Perbahasan mengenai isu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menahan lebih 100 pengunjung Islam di kelab malam baru-baru ini lebih berasaskan hati dari akal. Yang ditahan mendakwa dimalukan oleh pegawai Jawi, menuduh Jawi tidak menghormati dan sengaja hendak memalukan mereka.
Tetapi kalau mereka sendiri sudah tidak menghormati maruah dan harga diri sendiri, mengapa harus orang lain menghormati mereka. Berpakaian macam sudah tidak cukup kain di Malaysia. Kalau mengaku seorang Islam, maka hendaklah dan mestilah menghormati ajaran dan pegangan Islam.
Janganlah hendak menagih simpati dan sokongan dengan cara yang hanya memalukan agama Islam sendiri. Terimalah hakikat yang apa yang dilakukan itu memang salah di sisi Islam.
Kepada pegawai Jawi pula, hentikanlah jawapan yang serbuan dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima bahawa terdapat pesta arak di kelab malam tersebut. Jangan hendak buat-buat tidak tahu yang setiap malam ada "pesta arak" di Kuala Lumpur ini.
Jadilah jabatan yang berfungsi membangun dan mempromosikan nilai-nilai Islam, bukan bersifat menghukum. Jangan gunakan kedudukan untuk menunjukkan yang mereka lebih alim daripada yang lain. Hormatilah tanggungjawab yang diberikan kepada anda.
Kepada Lim , jika anda seorang Islam, anda pasti tahu yang Islam mengharamkan tempat-tempat seperti kelab malam kepada penganutnya. Kerajaan membenarkan kelab malam dibuka demi menghormati hak dan kehendak rakyatnya yang bukan Islam untuk berehat dan berhibur.
Jadi pergilah seberapa kerap, buatlah apa saja di dalamnya asalkan anda tidak melanggar undang-undang. Jika anda bukan seorang Islam, tolong jangan hendak menjatuh hukum atau mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh orang Islam.
