Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Berita malaysiakini USM student reps said to be under SB probe adalah satu babak 'Sure Heboh' yang dipentaskan dalam sesebuah universiti yang berkedudukan ke-111 di dunia.

Cerita ini dilanjutkan dengan aksi-aksi yang penuh mendebarkan apabila seorang siswi yang berumur 22 tahun dikenakan tindakan disiplin mengikut Seksyen 15 (3) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang menyatakan:

'Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar universiti, boleh menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau menyatakan sokongan atau simpati dengan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan yang haram.'

Mangsa akta Auku kali ini bernama Soh Sook Hwa yang dituduh terlibat dalam aktiviti berkempen untuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua semasa pilihanraya umum ke-11 Mac lalu.

Seperti biasa, sokongan melimpah dari badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia, parti pembangkang dan diselit pula dengan laporan bahwa Suhakam '... akan meneliti kes yang mencabul hak asasi manusia ini' yang sudah protokol bagi gerakan itu setiap kali mangsanya dicengkam kuku besi.

Apa yang memilukan ialah mengenai ahli akademik a.k.a intelektual yang ponteng dalam usaha menentang tindak-tanduk seumpama ini. Sampai bilakah kita hendak membiarkan mereka yang 'cakap tak serupa bikin' ini mentadbir kita, mendera anak kita, memusnahkan generasi baru kita?

Apabila mereka berdebat, kita denda RM150 setiap orang, bersertakan amaran keras. Apabila ada yang memakai lencana mansuhkan ISA, kita gantung dia satu semester . Apabila ada yang menyertai perhimpunan aman menentang ISA, kita buang ketujuh-tujuh mereka walaupun mahkamah belum pun menjatuhkan hukuman.

Ahli akademik hari ini wajib menjawab - apa maknanya kejujuran, kemuliaan dan keinsanan, sedangkan siswa-siswi kita dilarang untuk menyatakan 'simpati' mereka?

Adakah kita masih perlukan akta yang melarang dan menekan siswa-siswi kita? Mengapa kita begitu takut dipersoalkannya?

Jangan menaruh harapan bahawa siswa-siswi akan menjadi celik hanya dengan tali pada leher dan pakaian formal di bawah matahari terik. Jangan menaruh harapan bahawa pemuda-pemudi akan menggegarkan dunia ini sekiranya mereka hanya mampu membuat satay terpanjang, bendera terbesar, atau tidur dengan ular.

Padahal, kampus semakin mirip zoo negara, di mana ada yang membuat lawak untuk mengemis perhatian yang berkuasa. - konsep Universiti Dalam Taman.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS