. Aku gosok mata dan memandang ke arah Haeri, masih nyenyak gamaknya.

Pintu bilik dibuka, ucapan selamat berkumandang dari Wilco dan Barbra yang juga baru saja membuka pintu bilik mereka. Haeri menyertai kami untuk bersarapan.

Pagi pertama di Indonesia. Aku menjamu selera dengan roti bakar sapu jem dan kopi tradisional Indonesia, ringkas. Seterusnya, Stefan menyertai kami untuk bersarapan.

Kami melingkungi meja yang tak berapa besar itu. Perancangan diatur. Wilco berhajat untuk mengunjungi kawasan Kota Tua dan pelabuhan.

Haeri bersetuju. Stefan juga ingin ikut serta. Jam 10, kami berlima keluar yang dirancangkan. Langit mendung memberi petunjuk hari akan hujan. Tom, pemilik Citi Residence berpesan, bulan Disember sering membawa hujan.

Syukurlah Citi Residence hampir dengan stesen bas dan keretapi. Kami memilih untuk menaiki busway, sebuah perkhidmatan bas awam popular di kota ini. Sebaik keluar menghampiri jalan raya utama, kami dapat melihat keadaan sesak – macet.

Kesesakannya mungkin lima kali ganda lebih teruk berbanding Kuala Lumpur. Stesen busway yang berada di tengah-tengah jalan raya itu seperti stesen Putra LRT di sini. Kita perlu menaiki jejantas untuk ke stesen bas tersebut.

Tempat pejalan kaki juga sesak. Kota Jakarta memang gila. Penunggang motosikal terpaksa menggunakan laluan pejalan kaki sebagai alternatif.

Pemandu kenderaan juga akan meletakkan kereta mereka di setiap ruang kosong di kaki lima tersebut dengan selamba. Tom berkatra, setiap ruang kosong yang tidak dipenuhi dengan gerai atau pokok akan dijadikan parkir.

Suasana sekeliling hingar dengan bunyi hon bertalu-talu dari segenap arah. Di Indonesia, perbuatan membunyikan hon memang menjadi tabiat mereka, seperti yang diceritakan seorang pemandu kepadaku di Medan.

Mereka membunyikan hon sebagai isyarat memberitahu kehadiran mereka kepada pemandu lain sekiranya hendak melalui simpang, memotong dan macam-macam lagi. Aku mempercayainya kerana aku melihat rata-rata rakyat Indonesia memandu dan membunyikan hon dengan muka yang bersahaja tanpa riak wajah bengis atau bengang.

Begitu juga orang yang dihon, muka biasa saja. Malah ada juga yang membalas balik hon itu sebagai tanda penghargaan. Kalau di Malaysia, rata-ratanya orang yang menggunakan hon ini dalam keadaan marah-marah dan silap hon boleh membawa pergaduhan.

Ketika melalui jejantas, kami melihat ramai gelandangan yang tidur dan meminta sedekah. Ada yang masih tidur dengan berseluar pendek koyak rabak beralaskan suratkhabar.

Ada makcik yang meminta sedekah sambil mendodoikan anak, ada yang dah serabai habis, yang berkudis, yang tak lengkap anggota badan, yang sihat walafiat tapi merempat dan ramai lagi.

Orang yang lalu-lalang itu sesetengahnya tidak mengendahkan kewujudan gelandangan ini dan ada yang baik hati menghulurkan sedikit wang atas rasa perikemanusiaan.

Jika di Malaysia, kegiatan bergelandangan begini tidak dibenarkan, malah menjadi satu dosa. Harga tiket ke stesen berhampiran Kota Tua itu Rp 2,000, kira-kira beberapa sen sahajalah dalam RM.

Basi tiba 10 minit kemudian. Suara seorang wanita kedengaran dari corong pembesar suara: “Hati-hati! Pintu akan ditutup. Pastikan langkah-langkah anda”.

Kami hanya berdiri di dalam bas yang sesak dan tiba 15 minit kemudian, walau keadaan jalannya sesak teruk.

Aku kagum dengan perkhidmatan busway. Sungguh lancar serta tidak tersangkut di jalan raya. Ruang kanan jalan itu sememangnya dikhususkan untuk bas. Memang cekap.

Jika dibandingkan, aku tidak berminat untuk naik bas di KL kerana sudah tahu, ia pasti akan tersangkut dalam kesesakan.

Langit masih terang, tiada tanda-tanda akan hujan, tapi mungkin ada kejutan dari yang Maha Berkuasa sebentar lagi. Barbra membawa payung kecil dalam beg galasnya sementara Haeri mempunyai poncho yang boleh digunakan sebagai baju hujan.

Aku dan Stefan tiada apa-apa perlindungan dari hujan.

