Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Pada hari raya pertama, saya masuk ke kawasan himpunan penyokong Mursi dan melihat aktiviti mereka. Kawasan itu menjadi seperti perkampungan dengan khemah keluarga dipasang untuk mereka berkampung di situ.

Malah, ada yang mengambil kesempatan melakukan upacara perkahwinan di pentas Rubu’ah ini.

Tanggal 5 Syawal, sebaik bangun daripada tidur, saya dan isteri bersiap-siap untuk keluar ke bandar. Oleh kerana memikirkan keselamatan, kami membuka televisyen terlebih dahulu untuk melihat situasi terkini.

Terpapar sahaja siaran Al-Jazeera, suasana kelam-kabut dilihat di dataran Rubu’ah. Berlaku tembakan tanpa henti ke arah peserta himpunan. Rupanya Rubu’ah telah digempur tentera dan polis sejak selepas subuh.

Beberapa mayat bergelimpangan dan sebahagian yang lain berlari ke hulu dan ke hilir mengangkat baldi berisi air untuk memadamkan bom asap yang ditembak tanpa henti ke kawasan tersebut.

Siaran Al-Jazeera juga menayangkan suasana di Hospital Rubu’ah bersebelah dengan pentas. Ratusan mayat dan mangsa serangan yang meraung kesakitan dibawa masuk ke hospital.

Tidak cukup katil, sebahagian mereka ditempatkan di lantai sahaja. Doktor-doktor terpaksa berkejar dari satu mangsa ke mangsa yang lain yang tidak putus-putus dibawa masuk ke dalam ruangan hospital.

Di luar, tembakan tidak putus-putus kedengaran. Mayat bergelimpangan.

Beberapa orang pemimpin masih kekal di atas pentas, termasuk Singa Rubu’ah, gelaran yang diberikan kepada ahli parlimen Ikhwan Dr Muhammad Beltaji yang mengetuai himpunan setiap hari. Kamera dihalakan di hadapan pentas.

Seorang wanita muda masih kental memberi pertolongan kepada mangsa dalam keadaan peluru bertali arus. Tiba-tiba sebutir peluru tepat terkena di tubuhnya. Gadis itu jatuh. Kemudian bangun semula.

Untuk kali yang keduanya gadis ini tersungkur setelah terkena tembakan kedua.

Tidak lama selepas itu siaran langsung dari dalam Hospital Rubu’ah mengumumkan kematian seorang wanita muda bernama Asma’ Beltaji, anak kepada Dr Muhammad Beltaji.

Itulah wanita muda yang ditembak di depan pentas sebentar tadi. Bapanya menjawab soalan wartawan di hadapan jenazah anaknya:

“Sepanjang lebih 50 hari aku di pentas Rubu’ah, anakku di bawah pentas bersama orang ramai. Tiada masaku untuk mereka. Tetapi hari ini anakku sudah berada di sisiku, tetapi kaku tidak bernyawa.”

Peristiwa ini cukup bersejarah dalam hidup kami suami isteri. Tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Sebab itu apabila mendapat anak keempat, segera saya namakan dengan Asma’.

Keesokan harinya selesai solat jumaat di Masjid As-Salam. Imam mengumumkan untuk melakukan solat jenazah. Ada beberapa jenazah mangsa pembunuhan Rubu’ah. Salah satunya ialah Asma’ Beltaji. Sempat saya sama-sama menunaikan solat jenazah ke atas beliau.

Erdogan sangat berang dengan peristiwa ini. Dia memberikan ucapan mengutuk kekejaman tentera Mesir dan mengangkat simbol empat jari ataupun dalam Bahasa arabnya rabi’ah (empat) sebagai sokongan kepada penyokong Mursi. Sebuah taman di Turki dinamakan dengan Taman Asma’, bersempena nama Asma’ Beltaji gadis muda yang terbunuh.

Tidak lama selepas itu, televisyen menyiarkan situasi di Medan An-Nahdah berhadapan Universiti Kaherah. Serangan di situ telah membunuh ribuan manusia. Lebih sadis apabila khemah peserta demonstrasi dan mayat-mayat yang bergelimpangan telah dibakar oleh pihak tentera.

Gambaran mayat rentung masih terbayang sehingga ke hari ini. Inilah kekejaman rejim As-Sisi. Berakhir dengan lebih lima ribu nyawa dibunuh pada tarikh tersebut. Sehinggalah jam sekitar empat petang, siaran Al- Jazeera tertutup.

Khabarnya wartawan yang menyiarkan secara langsung itu ditembak di lokasi mereka membuat rakaman di Medan Rubu’ah. Al-Jazeera membuat siaran langsung 24 jam semenjak bermulanya rampasan kuasa sehinggalah kejadian hitam di Medan Rubu’ah ini.

Keesokan harinya, saya dan isteri keluar ke bandar. Walaupun suasana belum dipastikan, kami sudah tidak tahan seharian duduk di rumah tanpa mengetahui perkembangan. Sengaja kami mengambil bas yang melalui kawasan Rubu’ah.

Sampai di situ, hanya tinggal kesan-kesan kebakaran kecil khususnya pam minyak yang berada berdekatan. Tidak banyak kesan dapat dilihat. Namun mata kami di dalam bas kepedihan kerana baki bom gas pemedih mata yang ditembak sehari sebelumnya masih lagi terasa.

Bayangkan, sudah masuk hari kedua masih terasa pedihnya, bagaimanalah mereka yang menghidunya pada hari kejadian.

Apa memasuki pusat bandar, kami melihat sebuah kenderaan polis terbalik di tengah jalan. Inilah yang ditunjukkan media Mesir kononnya polis diganasi peserta himpunan. Tetapi pembunuhan lebih lima ribu orang tidak ditayangkan.

Melalui kawasan Kementerian Dalam Negeri tidak jauh dari bangunan perpustakaan Al Azhar, polis-polis beratur memberi penghormatan kepada beberapa orang rakan mereka yang terbunuh.

Entah siapa yang bunuh tidak diketahui. Kes inilah yang menjadi tuduhan terhadap Dr Mursi, Dr Muhammad Bade’ Mursyidul Am Ikhwan dan lain-lain pemimpin Ikhwan sehingga mereka dijatuhkan hukuman bunuh. Tetapi pembunuh lima ribu orang rakyat Mesir tidak didakwa dan terus bebas bermaharajalela.

Beberapa hari selepas itu, sekali lagi saya dan isteri melalui kawasan Rubu’ah. Kami terkejut kerana melihat suasana sudah berubah. Masjid yang ada kesan kebakaran sebelumnya sudah cantik seperti tidak ada apa-apa berlaku.

Jalan raya diturap dan di tengah bulatan simpang empat Rubu’ah itu siap dibina arca yang sangat cantik. Bunga-bunga tersusun rapi di sekeliling bulatan tersebut. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku beberapa hari sebelumnya.

Hebatnya mereka menghapuskan kesan bukti. Sama seperti yang dilakukan oleh Hafiz Asad kepada penduduk Hama, Syria pada tahun 1982. Tiada kesan dan bukti. Malah di zaman tiada internet dan terkawal maklumatnya, lebih sukar untuk dibuktikan.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Nasaie Ismail .

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Lihat Komen
ADS