Jangan guna peruntukan untuk beli undi
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan bahawa kerajaan tiada wang. Jikalau benar demikian, Parti Keadilan Rakyat ingin bertanya: Mengapakah projek membina 11 buah hospital baru , membina bangunan baru untuk Universiti Sarawak dan menyiapkan landasan kereta api ke Putrajaya ditangguh?
Apakah sebabnya beberapa buah universiti awam sudah dua kali belum menerima peruntukan tiga bulan sekali bagi membayar gaji kakitangan, dan sebaliknya diarah pula supaya menggunakan wang simpanan universiti tersebut?
Dan apa alasannya beberapa universiti diarah menggantung rancangan mengambil kakitangan baru dan menghantar kakitangan muda universiti untuk melanjutkan pelajaran di bawah Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB)?
Selanjutnya, mengapakah ramai kontraktor (termasuk bumiputera) yang menjalankan projek kerajaan, tidak dibayar sampai berbulan-bulan, bahkan kadang-kadang bertahun-tahun, walaupun projek sudah siap?
Pada hal sebelum pilihanraya yang lepas, Abdullah menggembirakan para kontraktor apabila beliau memberi arahan supaya semua hutang kepada kontraktor hendaklah dilangsaikan dengan segera.
Sekarang, seolah-olah sebagai bukti kerajaan ada wang, peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 bilion dibuat bagi melaksana projek-projek pembangunan. Kami mengalu-alukan jikalau peruntukan tambahan ini benar-benar boleh menggalakkan perkembangan ekonomi. Tetapi kami agak sangsi ini akan berlaku.
Selaku menteri kewangan, Abdullah bertanggungjawab menjelaskan secara terperinci, bukan saja sumber wang ini, bahkan lebih penting lagi untuk projek-projek apakah ia akan digunakan. Kami mengambil perhatian bahawa Abdullah menyatakan peruntukan tambahan ini hendaklah dibelanjakan secepat mungkin.
Oleh kerana pemilihan pimpinan Umno akan diadakan tidak lama lagi dan Abdullah akan dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah, kami menggesa supaya Abdullah memberi jaminan terbuka tidak akan menggunakan peruntukan tambahan itu untuk membeli undi dengan memberi projek-projek atau kontrak-kontrak.
Abdullah hendaklah mengotakan janji beliau hendak memerangi semua bentuk rasuah.
Penulis adalah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

