Saya telah mengikuti rentetan perkembangan mengenai isu pengambilan tanah oleh kerajaan negeri Kedah di kawasan Kampung Datuk Murad dan Kampung Tok Bidan untuk dibangunkan oleh syarikat Bukhary Reality Sdn Bhd untuk pembesaran Kompleks Islam Yayasan Bukhary sedia ada di Jalan Langgar, Mukim Alor Malai, Kota Star, Kedah.
Ia membabitkan seramai 75 keluarga di Kampung Datuk Murad dan 38 keluarga di Kampung Tok Bidan. Proses pengambilan tanah tersebut dilaksanakan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dibuat untuk tujuan kepentingan awam dan kebajikan orang ramai. Melalui penjelasan kedua-dua wakil penduduk kampung berkenaan, mereka tidak membantah dan menolak perlaksanaan pengambilan tanah tersebut.
Tetapi apa yang dirayu oleh penduduk ialah mengenai beberapa hak asasi seperti nilai pampasan tanah dan rumah mereka mengikut harga semasa dan ehsan untuk penempatan semula yang sesuai dan wajar.
Namun demikian, beberapa perkara yang perlu dirundingi dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum pengambilan tanah tersebut, telah tidak diambil kira oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) dan Bukhary Reality Sdn Bhd sebagai ejen pemaju. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kurang senang di kalangan penduduk terlibat.
Walaupun Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak memperuntukkan sebarang rundingan terdahulu (pre-acquisition) tetapi memandangkan pengambilan tanah ini melibatkan penduduk berpendapatan rendah dan miskin, maka adalah menjadi 'tanggungjawab sosial' kerajaan negeri dan ejen pemaju untuk memikirkan satu kaedah yang sesuai dan berpatutan, supaya mereka dapat meneruskan kehidupan seharian dengan terjamin, setelah berpindah dari situ.
Melaksanakan amalan Akta Pengambilan Tanah 1960 mengikut tafsiran undang undang semata-mata sudah tentu bukan satu tindakan yang selaras dengan semangat akta itu sendiri dan melanggari hak asasi mereka sebagai tuan punya tanah terbabit.
Difahamkan juga wakil penduduk berkenaan telah cuba berbagai cara untuk berunding melalui saluran yang selalu diamalkan. Mereka telah cuba memohon dan merayu kepada PTG dan juga pejabat Menteri Besar Kedah. Tetapi kedua-duanya tidak dapat menerima sebarang usaha rundingan dari wakil penduduk kampung tersebut.
Sedangkan mereka hanya mahukan pampasan yang berpatutan, penempatan yang sesuai dan boleh menjalani kehidupan seharian yang menjamin masa depan dan kebajikan mereka. Mereka juga mahukan penerangan yang jelas, tepat dan terkini. Selama ini mereka mendakwa berlaku kekeliruan dan sesuatu yang tidak kena dan cuba diselindungi oleh pihak tertentu, bersabit dengan pengambilan tanah mereka.
Secara umumnya, mereka mahukan keadilan yang paling asas. Penduduk kedua-dua kampung terbabit, akhirnya membawa perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan beberapa siri siasatan awal yang melibatkan pejabat PTG, wakil Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ejen pemaju, Bukhary Reality Sdn Bhd, telah dipanggil. Penduduk terlibat mungkin sudah 'letih' dengan kerenah birokrasi jabatan kerajaan khususnys PTG dan pejabat Menteri Besar.
Mereka juga mungkin sudah bosan dengan alasan bahawa tanah itu diambil untuk tujuan kebajikan dan untuk kepentingan awam yang jelas mengabui mata masyarakat, sedangkan ianya tidak begitu apabila kompleks tersebut terbina. Unsur-unsur kepentingan kewangan yang agak ketara juga menyebabkan penduduk merasakan mereka sebenarnya teraniaya dengan undang-undang kerajaan yang dilindungi oleh Akta Pengambilan Tanah 1960.
Adalah diharap agar insiden seperti ini tidak mengingatkan kita kepada situasi pengambilan tanah di Kerpan, Jerlun beberapa tahun lalu. Ketelusan kerajaan dibawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hendak dipraktikkan dan diterjemahkan dengan sebaik mungkin.
