Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Selepas kejayaan TV3 menganjurkan karnival 'Sure Heboh' di Sarawak dan Kedah, kini sudah sampai masanya untuk stesen penyiaran swasta negara itu memikirkan untuk mengadakan satu lagi 'Sure Heboh' di Terengganu.

Semua rakyat Malaysia tahu bahawa dua negeri di Pantai Timur - Kelantan dan Terengganu - sudah terlalu lama dipinggirkan hak mereka menikmati hiburan berkualiti sepertimana masyarakat negeri-negeri lain.

Kerajaan kedua-dua negeri itu sebelum ini menafikan hak rakyat untuk mendapatkan hiburan atas alasan dan kefahaman sempit bahawa hiburan, seperti nyanyian adalah melalaikan. Namun begitu, seperti biasa, pentadbir kedua-dua negeri itu sebelum ini tidak pernah memberikan alternatif bagaimanakah bentuk hiburan yang tidak haram.

Mereka menjadi tukang mengharamkan sesuatu aktiviti, tetapi bukan tukang mencadangkan aktiviti alternatif. Kita semua tahu bahawa nak haramkan sesuatu tidak susah, tetapi nak mencipta sesuatu yang baru untuk menggantikan yang diharamkan, adalah cukup susah dan memerlukan kreativiti yang tinggi.

Atas alasan itulah, selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Terengganu, saya telah berbincang dengan beberapa kawan untuk mengusulkan supaya diadakan program 'Karnival Sure Heboh TV3' di Terengganu.

Kami mencadangkan ia diadakan di Tapak Ekspo Pantai Air Tawar, Besut yang sekian lama menjadi tapak pesta dan pameran perdagangan dan pertanian. Pekan Kuala Besut juga menjadi sempadan yang memudahkan orang Terengganu dan Kelantan untuk menghadirinya.

Walaupun ada rakan yang menolak atas alasan tidak sesuai kerana kerajaan negeri baru dibentuk, saya menyatakan hujah saya sebagaimana di bawah.

Kita perlu ingat bahawa karnival tersebut bukanlah semata-mata hiburan, malah hiburan hanyalah sebagai daya penarik sahaja. Apa yang hendak dicapai adalah satu bentuk pameran perdagangan yang mempromosikan produk-produk khususnya keluaran dalam negara.

Kedua, sudah lama masyarakat di sana tidak terdedah dengan hiburan kerana kerajaan negeri sebelum ini meletakkan hiburan dan nyanyian sebagai maksiat dan perlu dijauhi. Mereka tidak mengkaji hiburan dari aspek keperluan fisiologi dan psikologi manusia.

Sebagaimana yang saya terangkan di atas, hiburan adalah keperluan psikologi manusia. Manusia perlukan hiburan sebagai satu bentuk penyaluran tenaga mereka. Sekiranya tidak dilepaskan, tenaga tersebut akan disalurkan kepada bentuk-bentuk lain yang mungkin tidak terkawal seperti pengihan ubat batuk, ganja dan pil kuda.

Gejala seumpama ini yang melanda anak-anak muda khususnya di dua negeri ini selama ini sangat memudaratkan, berbanding kesan nyanyian ataupun muzik.

Cuma cadangan saya, mungkin untuk disesuaikan dengan situasi pemikiran dan atas pertimbangan politik, saya syorkan supaya hanya penyanyi seperti Siti Nurhaliza, Yassin dan beberapa kumpulan nasyid seumpama Rabbani, Brothers dan Raihan saja yang dipilih untuk menyertai konsert kemncak 'Sure Heboh' itu nanti.

Selain itu, inilah juga peluang untuk memperkenalkan semula kesenian tradisi rakyat Terengganu dan Kelantan yang sekian lama terpinggir sewaktu pemerintahan era dulu. Dikir Barat, wayang kulit, permainan Mak Yong dan Menora perlu diaktifkan semula. Kesempatan terbaik adalah sewaktu karnival tersebut.

Kerajaan baru, dengan sokongan kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan, perlu mengambil peranan untuk menghidupkan semula warisan kebanggaan rakyat pantai timur ini dengan memulakannya dalam program seumpama 'Sure Heboh' ini yang telah terbukti mendapat tempat di hati masyarakat.

Kepada kerajaan baru di Terengganu, ambillah inisiatif ini demi kepentingan ekonomi dan memenuhi keperluan psikologi rakyat pantai timur amnya dan rakyat Terengganu khususnya.

Bukan satu rahsia bahawa rakyat Terengganu dan Kelantan, seperti juga rakyat negeri lain, sangat menyukai hiburan. Adalah satu fakta bahawa sewaktu rancangan 'Sure Heboh' diadakan di Kuantan, hotel-hotel di bandar Kuantan dipenuhi keluarga-keluarga berada dan pertengahan dari kalangan rakyat Kelantan dan Terengganu.

Tidakkah kita bersimpati dengan keluarga-keluarga miskin di sana yang tidak mampu untuk mengadakan perjalanan dan menyewa hotel semata-mata untuk memenuhi keperluan psikologi keluarga mereka?

Oleh itu, mengadakan program 'Karnival Sure Heboh' atau program seumpamanya di sempadan Terengganu dan Kelantan itu, akan membolehkan rakyat marhaen ini menikmati hiburan yang murah dan berkualiti, serta menikmati semula warisan kesenian tradisi nenek moyang mereka.

Mereka juga secara tidak langsung akan didedahkan dengan barangan keluaran negara kita melalui ekspo perdagangan yang berjalan serentak dengan karnival tersebut. Semoga cadangan saya mendapat perhatian pihak-pihak yang berkaitan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS