Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Sure Heboh: Mufti perlu berubah atau kekal tidak relevan

Malaysiakini melaporkan bahawa Mufti Perak Harussani Zakaria, sebagai mewakili Majlis Mufti-Mufti, telah mengeluarkan fatwa bahawa penganjuran Karnival Sure Heboh oleh TV3 adalah haram.

Sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan, melalui pengerusinya, Datuk Dr Ismail Ibrahim, telah memfatwakan bahawa peraduan melalui SMS yang berunsur perjudian adalah haram.

Manakala banyak pihak menyokong pengharaman 'perjudian' melalui SMS dan telah ada negeri-negeri yang meminta fatwa itu dikuatkuasakan di negeri-negeri mereka.

Fatwa berhubung Karnival Sure Heboh belum tentu akan mendapat reaksi yang sama. Beberapa sudut boleh dilihat dalam isu ini.

Yang pertama, kita melihat alasan pengharaman karnival itu dirujuk kepada suasana bercampur gaul antara jantina, melalaikan orang Melayu (Islam) dan wajar dihentikan sebagaimana kata Harussani.

Kita ingin bertanya, mengapa hanya Karnival Sure Heboh yang difokuskan dan tidak kepada penganjuran konsert yang lain. Sebabnya, pastilah kerana Sure Hebohlah konsert dan ekspo perdagangan yang paling banyak melibatkan penonton dan rangkaian pengusaha Melayu.

Jadi, menggunakan Sure Heboh untuk menjadi fokus pengharaman akan memberikan kesan 'populariti segera' berbanding rancangan hiburan yang lain.

Menggunakan kayu ukur yang sama kepada semua rancangan hiburan di negara kita, akan menghasilkan satu suasana yang 'sangat dahsyat dan haru-biru' yang akan pastinya mengancam keseluruhan struktur pemikiran sederhana (tanpa menyebut Islam sederhana) yang sekian lama dijunjung di negara ini.

Cuba kita fikir alasan umum 'melalaikan" dengan cara yang sebaiknya. Kalau mengambil kira pemikiran kitab kuning ini, semua hiburan yang melibatkan muzik (khususnya alatan muzik bertali dianggap siulan syaitan), pendedahan aurat (ikut tafsiran lama aurat) dan pergaulan penonton akan dilabelkan sebagai haram.

Secara ekstrem, kalau mengikut tafsiran ini, kita tidak boleh menonton televisyen kerana seumpama konsert Sure Heboh, televisyen kita juga menayangkan 'pendedahan aurat' yang berleluasa.

Sebelum ini, sudah ada surat lain dalam malaysiakini yang menyatakan supaya Karnival Sure Heboh tidak diharamkan, sebaliknya diperluaskan ke setiap negeri dalam negara ini, termasuklah ke Terengganu yang belum lagi mengadakannya. (Surat itu turut mencadangkan lokasi penganjuran di Tapak Ekspo Pantai Air Tawar, Besut kerana bersempadan dengan Kelantan).

Ini disebabkan Sure Heboh bukan semata-mata hiburan tetapi juga melibatkan ekspo perdagangan yang sebahagiannya diusahakan oleh pengusaha Melayu Islam yang berjaya.

Mereka menggunakan Karnival Sure Heboh TV3 yang telah dikenali untuk mempamer dan memasarkan barangan mereka, sekaligus akan membantu perkembangan pengusaha-pengusaha ini.

Konsert itu hanyalah sekadar tempelan untuk menarik sebanyak mungkin khalayak untuk berkunjung ke Ekspo Barangan. Tanpa konsert itu, matlamat pemasaran barangan tidak mungkin berlaku dengan jayanya.

Apakah pemikiran yang pastinya mengembangkan pasaran syarikat Bumiputera ini diambilkira oleh Majlis Mufti-Mufti sebelum membuat apa-apa keputusan?

Keduanya, teruk sangatkah gejala sosial dalam Karnival Sure Heboh? Kalau mufti hanya mendengar fitnah dari pihak satu lagi (laporan kononnya 500 kondom dijumpai selepas konsert Sure heboh di Alor Setar), maka sekali lagi fatwa itu disandarkan kepada sesuatu yang tidak benar. Banyak mana 'maksiat' yang berlaku dalam konsert itu?

Apakah di Kelantan, yang tidak pernah menganjurkan Sure Heboh, tidak berlaku gejala maksiat. Bukahkah hampir setiap hari dalam akhbar hari ini terdapat cerita-cerita tragis, bukan lagi sekadar maksiat, tetapi juga pembunuhan yang melibatkan rakyat Kelantan?

