Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkatan Muda Malaysia menyokong kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT).

Pembinaan SRJKC atau SRJKT di kawasan majoriti kaum berkenaan, khususnya di kawasan penempatan baru, seharusnya tidak ditentang, sejajar dengan hak mendapat pendidikan bahasa ibunda selagi prasyarat untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa utama (bahasa kebangsaan) dihormati.

Tidak kira apa aliran pendidikan, jika mereka bersetuju untuk memperkasakan pelajar mereka dengan penguasaan Bahasa Melayu, maka ia harus dipertimbangkan. Di kawasan penempatan baru di mana komposisi masyarakat Cina atau India tinggi, maka tidak salah untuk membuka SRJKC atau SRJKT, khususnya di peringkat rendah.

Ini kerana Angkatan Muda yakin dengan teori bahawa cara terbaik menyampaikan ilmu di peringkat kanak-kanak ialah dengan menggunakan bahasa ibunda. Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia ini, sistem pendidikan perlu bersikap lebih terbuka dan demokratik.

Mengenai kenyataan beberapa pemimpin kerajaan untuk memperkasa dan memperkemaskan sekolah kebangsaan , Angkatan Muda Malaysia mengharapkan ia bukan sekadar kenyataan politik tetapi perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Angkatan Muda Malaysia kesal kerana beberapa pemimpin kerajaan menjadikan isu ini sebagai satu isu perkauman dan ditangani berdasarkan kepentingan politik masing masing. Seharusnya disedar bahawa bukan sikit bekas pelajar SRJKC yang kini menyumbang kepada negara dalam pelbagai sektor, malah ramai pemimpin kerajaan sendiripun merupakan lulusan SRJKC.

Angkatan Muda Malaysia secara serius mencabar parti-parti perkauman seperti MIC dan MCA supaya menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pertambahan SRJKC dan SRJKT atau sekadar bersetuju dengan kenyataan perdana menteri yang menyatakan 'pertambahan SRJKC jejaskan perpaduan'.

Kami ingin juga menarik perhatian kepada pendedahan Datuk N Siva Subramaniam pada bulan Disember 2001 (ketika itu beliau adalah Setiausaha Agung NUTP) bahawa beratus-ratus sekolah kebangsaan di Semenanjung terlibat dalam pengasingan pelajar.

Dicadangkan supaya sekolah kebangsaan yang mempunyai lebih lima murid berketurunan India atau Cina, harus mengadakan kelas bahasa ibunda mereka bagi memastikan kesinambungan bahasa ibunda mereka terus dipelihara.

Guru yang benar-benar pakar dalam bidang bahasa ibunda tertentu seharusnya ditempat di setiap sekolah kebangsaan. Semua sekolah kebangsaan perlu mengangkat semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama untuk menggalakkan perpaduan, penguasaan penuh Bahasa Malaysia seharusnya dititikberatkan di semua peringkat persekolahan.

Sekolah kebangsaan perlu diperkemaskan, bersikap lebih terbuka, menggalak daya saing dan demokratik untuk menarik minat semua anak Malaysia memasukinya tanpa menghalang mana-mana individu untuk membuat pilihan aliran pendidikan mereka.

Akhir sekali Angkatan Muda Malaysia menegaskan bahawa ia tidak berganjak dalam menuntut kerajaan supaya memartabatkan semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu penggalak perpaduan.

Penulis adalah Pengerusi Biro Pendidikan, Angkatan Muda Keadilan.

ADS