Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Di awal tulisan saya , memang saya insafi bahawa ulasan seseorang mengenai sesuatu perkara akan diwarnai oleh fahaman dan prinsip yang dipegangnya. Saya cuba membawa pembaca melihat bahawa polemik mengenai peranan agama dalam menangani HIV/Aids tidak semudah "progressives lawan obscurantists" dengan menjelaskan siapakah mereka yang digelar "obscurantists" dan apakah sumbangan mereka terhadap masalah besar ini.

Tidak timbul sama sekali soalan ingin membolot interpretasi Islam. Dr Amina Wadud berhak mengatakan pandangan beliau dan saya berhak memberi kritikan. Kecelaruan di IMLC II (International Muslim Leaders' Consultation on HIV/Aids) adalah rentetan dari pihak penganjur yang berkeras tidak membenarkan kertas kerja Dr Wadud dibahaskan.

Secara peribadi, saya tidak setuju pengharaman buku beliau "Quran and Women: Rereading the sacred text from a woman's perspective" oleh Jakim dan Kementerian Dalam Negeri. Saya mengutarakan di akhir tulisan bahawa saya lebih suka melihat perdebatan idea-idea beliau diadakan secara terbuka jika pihak media massa boleh berlaku adil.

Begitu juga dengan Farid Esack. Tidak relevan sekali di mana beliau belajar Al-Quran samada di Pakistan atau di Madinah, dan tidak dinafikan bahawa beliau juga pejuang anti-apartheid seperti juga beberapa orang Islam Afrika Selatan. Beliau berhak mengutarakan pandangan beliau dan sesiapa pun berhak untuk mengkritik atau manyanjungnya. Saya memilih untuk mengkritiknya kerana pandangan beliau bertentangan dengan apa yang difahami umum mengenai ajaran Islam dan Al-Quran.

Saya menyentuh bukunya kerana saya mahukan khalayak umum membacanya dan menilai sendiri kandungannya, sebagaimana orang-orang Islam Afrika Selatan pasca-apartheid dapat menilainya secara bebas. Saya menyentuh Farid Esack selain membicarakan kertas kerja Dr Wadud untuk menimbulkan soalan samada Jakim telah ditunggangi oleh golongan 'progressives' dalam menganjurkan IMLC II.

Para peserta menjangkakan pemimpin dan sarjana Islam terkemuka dan dihormati akan memperbincangkan peranan Islam dalam menangani pandemik HIV/Aids. Sebaliknya perbentangan kertas kerja telah didominasi oleh pembentang "progressive" yang ketokohan mereka sebagai sarjana dibidang pengajian Islam sama ada di universiti-universiti barat dan timur, atau sebagai pemimpin masyarakat adalah diragui. Organisasi picisan Farid Esack "Call to Islam Society" sendiri telah terkubur setalah kebebasan intellektual di Afrika Selatan dikecapi.

Untuk makluman En Poirot , PPIM adalah IMA-Malaysia dalam Bahasa Melayu dan saya adalah ahli biasa. Dalam rangkaian perbincangan net-group PPIM ada 600 pengamal perubatan. Memang diakui ada ahli-ahli PPIM yang pernah ke Maluku dan lain-lain kawasan konflik/bencana alam seperti Kosovo, Bosnia, Afghanistan dan baru-baru ini Iraq. Mereka berkhidmat secara sukarela dengan pembelanjaan dan cuti sendiri untuk menyertai misi perubatan/kemanusiaan, bukan untuk melakukan keganasan.

Mengenai artikel-artikel yang disebarkan dalam net-group PPIM, memang betul ada yang bersimpati dengan keganasan fundamentalis Islam. Tetapi, En Poirot tidak harus cepat mengambil kesimpulan bahawa ini mencerminkan pendirian rasmi PPIM, sebagaimana tertulis disclaimer di penghujung setiap artikel. Sebagaimana umum tahu, masih ramai orang Islam, atas nama persaudaraan Islam dan ketidakadilan barat terhadap dunia Islam, bersimpati atau keberatan untuk mengutuk keganasan yang dilakukan oleh saudara seagama mereka. Ini adalah dikesali, dan di kalangan golongan professional Muslim masih juga ada yang tidak dapat membuat pertimbangan waras.

Saya percaya ini dapat diatasi dengan banyak berdailog dan berbincang, bukan mengherdik golongan yang dikatakan tidak liberal/obscurantists. Saya telah cuba memainkan peranan untuk melembutkan pendirian segelintir ahli PPIM dalam perkara ini. Dari sudut ini, saya rasa artikel-artikel penuh kontroversi yang bersimpati dengan keganasan seperti saudara Poirot sebutkan lebih elok diketengahkan untuk dibincang dan dibahas dalam net-group dengan harapan bahawa kebenaran itu akhirnya akan terserlah, dan yang salah (umpamanya keganasan agama) adalah tetap salah.

Tuduhan En Poirot bahawa Dr Musa dan Sdri Nazlin "telah melemparkan ugutan-ugutan ganas terhadap pembentang tertentu, terutama Dr Wadud" adalah sangat berat, dan sukar saya menerima tuduhan tersebut tanpa beliau mengemukakan transkrip sessi dimaksudkan. Walhal laporan dan analisa akhbar yang memberi gambaran buruk terhadap obscurantists pun tidak melemparkan tuduhan seberat itu. Jika tuduhan tersebut adalah benar, En Poirot seharusnya membuat laporan polis terhadap kedua mereka, bukan menulis ke malaysiakini tiga minggu selepasnya.

Saya difahamkan Sdri Nazlin dalam "rebuttal forum" telah berhujah dengan rasional dan emosi terkawal, namun begitu pada hari keempat beliau berhujah dengan kurang berhemah semasa memperbincangkan masalah trans-gender dan Aids. Tetapi ini adalah kelemahan manusia dan diharap "consultation" dan dialog yang lebih jujur dapat terlaksana di masa hadapan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS