Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

PKR Sabah menyokong kenyataan persidangan raja-raja Melayu yang bimbang dengan fenomena segelintir rakyat yang cuba untuk mengganggu gugat keharmonian kaum dan agama di negara ini dengan perlaksanaan polisi yang bertentangan dengan kemajmukan bernegara.

PKR agak gusar dengan perkembangan yang berlaku di negara ini yang menunjukkan contoh yang tidak baik kepada pembinaan negara bangsa, apatah lagi memperlihatkan seolah-olah Islam itu agama yang menyulitkan.

Islam sepatutnya di lihat sebagai agama pembawa rahmat seluruh Alam atau rahmatan lil allamin.

Kami di Sabah yang terkenal dengan semangat toleransi kaum amat bimbang dengan fenomena ini dan berharap dengan teguran majlis raja-raja ini membuatkan tidak ada mana-mana pihak yang cuba membawa polisi dan isu yang sama ke Negeri di Bawah Bayu.

Fenomena kepelbagaian di negara ini diungkap dengan penuh hikmah oleh Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas:

"...Keadaan bertumpunya agama-agama agung di dunia ini di Malaysia janganlah hendaknya kita anggap sebagai satu kelemahan besar, satu bibit perceraian masyarakat kita; kita harus menganggapnya sebagai satu keistimewaan dan kebesaran kita di dunia; kita harus tahu bahawa dalam pandangan hidup agama-agama ini semua lebih banyak terdapat titik pertemuan daripada yang terdapat dalam ideologi-ideologi politik, bahawa dalam keluhuran falsafah-falsafah agama-agama Islam, Kristian, Hindu, Budha dan ajaran Lao Tzu dan Kung Fu Tze ada terdapat kesejajaran fahaman dalam bidang-bidang penting yang tentu akan dapat membantu ke arah memupuk faham keperibadian Malaysia.”

Ini diperkukuhkan dengan pesanan daripada Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Datuk Dr Siddiq Fadzil yang perlu kita hayati di mana beliau menekankan bahawa pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan.

"Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan."

Ini juga bersesuaian dengan pesanan Bapa Kemerdekaan Sabah almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun yang mengatakan:

"Dalam jangka panjangnya, kita ingin melahirkan satu keturunan rakyat Malaysia yang tulen. Kita berhasrat membentuk satu rupa pengenalan rakyat yang mempunyai peribadi Malaysia sendiri. Kita mahu menyatukan cara hidup, sikap, kebudayaan dan pandangan mereka sebagai orang Malaysia."

Kami menyeru kepada rakyat Sabah terutamanya agar tidak terpengaruh dengan fenomena yang tidak sihat ini dan marilah kita mencari titik-titik persamaan dan menghormati perbezaan antara kita.

Sudah tiba masanya kita mengajak rakyat Malaysia belajar daripada budaya Orang Sabah yang amat menjaga dan mempertahankan keharmonian bermasyarakat dengan kepelbagaian yang ada.


MUSTAPHA SAKMUD timbalan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah merangkap anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS