MediAsas: Memperluas akses kepada perlindungan perubatan untuk lebih ramai rakyat Malaysia
Apabila caj rawatan perubatan menjadi semakin tinggi, kosnya juga boleh menjadi membebankan.
Ini bermaksud, kemasukan ke hospital untuk tempoh yang singkat sahaja boleh menyebabkan seseorang pesakit terpaksa menanggung bil yang mencecah hingga ribuan ringgit manakala penyakit serius atau rawatan yang mengambil masa lebih lama boleh menelan kos hingga puluhan malah ratusan ribu ringgit.
Di sinilah perlindungan perubatan boleh memberi perbezaan yang ketara. Namun, perlindungan yang lebih menyeluruh lazimnya melibatkan premium yang lebih tinggi, sekali gus mewujudkan cabaran untuk mengimbangi tahap perlindungan dengan kemampuan kewangan pengguna.
MediAsas direka untuk merapatkan jurang ini dengan menawarkan pelan perubatan yang bermanfaat pada kos yang lebih mampu ditanggung oleh golongan masyarakat yang lebih luas.
Tujuannya adalah untuk memastikan perlindungan asas lebih mudah dicapai dan mampu dikekalkan berbanding menawarkan perlindungan yang terlalu luas pada harga yang mungkin sukar ditanggung oleh ramai orang untuk jangka masa panjang.
Dalam erti kata mudah, MediAsas adalah sebuah pelan asas. Ia menyediakan perlindungan tetapi bukan bertujuan untuk menampung setiap keperluan perubatan atau menggantikan pelan yang lebih menyeluruh. Bagi sesiapa yang mencari perlindungan lebih meluas, boleh berbuat demikian dengan pilihan insurans perubatan atau takaful lain bagi memperoleh perlindungan yang lebih bersesuaian.
Mengapa tidak tawarkan perlindungan bernilai RM3 juta terus?
Pelan standard MediAsas mempunyai had tahunan sebanyak RM100,000, dengan had tahunan meningkat kepada RM150,000 bagi individu yang berumur melebihi 60 tahun.
Lumrah untuk seseorang tertanya-tanya sama ada kadar perlindungan mereka boleh ditingkatkan atau tidak. Untuk rekod, sesetengah produk yang terdapat di pasaran pada masa ini menawarkan had tahunan yang boleh mencecah hingga jutaan ringgit.
Had tahunan bagi MediAsas ditetapkan dengan mengambil kira pengalaman tuntutan perubatan terkini. Menurut Bank Negara Malaysia, 99% episod rawatan bagi pelbagai keadaan perubatan lazim (walaupun mengambil kira kemungkinan kemasukan ke hospital berulang kali) melibatkan kos sebanyak RM55,225 atau kurang. Oleh itu, jumlah RM100,000 adalah lebih daripada mencukupi bagi kebanyakan kes.
Lazimnya, had tahunan yang lebih tinggi melibatkan premium yang lebih tinggi. Akhirnya, pengguna harus mempertimbangkan sama ada mereka wajar membayar untuk perlindungan yang berkemungkinan besar tidak akan mereka gunakan.
Bagi mereka yang menginginkan kadar tahunan lebih tinggi, MediAsas mempunyai tahap Fleksi yang menawarkan had tahunan sebanyak RM300,000 dengan jumlah pendeduksian lebih tinggi. Ini memberikan pengguna satu lagi pilihan, bergantung pada keperluan perlindungan dan kemampuan kewangan mereka.
Mengapa MediAsas tidak melindungi semua situasi perubatan sedia ada?
Seperti kebanyakan produk insurans perubatan, MediAsas mungkin mengecualikan beberapa keadaan tertentu daripada perlindungannya. Sama ada kesihatan sedia ada dilindungi atau tidak, ia bergantung pada terma produk dan hasil ujian yang relevan.
Dapat difahami sekiranya ia mungkin menimbulkan kebimbangan buat segelintir individu yang sedang menghidapi penyakit. Bagaimanapun, insurans perubatan beroperasi dengan mengumpulkan risiko dalam kalangan kumpulan pemegang polisi yang lebih luas. Sekiranya penyakit sedia ada dilindungi tanpa batas, kos tuntutan boleh menjadi lebih tinggi dan ini boleh menambah tekanan kepada pakej premium.
MediAsas direka bentuk dengan pendekatan piawai bagi proses penajajaminan dan penentuan kelayakan, bertujuan menjadikan perlindungan perubatan lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang sambil mengekalkan langkah-langkah kawalan bagi menyokong kemampuan dan kelestarian. Layanan terhadap keadaan kesihatan sedia ada adalah tertakluk kepada terma dan penilaian yang berkenaan.
Oleh itu, pengunderaitan, pengecualian dan manfaat yang ditetapkan lazimnya digunakan untuk membantu mengurus risiko dan kos keseluruhan sesuatu produk insurans perubatan. Ketelusan mengenai terma-terma ini juga penting supaya pengguna memahami sejak awal perkara yang dilindungi, batasan yang dikenakan serta perbelanjaan yang mungkin tidak termasuk dalam skop perlindungan mereka.
