Saya merujuk kepada surat Rozmal Malakan yang bertajuk Wajarkah keputusan 4D disiar akhbar Melayu?
Rozmal menulis: 'Sekiranya selepas ini tiada lagi akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan keputusan judi di Malaysia ini, maka mungkin kita akan dapati ada orang Melayu mula membelek-belek akhbar bahasa asing, hanya semata-mata untuk melihat keputusan judi, bahkan sanggup membeli akhbar bahasa asing walaupun mereka tidak faham bahasa tersebut.'
Istilah 'bahasa asing' atau 'bangsa asing' sering digunakan oleh orang Melayu sebagai rujukan terhadap kaum atau bahasa bukan Melayu, terutamanya kaum dan bahasa Cina, di negara ini.
Rozmal, misalnya, apabila menggunakan istilah 'bahasa asing', sudah tentu merujuk kepada salah satu bahasa yang digunakan di Malaysia, sama ada bahasa Cina, Inggeris, atau Tamil yang ada menyiarkan keputusan 4D yang dikeluarkan oleh syarikat judi tempatan.
Masalahnya, bahasa-bahasa tersebut bukanlah bahasa asing kepada kita rakyat Malaysia kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua di negara kita manakala bahasa Cina dan Tamil pula merupakan bahasa-bahasa ibunda kaum-kaum Cina dan India yang merupakan rakyat Malaysia.
Maka, tidak ada apa-apa yang asing tentang hal ini. Kalau ada akhbar bahasa Perancis atau Rusia yang menyiarkan keputusan 4D di negara ini, barulah wajar dikatakan bahawa akhbar-akhbar tersebut adalah akhbar bahasa asing yang menyiarkan keputusan 4D.
Istilah 'bangsa asing' pula lebih buruk kesannya daripada istilah 'bahasa asing'. Penggunaan istilah 'bangsa asing' untuk merujuk kepada rakyat Malaysia berketurunan India atau Cina adalah tidak wajar kerana mereka adalah warganegara Malaysia yang sudah hidup berzaman-zaman di
Malaysia.
Mereka bukan warga Singapura, Indonesia, Filipina atau Thailand. Mereka adalah rakyat Malaysia. Ada antara orang Cina dan India di Malaysia yang merupakan generasi ke-15 di Malaysia, berbanding sesetengah orang Jawa di Malaysia, misalnya, yang baru generasi pertama atau kedua di Malaysia.
Tetapi kebanyakan orang Melayu tidak pula merujuk kepada rakyat Malaysia berketurunan Jawa sebagai 'bangsa asing' dan pada hemat saya, memang sewajarnya begitu, kerana mereka adalah rakyat Malaysia.
Namun, ada baiknya pemikiran seperti ini, yakni tidak menggunakan istilah 'bangsa asing' ke atas mana-mana rakyat Malaysia, dipanjangkan kepada rakyat Malaysia bukan Melayu.