Memang benarlah sekiranya sekali lagi maksiat dilihat dari perspektif lama, iaitu melihat penyanyi wanita tidak bertudung menimbulkan dosa, melihat tarian berdosa dan sebagainya, sehingga bukan sahaja dalam sebarang konsert, tetapi kehidupan seharian kita dikelilingi oleh 'dosa-dosa".

Kadang-kadang saya musykil bilakah kumpulan yang sepemikiran begini menikmati perkara-perkara kesenian dan mengagungkan ciptaan Allah SWT sekiranya semua benda yang ada di sekeliling mereka dianggap berselaput dosa.

Kalau kita ingin memanjangkan tafsiran ini, maka selepas ini, bukan sahaja konsert Sure Heboh yang akan difatwakan haram atas alasan melalaikan. Semua rancangan-rancangan popular seperti Akademi Fantasia kelolaan Astro, atau ' Who Will Win' dan sebagainya pastinya akan mendapat nasib yang sama.

Perkara yang lebih besar daripada itu ialah apakah sekiranya konsert Sure Heboh TV3 di Bukit Jalil yang mendapat sambutan hangat, sehingga seratus ribu penonton yang rata-ratanya orang Melayu (Islam), apakah mereka boleh dianggap sengaja menempah dosa seumpama pandangan Majlis Mufti itu?

Saya yakin para pengunjung ini bukannya tidak menyedari hal itu, tetapi mereka sebenarnya tidak sangat menghiraukan pandangan-pandangan yang tidak dikaji semasak-masaknya seumpama dalam isu kali ini.

Selepas mereka berduyun-duyun ke Stadium Nasional Bukit Jalil, jadi selepas itu apakah kesannya? Sudah tentulah, para mufti dengan 'pakej dosa dan haramnya' akan dilihat diketepikan oleh masyarakat Melayu.

Maka, sekali lagi, yang akan tercabar maruahnya adalah kumpulan mufti itu sendiri. Mereka akan merasa mereka semakin tidak relevan dengan masyarakat, sedangkan pada masa yang sama, masyarakat tidak pernah tidak menghormati institusi mufti sekiranya mereka menjalankan peranan mereka dengan betul.

Masyarakat adalah kumpulan yang mewakili realiti. Sepanjang sejarah Islam, hiburan dalam masyarakat tidak pernah ditolak ke tepi, malahan sesetengah ulama agung silam juga adalah pencipta kod muzik.

Keputusan seumpama itu menunjukkan para mufti ini hanya membuat fatwa dari kerusi empuk mereka, tanpa turun ke bawah melihat apakah keperluan sebenar masyarakat dari segi emosi, psikologi dan juga material khususnya yang bersabit dengan keperluan hiburan.

Sekali lagi, keperluan hiburan dan menikmati kesenian adalah satu tenaga yang tidak boleh dihalang tetapi wajib disalurkan. Konsert Sure Heboh adalah salah satu caranya.

Yang lebih malang, mufti-mufti, seperti juga beberapa pemimpin PAS, hanya dianggap tahu mengharamkan sesuatu perkara yang telah diterima secara umum oleh masyarakat. (Kalau tak terima, mereka tak akan pergi menonton). Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja pun menonton konsert dan menikmati kesenian, misalnya nyanyian Siti Nurhaliza dalam konsert-konsert khas untuk para tuanku.

Oleh itu, saya menganggap sudah tiba masanya untuk institusi mufti berubah ataupun kekal tidak relevan lagi dengan situasi semasa. Maksudnya, untuk memutuskan sesuatu perkara, mufti perlu buat kajian mendalam, bukan sahaja dari aspek agama tetapi juga aspek yang lain lagi.

Institusi mufti juga - disebabkan penghormatan dan kepentingannya kepada masyarakat Islam - perlu disertai oleh pakar dan cerdik pandai Islam dari bidang-bidang seperti psikologi, pakar ekonomi, kedoktoran, pakar masyarakat, dan ahli kesenian, bukan untuk sama-sama memutuskan, tetapi memberi nasihat kepada para mufti ini sebelum sesuatu fatwa diputuskan.

Lalu, yang akan terhasil adalah satu fatwa kolektif yang tidak meminggirkan agama dan juga sekaligus mengambil kira realiti semasa.

Namun, sekiranya para mufti ini ingin mengekalkan status quo sepertimana yang ada sekarang, janganlah pula masyarakat atau kerajaan memerintah yang dikritik mereka kerana tidak ingin mendengar fatwa-fatwa mereka.

Penulis adalah setiausah-agung, Kelab Penyelidik Politik Melayu (KPPM).


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS