Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Membaca 'sendaan' Datuk Kampung Kuantan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat menyakitkan hati saya. Hakikat bahawa penghinaan demikian dibuat hanya selepas beberapa hari Tuan Guru keluar dari hospital, dilihat sebagai sengaja ingin menambahkan masalah kesihatan beliau.

Lebih-lebih lagi menghina ialah tuduhan bahawa perancangan pembatalan petisyen telah dikonspirasikan oleh Tuan Guru. Perlulah dijelaskan bahawa berdasarkan maklumat PAS negeri sendiri, memang pertemuan antara kedua pihak berlaku tetapi keputusan dibuat oleh mahkamah. Dengan kata lain, tidak ada sangkut paut langsung di antara (keputusan) mahkamah dan pertemuan tersebut.

Si penulis juga menyindir bahawa Tuan Guru sangaja merancang 'pakatan jahat' itu demi kelangsungan kerusi menteri besarnya, dengan menyatakan Tuan Guru berhajat untuk menjadi MB hingga ke akhir hayat.

Kita ingin bertanya si penulis atau konco-konconya, apa salahnya menjadi ketua negari sehingga ke akhir hayat? Untuk pengetahuan si penulis, inilah dasar Islam. Khalifah Islam semuanya memerintah hingga ke akhir hayat ataupun dibunuh musuh-musuhnya sewaktu masih memerintah.

Nabi Muhamad SAW wafat dalam keadaan memerintah negara Madinah. Begitu juga Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali r.a. Tuan Guru hanyalah mengikut apa yang telah dilaksanakan oleh Nabi dan para sahabat. Kalau tidak ikut mereka, hendak ikut siapa lagi. Mahathir? Nehru?

Ini menunjukkan keiltizaman Tuan Guru dalam melaksanakan Islam hingga ke akhir hayatnya. Ini juga menunjukkan kehampiran Tuan Guru dengan makam para sahabat yang telah saya sebutkan di atas.

Hal semacam inilah yang tidak dapat dibaca oleh si penulis kerana ia melibatkan perkara-perkara ghaib, berkat, rahmat yang turun langsung dari dunia langit. Hal semacam ini bukanlah dapat difikirkan dengan akal rasional.

Pastilah si penulis adalah konco-konco Faizal Sanusi dan Ezam Mohd. Noor yang merasa tercabar apabila orang kuat Keadilan di Kelantan, Mohamad Mustapha, telah mengisytiharkan kumpulan mereka menjadi ahli PAS apabila hilang keyakinan terhadap perjuangan parti Keadilan.

Kemasukan ini pula bukanlah disebabkan kebencian Mohamad kepada Keadilan yang asal, tetapi tidak sanggup melihat parti yang mereka sama-sama tubuh, bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), untuk menjadi PKR.

Ini bukanlah satu rahsia lagi bahawa PKR itu lanjutan daripada fahaman parti Buruh, menjadi PRM, berubah lagi menjadi PSRM dan terakhir bermetamorforsis menjadi PKR.

Ini nyatanya tidak dapat diterima oleh sebuah parti Islam. Sebab itulah, Mohamad memilih perjuangan Islam, berbanding perjuangan para sekularis di dalam organisasi PKR yang ada pada hari ini.

ADS