Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bila bercakap soal khinzir dalam makanan, penulis teringat tentang suatu ketika dahulu apabila angin London sepoi-sepoi bahasa membawaku berjumpa dengan seorang kenalan kolej dari masyarakat Tiong Hua.

Kami bertemu sejak di bangku sekolah di Lembah Beringin lagi dan pertemuan kami di Leytonstone itu bertujuan merapatkan hubungan yang telah lama terputus. Andrew, mempelawa aku masuk dan berseloroh memberitahu yang dia sedang masak sesuatu untuk makan tengah hari.

Bersangka baik, aku tidak mengesyaki langsung dengan persoalan jika makanan yang dimasak itu halal.

Bagaikan sudah terbaca gerak hati aku, Andrew berkata yang daging ayam yang dia masak dibeli di kedai “halal butcher” di bawah.

Beliau kemudian menambah yang dia sendiri tidak gemar memasak daging khinzir sendiri di rumah kerana “daging khinzir susah dimasak”.

Aku kekok mendengar pengakuan dia ini tetapi yakin umum diketahui daging khinzir bahaya jika tidak dimasak dengan sebetulnya.

Beberapa minggu dahulu, Malaysia digemparkan dengan keputusan analisis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap dua produk Cadbury.

Dua produk tersebut telah didapati mengandungi porsin, bahan yang berasal dari khinzir. Sampel produk yang tidak mengandungi kacang tidak mengandungi porsin.

Sampel-sampel berkenaan diambil terus dari kedai.

Cadbury Malaysia telah terus menarik balik kumpulan dua produk ini dari pasaran tetapi gagal memohon maaf kepada pengguna khususnya yang haram bagi mereka untuk makan khinzir atau sebahagian daripadanya.

(Analisis terbaru makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk kontroversi itu bagaimanapun kemudiannya mengesahkan tiada DNA babi dikesan – editor)

Saya tidak sebut penganut agama Islam secara spesifik kerana vegitarian juga hanya boleh memakan coklat yang bertanda “V” bermaksud “sesuai untuk vegitarian”.

Dan lumrahnya mereka juga perlu bangkit dan marah dalam keadaan yang tidak disangka ini.

Nah, tiba pula sekumpulan NGO Islam yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka kepada syarikat Cadbury Malaysia, meminta pampasan beratus juta ringgit untuk “mencuci darah”.

Sehari selepas itu, seorang ulama dari JAKIM disalah-erti oleh segolongan media yang coklat-coklat tersebut “ still halal”.

Ramai rakyat Malaysia, seperti biasa, terus berasa bingung.

“Halal ke tidak ni? Kejap halal, kejap tidak!” bentak seorang.

Saya yang ketika itu berpeluang mengikuti perkembangan ini terus menerangkan yang ulama itu bermaksud kepada coklat-coklat yang telah dimakan, bukan yang sedia ada yang telah disahkan secara saintifik mengandungi porsin.

Maksud beliau, jika telah makan produk itu, kerana ia sesuatu yang tidak disengajakan, perbuatan tersebut tidak berdosa dan tidak perlu pun “cuci darah”, menyanggah kenyataan makcik di dalam video Malaysiakini itu.

Selang beberapa hari, datang pula pihak JAKIM melalui makmal tersendiri menolak penemuan porsin di dalam dua produk tersebut.

Namun yang peliknya, makmal Kementerian Kesihatan telah dilabel terus oleh seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai “makmal yang tidak diiktiraf”.

Perkara ini seolah-olah tindakan spontan bagi menyelamatkan kepentingan pihak-pihak tertentu di dalam Cadbury.

Namun, rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam sudah tidak yakin lagi dengan Cadbury.

Saya sendiri akan cuba mengelak daripada membelinya. Mungkin juga berlaku kontaminasi, mungkin juga tidak. Rakyat Malaysia semakin bingung.

Selang beberapa hari kemudian, muncul pula kenyataan oleh seorang Syeikh dari Mesir (tetapi dibuang negeri ke Qatar) dan kenyataan ini disebut sebagai fatwa, yang gelatin babi dalam makanan halal dimakan.

Ulama ini tersohor di mata rakyat Muslim Malaysia dan dia juga terlibat dalam menyokong seorang ahli politik pembangkang dengan secara yakinnya menyebut pemimpin itu sebenarnya difitnah.

Bukan kerana hakikat ini saya menyelar fatwa auta yang telah beliau lakukan bersama-sama segolongan ulama yang lain berkenaan halalnya gelatin babi dalam makanan.

Hanya para nabi merupakan golongan manusia yang bergelar maksum, di mana perbuatan yang silap ditegur terus oleh Allah SWT, melalui malaikat yang menyampaikannya.

Bukanlah para ulama moden mahupun kuno. Betul, ulama juga dikatakan waris nabi. Tetapi bukankah al-Quran dan Hadis itu wasiat baginda?

Jelas yang manusia boleh melakukan kesilapan, termasuklah para ulama. Dalam perkara ini, ulama dari Mesir itu telah silap, termasuklah yang menyokongnya, seorang bekas mufti di Malaysia.

Jika kita amati dari surah Al-Maidah ayat ke-3 dan surah Al-An’am ayat 145, jelas yang khinzir itu haram dimakan.

Porsin itu berasal dari khinzir. Sama ada berubah sifat fizikal atau kimia, ia tetap berasal dari khinzir.

Jadi soalan saya, ada lagikah masyarakat yang beragama Islam di Malaysia mahu makan makanan yang sebahagiannya berasal dari khinzir? Saya tidak peduli sebenarnya.

Lantaklah jika Melayu itu lumrahnya degil. Yang saya kisah sekarang ni, para ulama “moden” yang membawa nama Islam, tidak perlu lagi untuk berkhayal dan memberi “fatwa” tersendiri yang jelasnya bertentangan dengan Islam.

Khilaf kata sesetengah pihak. Tetapi yang jelas di dalam Quran atau hadis sahih itu, takkan khilaf juga?


AZRUL ABU HASSAN juga menulis menggunakan nama Jeg Hui.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS