Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Selepas membuat laporan polis terhadap malaysiakini di bawah Akta Hasutan, laman web Pemuda Umno telah memaparkan dua kenyataan, yang bertajuk Malaysiakini wajar diajar memahami soal sensitiviti

dan Laporan polis: Benarkah langkah pemuda Umno serba sumbang? .

Mengutarakan pendapat adalah lebih baik daripada berdiam, khususnya dalam perkara yang serius seperti ini. Namun, kenyataan-kenyataan ini mencerminkan fahaman yang kurang matang tentang isu-isu kenegaraan, hubungan etnik dan demokrasi.

Saya ingin mengemukakan lima perspektif yang utama serta membetulkan beberapa salahfahaman di dalam kenyataan-kenyataan tersebut. Diharap surat ini dapat diterima sebagai sumbangan kepada perbincangan am dalam semangat pembangunan negara kita.

Pertama, rakyat Malaysia tidak perlu sangat memecah-belahkan masyarakat kepada golongan etnik. Isu-isu yang membara akibat laporan polis Pemuda Umno itu merentasi identiti etnik kerana ia melibatkan kebajikan sosial, ekonomi dan politik umum, dan kita semua, walau apapun pertalian etnik kita.

Sebagai warganegara Malaysia, lebih wajar kita membincangkan masalah tanpa menyemarakkan sentimen perkauman. Pemuda Umno menawarkan bahawa "sekiranya mahu, kita juga boleh mewujudkan laman web untuk memperdebatkan perkara ini dengan orang bukan Melayu".

Sikap Melayu lawan bukan Melayu dan kecenderungan untuk selalu mempertahankan kepentingan kaum adalah tidak sihat di dalam masyarakat kita yang demokrasi dan majmuk. Misalnya, saya sebagai seorang bangsa Cina tidak mempromosi sekolah Cina, dan tidak berkecenderungan mempertahankan persekolahan Cina dalam segala aspek.

Pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina memang seringnya berprestasi tinggi dalam peperiksaan, tetapi seringnya juga serba kekurangan dalam daya berfikir secara kritikal dan kreatif.

Sepertimana yang dapat dilihat dalam beberapa surat dari penulis Melayu dalam ruangan ini, yang mengkritik tindakan Pemuda Umno itu, ianya bermakna orang Melayu pun boleh berdebat dengan orang Melayu.

Kedua, Pemuda Umno harus menerapkan fahaman dan penilaian terhadap demokrasi yang lebih matang. Tanggungjawab induk malaysiakini , sebagai sebuah akhbar harian dalam sebuah negara demokrasi ialah untuk melaporkan berita secara objektif dan menjalinkan perbincangan yang terbuka dan ikhlas.

Seperti yang telah dihujahkan oleh ramai orang, langkah yang lebih wajar bagi Pemuda Umno ialah dengan menyangkal kandungan surat Petrof dengan hujah-hujahnya sendiri yang objektif dan bernas.

Kenyataan-kenyataan Pemuda Umno itu menegaskan bahawa sesiapa yang berfikiran rasional tanpa mengikut telunjuk emosi dan fahaman yang sempit, akan mengesan kesalahan fakta sejarah serta kandungan surat

Petrof yang kononnya berunsur hasutan. Saya cadangkan supaya kandungan yang menghasut ini didedahkan dengan objektif dan menyeluruh.

Pemuda Umno melaung "Apakah integrasi kaum dapat dicapai dengan cara sebegini?", iaitu, dengan mengamalkan sikap terbuka kepada pandangan yang bertentangan. Jawapannya, dalam selantang suara: Ya! Memang, integrasi kaum yang bermakna dan mendalam memerlukan perselisihan-perselisihan yang berteraskan etnik atau isu lain diselesaikan secara terbuka dan benar.

Ketiga, pembinaan masyarakat adalah sesuatu proses di mana semua rakyat bertanggungjawab dalam mengawal reaksi mereka terhadap pendapat orang lain, walaupun yang kontroversi, dalam menyelesaikan ketidaksetujuan dengan tenteram, dan menegakkan keadilan.

Sebelum bertindak atas undang-undang yang ada, kita patut menyoal kesesuaian undang-undang itu dalam keadaan masakini. Kita mengekalkan undang-undang tertentu kerana ia relevan; selaras dengan itu, undang-undang yang tidak relevan harus dibatalkan.

