Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Hari ini tiga bandar di Utara Syria menjadi pusat penentangan kepada Bashar. Home, Hama dan Halab – ketiga-tiga bandar ini telahpun musnah diletupkan tentera Bashar. Kesan-kesan sejarah musnah dan ia suatu yang amat menyedihkan.

Rombongan kami ke Halab sebenarnya membawa Ustaz Ahmad Dasuki dari Malaysia bersama keluarganya. Beliau menghantar adik iparnya untuk belajar di Syria. Kesempatan yang ada kami gunakan untuk berjalan ke utara Syria.

Kami hanya mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam sahaja di bandar Halab yang juga dikenali dengan nama Aleppo. Selain melihat bandarnya, kami juga naik ke Kubu Salahuddin Al Ayyubi di tengah pusat bandar.

Aleppo

Cukup hebat binaannya pada zaman tiada teknologi seumpama hari ini. Apabila membaca sejarah Perang Salib, perjalanan ceritanya begitu terasa kerana kami sudah meninjau dari dekat kubu ini.

Dalam perjalanan pulang, kami berhenti di bandar Home kerana sebahagian daripada kami sudah lapar. Kami singgah di sebuah restoran Arab bersebelahan Hospital Home dan memesan nasi.

Sebahagiannya dimakan kerana lapar, namun sebahagian lagi tidak mampu dihabiskan kerana ia dimasak dengan minyak sapi. Bukanlah kebiasaan orang Malaysia memakan minyak sapi. Sekadar mengalas perut sudah cukup.

Selesai makan, saya hendak membuang air kecil. Puas mencari tandas namun tidak dijumpai. Saya dan sahabat saya Abang Gee mengambil keputusan untuk ke hospital di seberang jalan. Di Malaysia, biasanya kita menggunakan tandas hospital yang sangat bersih.

Selesai melepaskan hajat, saya keluar dari bangunan hospital. Abang Gee yang keluar lebih dahulu daripada saya menanti di pintu hadapan hospital. Tiba-tiba datang beberapa orang anggota polis ke arah kami.

Disoal bertubi-tubi

Terus dipegang tangan dan dibawa ke balai polis berdekatan. Peluh sejuk mula membasahi dahi. Terbayang segala yang buruk-buruk. Walaupun kita tidak bersalah, tetapi di Syria itu bukanlah perkiraannya. Disyaki sahaja sudah cukup membuatkan kita dipenjara sehingga tidak tahu bila dibebaskan.

Masuk ke balai polis, kami disoal bertubi-tubi. Kenapa kami masuk kawasan hospital? Tujuan apa? Dan pelbagai soalan pelik-pelik lagi. Saya sepakat dengan Abang Gee untuk menjawab dalam Bahasa Melayu.

“Kami pergi tandas. Nak kencing. Cari tandas puas dah tidak jumpa-jumpa. Sebab itu kami masuk hospital.”

Mereka terpinga-pinga tetapi terus mengasak. Mereka mengesyaki yang buruk-buruk pada kami. Sememangnya di Syria, bangunan kerajaan dikawal rapi.

ALEPPO

Mereka cukup bimbang dengan sabotaj yang akan dilakukan terhadap bangunan kerajaan. Bagi mereka, tidak logik kita ke hospital semata-mata untuk mencari tandas. Ini kerana bagi mereka di mana terasa hendak kencing, di situlah tandas mereka. Dipancut sahaja di tepi jalan atau ke dinding.

Teringat ketika awal kami di Syria, kami membuat lawatan ke Sungai Furat. Sungai yang sangat bersejarah yang pernah disebut bersama Sungai Nil oleh Nabi Muhammad .

Sabda Nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah air Sungai Furat akan kering sehingga menampakkan gunung emas. Lalu manusia akan berperang untuk merebutnya. Setiap 100 orang yang berperang, 99 daripadanya akan terbunuh.”

Dikawal sejak zaman Rasulullah

Sungai Furat merentasi Syria, Turki dan Iraq. Ia merupakan sumber air yang penting kepada Syria. Tidak seperti Malaysia yang kaya dengan sungai dan air, negara Arab tidak kaya dengan air.

