Setelah membaca tulisan pembaca-pembaca malaysiakini, saya terasa terpanggil untuk berkongsi pendapat mengenai isu-isu kaum yang sering diperdebatkan sekian lama dari perspektif seorang anak peranakan.
Sebagai hamba tuhan, kita semua mungkin boleh memilih agama ataupun bahasa pertuturan kita, tetapi tidak seorangpun antara kita mampu memilih tempat kelahiran ataupun kelompok etnik mana kita dilahirkan.
Kita mungkin mampu berlagak atau cuba bertutur seperti orang lain tetapi DNA yang kita warisi dari ibubapa kita, tidak pernah berbohong mengenai latarbelakang kita. Kita sering terbaca rungutan rakan-rakan kita dari kaum Cina dan India mengenai dasar-dasar kerajaan yang banyak mengutamakan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.
Kita juga sering mendengar rugutan rakan-rakan Melayu kita mengenai layanan yang diterima semasa memohon perkerjaan di sektor swasta. Tetapi berapa ramaikah antara kita rakyat Malaysia yang pernah mendengar untung nasib orang seperti kami yang hidup betul-betul di tengah-tengah permasalahan ini?
Pernahkan kita terfikir bagaimana nasibnya orang seperti kami ini? Mungkin ada yang akan beranggapan kami adalah golongan yang 'fleksibel' yang diterima dengan baik oleh semua pihak.
Tetapi hakikat sebenarnya, kewujudan kami boleh diibaratkan seperti 'melukut di tepi gantang, masuk tak bertambah, keluar tak berkurang'.
Bilangan kami tidak ramai. Tiada faedahnya bagi mana-mana parti politik jika berjuang membela nasib kami. Bagi mereka, tiada gunanya menghabiskan masa dan tenaga mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan seperti kami.
Selepas pertama kali mendengar pertuturan kami dan melihat cara hidup kami, ramai tertanya-tanya siapakah kami. Ramai akan cuba bertanya dan memerhatikan kami, seumpama kami ini adalah spesis ganjil.
Tetapi inilah hakikat sebenar yang dihadapi oleh masyarakat kami masakini. Bahasa dan budaya kami kian terkikis. Sejarah kewujudan kami dalam masyarakat Malaysia telah begitu lama. Separuh daripada nenek-moyang kami telah hidup di bumi Malaysia, sama lamanya dengan nenek moyang kaum pribumi yang lain.
Tetapi malangnya kebudayaan kami begitu cepat terhakis. Tidak lagi kami mampu menongkah arus semangat-semangat perkauman yang begitu tebal di kalangan masyarakat Malaysia masakini.
Malaysia masakini hanyalah milik mereka yang benar-benar Melayu ataupun bagi mereka yang benar-benar Cina/India.
Sebagai anak peranakan yang cukup berbangga dengan identiti kami yang unik dan tersendiri, adalah sesuatu yang amat menyedihkan bagi saya untuk melihat masyarakat kami yang teraba-raba mencari arah tuju masa depan kami.
Seperti yang ditulis oleh rakan kita Yang Terpinggir , nak tak nak terpaksalah kami bernaung dalam kelompok besar yang sanggup menerima kami.
Kami bukan beragama Islam, sepetah manapun kami bertutur Bahasa Melayu, tidak mungkin masyarakat Melayu Islam sanggup menerima kami. Tak mungkin juga kaum Cina arus perdana akan menerima kami bulat-bulat jikalau kami tidak cuba sesuaikan cara hidup kami dengan cara hidup mereka.
Walaupun kadang-kadang janggal untuk kami untuk menerima budaya dan pemikiran kaum Cina arus perdana, untuk hidup dan berjaya dalam masyarakat Malaysia masakini, tiada pilihan lain untuk kami, inilah hakikat hidup, walaupun kami sedih melihat anak muda kami yang sudah kian hilang jatidiri sebagai anak peranakan.
Kami mungkin akan kehilangan budaya dan bahasa kami, tetapi DNA kami akan terus diwarisi oleh generasi masa depan kami.