Akta Hasutan digubal dalam keadaan Darurat dan diubahsuaikan selepas peristiwa 13 Mei 1969. Akta ini diluluskan di dalam keadaan-keadaan sosio-politik tertentu, yang tegang dan bergelora, yang jelasnya sudah kita lepasi.

Generasi muda kini patut menggunakan taraf pendidikan mereka yang tinggi serta kemahiran berfikir dalam berkongsi pendapat supaya jalan-jalan penyelesaian boleh diterokai.

Keempat, isu keistimewaan dan Perlembagaan patut dibentangkan dengan betul. Keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan adalah kedudukan istimewa Orang Melayu, bukan hak istimewa seperti yang ditegaskan di dalam kenyataan

Pemuda Umno.

Penggubal-penggubal Perlembagaan yang arif, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan pemimpin-pemimpin Perikatan sedar bahawa perlembagaan sebuah negara yang demokratik mesti menegakkan persamaan antara manusia. Semua dilahirkan setaraf. Nilai setiap insan adalah sama, tidak kira kaum, kumpulan etnik, atau tempat lahir.

Oleh itu, hak-hak asasi manusia adalah muktamad, sejagat dan kekal selama-lamanya. Hak istimewa bagi sesuatu golongan bercanggah dengan hak asasi manusia dan prinsip kesamaan semua insan.

Kedudukan istimewa Melayu diterima oleh rakyat Malaysia sebagai asas kenegaraan. Premis ini menjadi pedoman bagi pentadbiran kerajaan dan hubungan sosial, dan kerangka bagi penggubalan dasar awam. Banyak kesalahfahaman timbul kalau kita tidak membezakan istilah dan makna hak daripada kedudukan.

Tambahan, apa yang dimaksudkan sebagai hak istimewa tidak jelas. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyesali sikap mereka yang menganggap peluang-peluang atau kontrak-kontrak istimewa sebagai hak mereka. Semua ini yang mungkin dianggap sebagai hak bukan artikel yang termaktub di dalam Perlembagaan, tetapi unsur-unsur dasar pembangunan kita, khususnya Dasar Ekonomi Baru.

Penggubal-penggubal DEB sendiri tidak berhasrat menjadikan dasar ini kekal selama-lamanya, malah, kalau dikekalkan terlalu lama, boleh menyebabkan pergantungan dan kekurangan daya berdikari. Ini tidak baik bagi seluruh negara, semua golongan dan kaum.

Dasar-dasar pembangunan yang berasaskan kedudukan istimewa Melayu boleh diubahsuaikan. Ia tidak kekal selama-lamanya. Peralihan kepada sistem bantuan awam yang berasaskan keperluan, patut diberi pertimbangan yang serius.

Di dalam sistem ini, isi rumah bumiputera masih akan menerima kebanyakan bantuan awam. Kekuatan seterusnya ialah, hanya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan akan dibantu, sebab syarat menerimanya adalah tidak berasaskan pertalian.

Kelima, persefahaman dan hubungan etnik juga perlu dijalinkan melalui kelakuan seharian. Pendekatan Pemuda Umno berbeza daripada pendekatan malaysiakini seperti siang dan malam. Pemuda Umno adalah ekslusif dan memihak kepada konflik dan tekanan, malaysiakini adalah berbilang kaum dan bersikap terbuka.

Ironisnya, akhbar Internet ini yang dituduh mengancam keharmonian kaum adalah sebuah organisasi di mana rakan sekerja dari pelbagai kaum, bekerjasama dengan erat dan berganding bahu dalam usaha mereka mengisi ruang yang kosong dalam media bebas di negara kita.

Bukti kematangan sebuah negara adalah kebolehannya mengubahsuaikan dirinya kepada keadaan dunia dan masyarakat yang berubah. Bukti kemantapan belia-belia negara adalah dalam memaksimumkan penglibatan orang ramai dalam perbicangan umum.

Pemuda Umno menyatakan bahawa perdebatan dalam isu ini hanya akan menyakitkan hati pelbagai pihak dan merosakkan lagi keharmonian di antara kaum. Nampaknya, hati Pemuda Umno berasa jauh lebih sakit daripada hati orang biasa.

Keharmonian kaum kekal, walaupun ia perlu diusahakan lagi. Saya harap komitmen yang dicurahkan di dalam kenyataan-kenyataannya terhadap ketenteraman sosial dan pembangunan negara akan disalurkan kepada usaha-usaha membina masyarakat berbilang kaum Malaysia.

ADS