Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Surat
Perpaduan: K’jaan, pemimpin bukan Melayu tak serius

Desakan MCA selama ini dan di persidangan agung parti itu yang ke-63 pada 14 November lalu supaya kerajaan mempertahankan sekolah sekolah vernakular serta mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dua perkara yang pasti menggugat masa depan perpaduan nasional.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berjanji akan membina lebih banyak sekolah Cina.

Dalam keadaan begini, Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) berpendapat bahwa kerajaan dan pemimpin bukan Melayu tidak serius dalam mambina perpaduan nasional. Malah perkara ini boleh dianggap seperti tajuk maharaja lawak sahaja.

PERKASA ingin bertanya, apakah mereka tidak faham betapa pentingnya perpaduan nasional?

Apakah mereka tidak tahu bahawa kegagalan perpaduan nasional akan membawa negara ke kancah pergaduhan, huru-hara dan perang saudara?

Tidakkah pemimpin ini tahu bahawa melentur buluh hendaklah dari rebungnya? Bermakna, kalau mahu membentuk perpaduan nasional hendaklah di mula dari jenerasi yang paling muda yang baru mengenal dunia hinggalah mereka dewasa.

lni bermakna bahawa satu-satunya kaedah pembentukan ini ialah melalui sistem pendidikan.

Perkara ini hendaklah dibuat seawal peringkat tadika hinggalah ke peringkat universiti.

Jika ini dibuat seawal mula merdeka dahulu dan dengan anggaran 400,000 pelajar setiap tahun, bermakna pada hari ini,seramai 24 juta warga Malaysia jauh lebih erat perpaduannya berbanding dengan situasi sekarang yang amat rapuh saperti telur di hujung tanduk.

Begitu juga dengan UEC yang kami anggap sebagai satu lagi punca yang menghancurkan perpaduan nasional.

Oleh itu PERKASA mendesak kerajaan supaya berdiri tegas dan tidak mengiktiraf UEC serta segera mewujudkan sekolah satu aliran demi memupuk perpaduan nasional yang mampu menjamin kesetabilan politik negara.

Dalam hubungan ini, Tengku Mahkota Johor baru baru ini menitah supaya diwujudkan sekolah satu aliran untuk memupuk perpaduan kaum adalah amat disokong dan dialu-alukan oleh PERKASA.

Seruan ini adalah tepat dan kena pada masanya. Selaras dengan itu kita mahu supaya setiap NGO, para pemimpin politik dan khususnya kerajaan persekutuan menyahut titah baginda ini dan terus mambuat persiapan untuk ia dilaksanakan segra.

Seruan atau sebaiknya titah TMJ ini menggambarkan betapa pentingnya perpaduan kaum kepada kelangsungan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, aman, damai, maju dan bersatu-padu.

Sebelum ini ada juga ada pemimpin pemimpin lain yang mengungkapkan dan menyeru kepada perpaduan menggunakan sistem satu aliran ini.

PERKASA amat menyokong titah atau arahan baginda ini malah menyokong sebarang langkah yang diambil ke arah mempercepatkan perlaksanaannya.

Perpaduan nasional tidak boleh dinafikan sebagai rukun dan teras kepada keamanan dan kesetabilan nasional, yang merupakan perkara yang sangat dikehendaki oleh manusia walau dari latar belakang apa dan dari negara mana sekali pun.

Tidak guna wang berbilion, harta bertimbun atau anak yang ramai jika pembunuhan dan permusuhan berlaku di mana-mana sahaja. Jadi segala usaha hendaklah dibuat untuk memastikan rakyat pelbagai kaum ini sentiasa bergaul bersama dan bersatu-padu.

Ke arah matlamat ini, pelbagai program dan aktiviti di pelbagai peringkat telah diadakan di seluruh negara.

Pelbagai kempen, ceramah, sukan,dan sebagainya diadakan.Namun matlamat perpaduan tulen sebenarnya masih tidak mampu dicapai, malah jauh dari jangkauan.

Di mana juga kita melihat, kita tentunya akan nampak masing-masing kaum berada bersama kaumnya sendiri, menjalankan aktiviti apa pun, mengikut kelompok kaum masing masing.

Malah jika berlaku kemalangan jalan raya sekali pun, warga kita melihat dari segi perkauman?

Persoalannya, kenapakah jadi begini walau pun negara sudah merdeka hampir 60 tahun?

Ini adalah kerana program dan aktiviti perpaduan hanya dibuat sebagai tindakan berkala,rata-ratanya kepada golongan dewasa.

Realitinya, pada masa kini anak anak kaum Cina belajar di sekolah vernakular dan jenis kebangsaan Cina dan anak anak orang India bersekolah di sekolah jenis kebangsaan India.

Dengan lain lain perkataan,sistem pendidikan kita sekarang ini membentuk jenerasi muda supaya mengamalkan sifat perkauman, sedangkan apabila mereka dewasa kita mahu mereka bersatu padu.

Bukankah ini satu percanggahan!

Mengapa tidak sekolah satu aliran? Panggil saja sekolah 1Malaysia.

Kalau acuannya ialah acuan biskut, masakan hasilnya akan menjadi sebuah kek yang besar dan mantap.

Dalam keadaan begini, bagaimanakah kita boleh mengharapkan perpaduan di kalangan mereka apabila mereka tamat persekolahan dan berada dikalangan masyarakat?

Ini bermakna laungan dan seruan perpaduan yang dibuat oleh pemimpin pemimpin Cina dan India adalah hipokrit semata kerana pada masa yang sama mereka masih tetap berdegil untuk meneruskan pendidikan vernakular dan lebih banyak sekolah jenis kebangsaan dibina.

Seruan kepada perpaduan nasional tak ubah seperti sebuah opera Cina sahaja.

Sebagai menjawab persoalan besar ini, PERKASA untuk kesekian kalinya, menyeru kerajaan supaya segra melaksanakan sistem persekolahan satu aliran dan jangan sekali kali mengiktiraf UEC.

Kami juga sekali gus menyeru pemimpin-pemimpin kaum bukan Melayu supaya berlaku jujurlah kepada diri sendiri dan negara supaya berfikirlah secara rasional dan perspektif jangka panjang serta akuilah bahwa matlamat akhir dan mutlak semua kaum adalah keamanan dan kestabilan negara.

Berhentilah dari mengamalkan sifat hipokrit! Oleh itu terimalah sistem pendikan satu aliran!

Di samping itu, sistem persekolahan satu aliran juga akan membawa kepada penggunaan sumber kewangan, material dan modal insan akan lebih cekap dan berkesan.

Janganlah tunggu sehingga nasi menjadi bubur kerana jika tiada perpaduan, berlaku huru-hara atau perang saudara, ia akan tiada jalan kembalinya lagi.

Yang kalah menjadi debu dan yang menang menjadi arang. Sayangilah negara kita dan terimalah sistem pendidikan satu aliran.


Datuk Sirajuddin Salleh adalah timbalan presiden dan pengerusi biro pendidikan PERKASA

Lihat Komen
ADS