Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Di Syria, masjid mereka sangat banyak. Dalam jarak yang kita boleh berjalan kaki di sekeliling rumah kita sahaja sudah ada lebih 30 buah masjid. Masjid di Syria dikenali sebagai Jame'.

Misalnya dari rumah saya di Kariah Sukar dalam ukuran 300 meter sekeliling adanya Jame' Sukar, Jame’ Abu Nur, Jame’ Butti, Jame’ Hanabilah, Jame’ Mahyudin, Jame’ Haajiyah, Jame’ Nablusi dan dua buah lagi yang saya sudah lupa namanya.

Damascus, Syria Ini bermakna, terdapat hampir 10 buah masjid dalam lingkungan 500 meter di sekeliling rumah kita.

Walaupun jumlahnya banyak, jemaah setiap kali solat waktunya tetap ramai. Kepadatan penduduk dan kesedaran untuk solat berjemaah cukup tinggi dalam kalangan masyarakat mereka. Bukan sekadar generasi tua, tetapi juga anak muda dan kanak-kanak.

Suatu yang menarik ialah tentang galakan mereka kepada kanak-kanak untuk datang ke masjid dan membudayakan al-Quran. Setiap cuti musim panas sekitar tiga bulan atau 100 hari, banyak masjid mengadakan pertandingan hafazan Al Quran.

Kanak-kanak serbu masjid

Pemenang tempat pertama akan dibawa menunaikan umrah secara percuma. Sangat lumayan hadiahnya. Begitu juga hadiah tempat kedua, ketiga dan seterusnya. Ia cukup memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk menyertai pertandingan ini.

Selesai solat Zohor ataupun Asar, kanak-kanak ini akan menyerbu masjid. Jika di sebelah rumah saya itu Jame’ Sukar, jumlahnya setiap hari sekitar 50 orang lelaki dan perempuan. Dengan berpakaian sukan, mereka masuk ke dalam masjid mengambil wuduk dan memulakan hafalan.

Berdengung suara mereka setiap lepas Zohor dan Asar berlumba menghafal sesama sendiri. Tidak pelik jika sebahagian daripada mereka boleh menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 100 hari atau kurang daripada itu.

Ini kerana al-Quran sudah menjadi budaya mereka. Sejak daripada kecil mereka membudayakan hafalan al-Quran dalam keluarga.

Hampir setiap masjid akan ada guru tahfiz yang akan mendengar hafalan para penduduk tidak kira muda ataupun tua setiap kali selepas solat.

Seperti tradisi di kampung-kampung kita pada waktu kecil dahulu. Setiap malam selepas Maghrib, ramai-ramai akan ke rumah guru al-Quran bagi mempelajari bacaan al-Quran.

Tetapi mereka bukan belajar membaca al-Quran sahaja, tetapi turut menghafal. Jika di negara kita atau sebahagian negara umat Islam, untuk menghafal al-Quran perlu memasuki maahad tahfiz. Kemudian ada syarat-syarat tertentu seperti usia dan juga kebolehan membaca dengan lancar.

Biasanya anak-anak berusia sekolah rendah dan menengah sahaja diterima masuk maahad tahfiz ini dan mereka perlu belajar sepenuh masa.

Maahad tahfiz di setiap kampung

Jarang kita temui maahad tahfiz untuk kanak-kanak ataupun orang dewasa. Tambahan pula secara sambilan. Mungkin ada tetapi jumlahnya amat terhad.

Berbeza di Syria, setiap masjid dan kampung adanya maahad tahfiz. Ianya terbuka kepada semua peringkat usia. Tidak hairan jika selepas solat kita akan melihat orang tua berusia pencen dengan anak muda berusia belasan tahun sama-sama menghafal di hadapan imam.

Inner light...

Budaya ini sangat baik, menyebabkan ia menjadi budaya dalam kalangan masyarakat mereka. Setiap kali selepas solat Subuh biasanya pelajar Malaysia akan menghafal al-Quran di hadapan guru di setiap masjid.

Memang sukar untuk lepas satu-satu hafalan. Ini kerana jika sekadar lancar bacaan sahaja tidak menjamin bacaan kita dilepaskan oleh sheikh. Perlu dibaca dengan tajwid yang betul. Terutama sekali surah Al-Fatihah kerana ia bacaan wajib setiap solat.

Saya memulakan hafalan di hadapan Sheikh Muhammad Nablusi di Jame’ Nablusi selepas solat Subuh. Pengalaman pertama membaca surah Al-Fatihah diulang baca sehingga hari kedua. Barulah dilepaskan ke surah berikutnya surah An-Nas.

Walaupun sudah berpuluh tahun kita membaca Al-Fatihah. Masih belum lulus dengan sekali baca. Sebutan dan tajwidnya akan dipastikan tepat.

Budaya sama di Turki

Malah ada di antara pelajar-pelajar yang menghabiskan masa seminggu hingga sebulan untuk memperbetulkan bacaan Al-Fatihah mereka. Demikianlah ketatnya mereka menjaga Al Quran. Selepas itu bacaan kita akan lebih lancar.

Landscape from Mount Qasioun , Damascus, Syria  479 Budaya yang sama juga diamalkan di Turki. Walaupun lebih 80 tahun disekularkan oleh Ataturk, tetapi ramai rakyatnya mengekalkan budaya menghafal Al Quran. Jika kita ke Turki pada hari ini, jumlah pusat tahfiznya berpuluh ribu.

Jika begitu jumlah sekolahnya, berapa juta pula pelajarnya. Antara yang terkenal ialah pusat tahfiz yang dikelolakan oleh Pergerakan Sulaimaniah. Pusat Tahfiz Sulaimaniah ini mempunyai cawangannya yang sudah berada di serata dunia.

Di Malaysia sahaja saya difahamkan ada beberapa cawangan. Salah satunya di Teras Jernang, Bangi. Setelah belajar beberapa tahun di Malaysia, pelajar akan dibawa melanjutkan pelajaran di Turki.

Dalam setiap kunjungan saya sebanyak tiga kali ke Turki, saya tidak melepaskan peluang ke Masjid Fateh.

Masjid yang terletaknya makam Sultan Muhammad Al-Fateh, sultan Othmaniah yang berjaya menawan Konstantinople atau Istanbul daripada kuasa besar Byzantine.

Di masjid ini setiap selepas solat akan ada para jemaah yang membaca hafalan mereka. Khususnya selepas solat Subuh. Kali pertama saya sampai ke Istanbul pada tahun 2010.

Apabila azan Subuh dikumandangkan, kami terus ke masjid. Selesai solat sunat, salah seorang jemaah akan memperdengarkan hafalannya.

Jemaah yang lain akan memeriksa bacaan tersebut di Quran masing-masing. Bacaannya habis satu juzuk. Kemudian barulah solat Subuh.

Itulah budaya Al Quran yang diterapkan masyarakat Syria kepada anak-anak mereka.


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Gugurnya Asma' di Dataran Rubu'ah

Ketakutan, waspada pemerintah Syria

Lihat Komen
ADS