Walaupun MediAsas merupakan produk yang melalui proses pengunderaitan sepenuhnya, syarat itu turut dilonggarkan bagi membolehkan individu dengan keadaan kesihatan tertentu mendapatkan perlindungan.
Mengapa anda perlu membayar sebahagian daripada bil?
Ini kerana MediAsas menggunakan perkongsian kos untuk membantu mengawal tuntutan.
Perkongsian kos bermaksud pemegang polisi membayar sebahagian daripada perbelanjaan perubatan, manakala plan insurans membayar baki selebihnya - bergantung kepada terma perlindungan. Ini akan membantu menguruskan kos tuntutan keseluruhan dan menggalakkan sikap bertimbang rasa terhadap perkhidmatan kesihatan yang akan memberikan sokongan, seterusnya dapat membantu menyokong premium yang lebih berpatutan dari masa ke semasa.
Matlamatnya bukan untuk membuatkan pengguna membayar lebih tetapi untuk mencapai keseimbangan antara sokongan diberikan plan dengan kemampuan segelintir individu untuk menyumbang.
Perkongsian kos bukanlah konsep baharu dalam insurans perubatan mahupun produk takaful. Malah, pembayaran bersama merupakan ciri tetap pelan perubatan di seluruh dunia. Perkara penting yang perlu dipertimbangkan adalah memastikan jumlah yang perlu dibayar kekal munasabah dan tidak menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan.
/file/attachments/887/ChatGPTImageSep30202603_11_55PM_391210.png)
MediAsas sebahagian daripada pembaharuan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh
Bagaimanapun, MediAsas bukan dicipta semata-mata untuk menangani cabaran kos penjagaan kesihatan di Malaysia. Ia adalah sebahagian daripada agenda reformasi kesihatan RESET yang lebih menyeluruh berdasarkan bagaimana sistem penjagaan kesihatan dapat kekal mampu milik dalam jangka panjang.
Pelarasan premium yang berterusan bukan penyelesaian jangka panjang sekiranya kos penjagaan kesihatan terus meningkat. Malah, apabila bil hospital meningkat, syarikat insurans mungkin berdepan tuntutan yang lebih tinggi, yang akhirnya boleh memberi tekanan kepada premium.
Ini sebabnya kemampuan juga bergantung apa yang berlaku dalam sistem kesihatan yang lebih meluas termasuk ketelusan mengenai harga dan sistem digital kesihatan lebih kuat yang boleh menawarkan penjagaan dengan kos efektif dan penambahbaikan dalam bagaimana penyumbang penjagaan kesihatan dibayar.
Mengapa bermula dengan projek rintis?
Sebelum produk seperti MediAsas dipasarkan secara meluas, ia perlu diuji bagi membuktikan keberkesanannya. Projek rintis membolehkan ia diuji dari awal hingga habis, bermula daripada pendaftaran dan penilaian kelayakan hinggalah kepada kemasukan ke hospital, tuntutan, pembayaran dan khidmat pelanggan.
Walaupun MediAsas sedang diuji secara kecil-kecilan pada masa ini, segala pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang proses tersebut akan digunakan untuk menambah baik produk itu sebelum pelancarannya di peringkat kebangsaan. Perkara penting perlu diingat ialah, projek rintis ini tidak boleh dianggap sebagai produk muktamad MediAsas.
Adakah MediAsas sesuai untuk anda?
Ia bergantung mengikut kehendak dan keperluan anda.
Bagi mereka yang masih belum mempunyai perlindungan perubatan, MediAsas boleh menjadi titik permulaan yang mampu dimiliki.
Bagi individu yang mempunyai perlindungan insurans tetapi sedang mencari pilihan yang lebih mampu milik berbanding pelan perubatan sedia ada memandangkan peningkatan premium yang ketara dari semasa ke semasa - MediAsas merupakan pilihan yang menarik (sebaik sahaja ia dilancarkan pada awal tahun 2027).
Untuk mereka yang berpuas hati dengan perlindungan semasa serta bersedia dan mampu menanggung kenaikan premium yang ketara pada masa hadapan, beralih kepada MediAsas mungkin kurang relevan.
Apa pun keadaannya, pengguna wajar meneliti pilihan mereka dengan teliti berdasarkan situasi masing-masing. Pertimbangkan perkara yang dilindungi, had perlindungan, kos yang mungkin perlu ditanggung sendiri, serta sama ada premium tersebut kekal mampu dibayar pada masa hadapan.
Jika kestabilan premium dan kemampuan bayaran adalah penting bagi anda, MediAsas mungkin sesuai untuk anda. Jika anda mengutamakan produk premium dengan perlindungan menyeluruh serta berkemampuan untuk membiayainya, pelan perubatan biasa mungkin merupakan pilihan yang anda cari.
MediAsas bertujuan mencari keseimbangan yang praktikal: bagaimana lebih ramai rakyat Malaysia boleh mendapatkan perlindungan perubatan yang bermakna tanpa menjadikan kos penyelenggaraan perlindungan tersebut terlalu tinggi?
Perlindungan perubatan mampu milik bukan sekadar mempunyai polisi insurans. Ia mengenai perlindungan yang anda fahami dan mampu menanggungnya dari masa ke semasa.
/file/attachments/887/ChatGPTImageSep9202606_08_35PM_426846.png)