Sebab itu pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, siri peperangan melibatkan juga perebutan kawasan tadahan air. Jika satu kumpulan menguasai sumber air, potensi mereka untuk menang sangat tinggi.

090820-A-8858T-277 Inilah yang terjadi dalam peperangan Badar pada waktu itu Rasullullah SAW memerintahkan supaya berkubu di belakang sumber air.

Sahabat Nabi, Abdullah bin Munzir sebaliknya mencadangkan supaya berkubu di hadapan sumber air agar sumber tersebut berada di bawah kawalan tentera Islam, barulah musuh mereka akan lemah tanpa sumber air.

Rasulullah SAW bersetuju dengan cadangan tersebut.

Masuk ke kawasan Sungai Furat yang berpagar, kami perlu melalui satu pintu yang dikawal tentera. Segala pasport dan maklumat peribadi kami didaftarkan. Kemudian bas terus masuk sehingga ke pinggir sungai.

Sungai ini luasnya seperti tasik. Di tengah sungai ini terdapat qal’ah atau kubu Salahuddin Al Ayyubi. Sedang kami memulakan aktiviti mandi-manda dan menjamu makanan, seorang pegawai tentera berpakaian biasa sampai.

Beliau meninjau aktiviti kami sehinggalah kami beredar. Itu memang prosedur mereka. Setiap pelawat mesti diperhatikan agar tiada perkara yang tidak baik dilakukan. Mereka bimbang pihak luar melakukan sabotaj ke atas sungai mereka.

Euphrates at Birecik

Setelah puas menyoal kami dan pening mereka dengan jawapan dalam Bahasa Melayu. Lalu ditanya kami dari mana dan hendak ke mana? Saya menggunakan sepatah perkataan Bahasa Inggeris yang difahami mereka. “I’m tourist! I’m Tourist.”

Dengan penuh yakin, saya memberitahunya bahawa kami dalam kumpulan ramai dan turut diiringi pemandu orang Syria. Akhirnya mereka membebaskan kami berdua.

Inilah sikap pemerintah Syria dan pasukan keselamatannya yang sentiasa hidup dalam ketakutan dan berwaspada. Ini kerana mereka banyak musuh. Mereka mesti bersedia untuk menghadapi kemungkinan sabotaj.

Pun begitu, keselamatan mereka tetap tidak terjamin. Ada dua sebab saya berkata begitu.

Pertamanya dalam kes seorang usahawan Malaysia, Malik Faisal yang dihalang masuk melalui lapangan terbang. Usahawan tersebut tetap berjaya masuk dengan selamat melalui jalan darat Jordan-Syria. Ini bermakna, sistem mereka masih kuno.

Faktor kedua adalah amalan rasuah yang menjadi darah daging mereka. Letak sahaja duit semua beres. Siapa sahaja bebas keluar masuk ke negara mereka dengan duit. Sebab itu tetap tidak selamat.

Keadaan sama berlaku ketika peperangan Rusia dengan Chechnya pada tahun 1990-an dahulu. Setelah dikepung berhari-hari, pejuang Chechen ini berjaya keluar dari kepungan tentera Rusia.

Kejadian ini amat memalukan Rusia sebagai kuasa tentera kedua terbesar dunia selepas Amerika. Mereka tewas dengan kumpulan Chechen yang kecil sahaja yang tidak ada negara merdeka pun.

Apabila ditanya kepada komander tentera Chechen, apakah rahsia mereka berjaya melepasi halangan Rusia. Jawab mereka, ketika melalui sekatan, tentera Rusia sedang ketagih rokok.

Kumpulan tentera Chechen itu hanya menghulurkan sekotak rokok sahaja, terus sekatan dibuka.

Bayangkan dengan sekotak rokok sahaja boleh menjadi punca kekalahan peperangan. Inilah bahananya rasuah yang wajib kita perangi habis-habisan.


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembaca Cinta di Syria

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Gugurnya Asma' di Dataran Rubu'ah

Lihat Komen
ADS