Lembaga Disiplin Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati pelajar tahun akhir Soh Sook Hwa bersalah melanggarkan peraturan universiti kerana berkempen dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Berikutan itu, Soh diberi amaran keras dan dikena denda tidak melebihi RM200 oleh badan penyiasat lima anggota itu yang dipengerusikan oleh Timbalan Vice Canselor Halehwal Pelajar, Prof Madya Dr Jamaluddin Mohaiadin. Jumlah sebenar denda itu akan diputuskan kemudian.

Keputusan itu dibuat diakhir siasatan selama 90 minit yang berlangsung di kampus induk univerisiti itu di Pulau Pinang petang ini.

Lembaga itu mendapati Soh, 22, bersalah melanggar Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Bagaimanapun dia dihukum mengikut peruntukan di bawah peraturan tatatertib universiti berkenaan.

Soh, yang juga Presiden Persatuan Bahasa Cina USM dan bekas wakil pelajar, didakwa berkempen untuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Chua di kawasan Parlimen Batu sewaktu pilihanraya umum lalu.

Walaupun beliau terlepas daripada dikenakan hukuman maksima disingkar dari univerisitu, dia bagaimanapun akan dilarang daripada terus memegang jawatannya dalam persatuan tersebut.

Mengikut peraturan universiti itu, seseorang pelajar tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan di universiti selepas didapati bersalah atas kesalahan tatatertib.

Digantung jawatan

"Sewaktu siasatan tersebut, tidak disentuh langsung kedudukan saya dalam persatuan tersebut, tetapi sekiranya tanpa kebenaran naib canselor, saya tidak akan dibenarkan terus menyandangnya," katanya ketika dihubungi.

Soh telah digantung daripada memegang jawatan tersebut sejak Jun lalu sementara menunggu selesai siasatan terhadapnya.

Mengenai langkah berikutnya, Soh berkata, beliau sedang menimbang untuk membuat rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana beliau 'tidak dapat menerima' keputusan lembaga disiplin tersebut.

"Saya sedang menimbang semua pilihan yang ada untuk merayu terhadap keputusan tersebut ataupun merayu terhadap larangan peguam saya turut menghadiri siasatan tersebut," tambahnya.

Sebelum itu, kira-kira 20 wakil persatuan masyarakat madani dan alumni USM telah berpiket di luar universiti selepas mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam kampus.

Mereka yang memakai topeng membawa pelekat mengutuk sekatan terhadap kebebasan bersuara dan berpersatuan. Sebuah kereta peronda polis dilihat berada di dalam kawasan kampus tetapi tiada sebarang kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Soh adalah antara tiga pelajar USM yang disiasat kerana pembabitan mereka dalam pilihanraya umum lalu. Tetapi dua orang lagi telahpun tamat pengajian Ogos lalu.