Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Aspirasi Akademia Ummah Sejahtera (ARUS) Perak mengharapkan teras perlembagaan negara dan Akta Pendidikan 1996 kekal menjadi asas pegangan dalam sistem pendidikan negara kita.

Rakyat Malaysia perlu menghormati dasar pendidikan negara ini yang telah wujud sejak kemerdekaan kita pada tahun 1957 lagi.

Memang benar beberapa pendekatan pendidikan telah diperkenalkan kerajaan, namun ia tidak menyentuh konsep teras bagi sekolah kebangsaan, tetapi lebih kepada perubahan kepada kaedah, pendekatan dan penekanan terhadap pembentukan spiritual dan moral setiap pelajar di sekolah ketika itu.

ARUS mengakui wujudnya kebimbangan ibu bapa terutamanya di kalangan bukan Islam terhadap isu sekolah kebangsaan yang ‘terlalu Islamik’.

Namun kebimbangan ini perlu diredakan dengan penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti Islam dijalankan Kementerian Pendidikan serta pihak sekolah yang melibatkan majoriti pelajar Melayu beragama Islam.

Penjelasan ini perlu bagi menerangkan kepentingan dan kedudukan agama Islam bagi semua pelajar Melayu, di samping memperbetulkan salah faham dan ketakutan maksud ‘terlalu Islamik’ agar ia tidak menjadi isu besar bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Jaminan terhadap Akta Pendidikan 1996 perlu menjadi asas utama perlaksanaan pembelajaran serta semua aktiviti persekolahan di sekolah kebangsaan agar isu berbangkit dapat dielakkan serta menjaga keharmonian semua pihak terutamanya ibu bapa.

ARUS Perak menyarankan Kementerian Pendidikan dan juga jabatan pendidikan negeri mengadakan sesi penerangan kepada ibu bapa bukan Islam.

Ia bukan sahaja dapat meredakan kebimbangan mereka, malah dapat merapatkan jurang perbezaan budaya dan agama agar ibu bapa dari kalangan non-Muslim dapat membezakan antara aktiviti biasa dalam Islam dengan apa yang dianggap ‘terlalu Islamik'.

Pada pandangan ibu bapa Islam, aktiviti seperti bacaan doa semasa perhimpunan adalah perkara biasa dan ia ‘pengisian’ rohani dan amalan Islam yang mulia.

ARUS Perak juga mencadangkan diadakan perbincangan meja bulat dengan kelompok-kelompok pendidikan bukan Islam khasnya bagi menyelesaikan salah faham isu terbabit.

Bagi ARUS Perak, kebimbangan sesetengah pihak mungkin ada asasnya kerana jurang perbezaan budaya dan agama menjadi faktor besar isu yang dibangkitkan sehinggakan ada yang menyuarakan kebimbangan tersebut.

Mungkin boleh difikirkan mekanisme berlainan bagi mengatasi ketidakselesaan ibu bapa masyarakat bukan Islam di sekolah kebangsaan dan dalam masa yang sama mengambil kira rungutan-rungutan lain berkaitan isu agama.

ARUS Perak juga bersedia untuk bersama-sama memberi sumbangan dalam memperteguhkan akta pendidikan negara mengikut acuan Falsafah Pendidikan Negara ini.


DR MOHD NURI AL-AMIN ENDUT pengerusi Pertubuhan Aspirasi Akademia Ummah Sejahtera (ARUS) Perak.

Lihat Komen
ADS