Kota Tua Jakarta ini juga dikenali sebagai Betawi Lama (Oud Batavia) merupakan wilayah kecil yang terletak di dalam Jakarta. Ia meliputi kawasan Jakarta Utara dan Jakarta Barat. Mengikut cerita Tom, Kota Tua ini mendapat jolokan nama sebagai Permata Asia dan Ratu Dari Timur pada abad ke-16 oleh pelayar dari Eropah.

Lokasinya strategik kerana dekat dengan kota Melaka, menjadikannya pusat perdagangan bagi benua Asia. Ia menjadi pusat tumpuan bagi pelbagai suku untuk berhijrah dan mencari peluang pekerjaan.

Banyak bangunan peninggalan sejarah dari zaman penjajahan Belanda yang masih tersergam di situ. Di sini juga terdapat sebuah dataran luas dipenuhi dengan pengunjung untuk beriadah, maklumlah hari ini hari Sabtu. Kesempatan itu digunakan oleh penduduk Indonesia untuk membawa keluarga bersiar-siar..

Aktiviti kami banyak dihabiskan dengan melihat karya yang dipamerkan oleh seniman jalanan di sekitar Dataran Fatahillah, Kota Tua. Suasananya seakan sama dengan Dataran Merdeka, Pasar Seni mahupun Dataran Shah Alam di Malaysia. Ada penjaja, persembahan pantomim, orang melepak, basikal serta beca yang beraneka warna dan bermacam lagi.

Beberapa orang pelajar sekolah yang membawa perakam video menemuramah beberapa orang pelancong di dataran tersebut. Rakan-rakan dari Eropah yang baru aku kenali semalam menjadi sasaran mereka.

Di hadapan Dataran Fatahillah itu tersergam sebuah cafe dipanggil Cafe Batavia. Bangunan ini berusia sekitar 200 tahun. Aku melabuhkan punggung di bangku berhampiran. Seorang pakcik di situ menyarankan aku melihat persembahan muzik di Cafe Batavia pada malam nanti.

Jika berkesempatan bolehlah melepak di sini malam ini. Muzium Fatahillah adalah bangunan paling tua di kawasan ini, nombor dua – bangunan Cafe Batavia. Sekiranya ingin merasai suasana Jakarta di era kolonial, Cafe Batavia ini menyediakannya.

Rekaan dalamannya disesuaikan dengan suasana abad ke-19. Dalam hatiku berbisik, ‘Pasti harga di sini mahal-mahal belaka.’

Ketiga-tiga rakan Eropahku sudah selesai ditemuramah oleh para pelajar sekolah. Haeri menghampiriku, begitu juga Stefan, Wilco dan Barbra. Jam sudah menunjukkan pukul 1 petang. Hujan turun renyai-renyai. Kami bergegas berjalan menuju ke pelabuhan.

Wilco dengan yakin menunjukkan arah pelabuhan itu seperti dia seorang yang dah biasa duduk di laut. Aku mengagak orang Belanda ini mungkin boleh hidu bau air laut. Kami semua mengikut saja Wilco seperti anak-anak kecil.

Sejam kemudian, kami masih tidak pasti di mana hulu hilirnya. Yang pasti, kami sudah berada di sebuah perkampungan yang dinaiki air sehingga paras buku lali.

Budak-budak sekolah yang baru pulang dari sekolah kelihatan bermain air dengan gembira. Keadaan di situ seolah-olah seperti kota Venice di Itali. Bezanya, di sini tiada gondola.

Kami mengharung air di situ selama kira-kira 15 minit, kami bertanya arah kepada seorang pemuda. Beliau membawa kami merentasi satu kawasan pembinaan.

Dari jauh, kami dapat melihat laut, lalu langkah kami bertambah laju. Wilco menyelitkan Rp2,000 ke tanganku untuk diberikan kepada pemandu arah kami.

Pemuda itu menepis tanganku. “Enggak apa-apa. Saya bekerja di sini. Kebetulan satu laluan. Saya tunjukkan saja,” ujarnya. Aku mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengannya.

Angin laut bertiup kencang, kami singgah di sebuah gerai. Aku lebih tertarik dengan Little Venice tadi. Tiada apa yang menarik di pelabuhan ini. Suasananya seperti di Pelabuhan Klang.

Sekembalinya di hotel, aku teringat perbualan aku dan Wilco dalam bas ketika perjalanan pulang ke sini. “What is hati-hati?,” soalnya.

Sepanjang perjalanan tadi, dia tidak henti-henti menyebut perkatan “hati-hati”. Dia sangat tertarik dengan perkataan itu.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


AHMAD FAUZAN AZAM seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine 'Dead Sick Society' bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk 'Charity Zine'.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine 'LRT' dan antologi cerpen '10 Orang Gila'. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pesanan, hubungi Rabak-Lit: Facebook , Twitter , Instagram .

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak .

Ikuti sedutan sebelum ini:

30 hari di Indonesia? Ayuh

Saki-baki pinjaman PTPTN jadi bekalan

Mas Jimmy, Batak yang peramah

Hari pertama: Tawaran bir, perempuan

Lihat Komen
ADS