Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury - Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) - disahkan tiada Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    

Beliau berkata kedua-dua produk yang dianalisis itu adalah daripada kelompok yang sama dengan produk yang disahkan mengandungi DNA babi sebelum ini, tetapi sampel kali ini diambil terus dari kilang pengeluar produk itu di Shah Alam.

    

Menurutnya, sampel yang diambil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 26 Mei lepas untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia itu ialah jenis Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no) 221013 N01RI1 dan jenis Hazelnut dengan nombor kelompok 200813 M01HI2.

    

"Selain itu JAKIM turut mengambil empat produk lain dalam aliran pemprosesan yang sama dan lima jenis bahan mentah yang berpotensi mengandungi unsur haiwan," katanya dalam sidang akhbar di Bangi hari ini.

    

Sehubungan itu beliau berharap keputusan berkenaan akan meredakan kerisauan umat Islam berhubung status coklat itu, memandangkan makmal yang menganalisis sampel itu diperakui Jakim untuk mengesan DNA babi.

    

Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam mengandungi DNA babi atau porsin.

    

DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang hazel bernombor kelompok 200813 M01HI2, tarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam bernombor kelompok 221013 N01RI1, tarikh luput 15 Jan 2015.

Semalam Jamil Khir berkata makmal itu juga diwarta sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menganalisis makanan selain mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA, termasuk pengujian produk makanan terproses.

    

Mengulas lanjut, beliau berkata sampel yang diambil Kementerian Kesihatan bukan terus dari kilang, dan makmal yang menganalisis juga tidak didedikasikan untuk mengesan DNA babi.

    

"Banyak makmal yang diwujudkan di Malaysia ini tetapi tidak didedikasikan untuk tujuan kesan DNA babi cuma dalam finding (penemuan)nya mungkin untuk tujuan lain, tapi boleh menemukan unsur itu, tapi yang sah ialah makmal kimia yang diperakui JAKIM di Petaling Jaya," katanya.

    

Beliau berkata sampel yang dihantar mana-mana pihak atau individu juga mudah mengalami pencemaran sama ada semasa proses penghantaran atau pembungkusan.

    

"Pencemaran mungkin boleh berlaku dari peti ais. Malahan kalau seseorang itu makan makanan yang ada unsur DNA babi dan kemudian bersin di hadapan makanan lain, makanan itu juga boleh tercemar dengan DNA babi," katanya.

    

Jamil Khir juga menegaskan kerajaan tidak berhasrat melindungi sesiapa dalam hal berkenaan dan tidak pernah menyembunyikan status sebenar.

    

"Kalau kita sembunyikan maklumat sebenar, terlalu besar dosanya yang perlu kita tanggung," katanya.

    

Dalam pada itu, beliau berkata pemeriksaan menyeluruh akan dibuat ke seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain bagi memastikan syarikat itu benar-benar mematuhi pensijilan halal.

    

Katanya laporan pemeriksaan menyeluruh itu akan dibentangkan sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia dua produk itu dikembalikan.

    

Jamil Khir berkata orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung isu halal termasuk pertanyaan mengenai coklat Cadbury boleh menghubungi Nadia Zammil Md Nasir (03-8892 5048), Najibah Abdul Mutalib (03-8892 5078), Mazlina Jalani (03-8892 5032) dan Fakarudin Mas'od (03-8892 5031 ), mulai 10 pagi hingga 4 petang.

    

- Bernama

ADS