Saya tertarik dengan surat mengenai Menteri Pelajaran Tinggi Dr Shafie Salleh oleh ' Cakap bin Bikin ' dan saya percaya, sedikit sebanyak, memang ada kebenarannya. Saya ingin membangkitkan beberapa dasar kerajaan yang amat menyusahkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
Sewaktu tinggal di Great Britain, saya dapati setiap perubahan dasar kerajaan dilaksanakan setelah kajian dibuat, malumbalas diterima dan pelaksanaan dijalankan dua tiga tahun selepas sesuatu dasar itu dipersetujui kabinet.
Di Malaysia, Dr Shafie baru-baru ini mengumumkan bahawa penuntut IPT yang meraih ijazah kelas satu pun kena bayar balik pinjaman PTPTN. Beliau sendiri tahu, bukan senang hendak dapat kelas satu. Tidak bolehkah pinjaman mereka itu dijadikan biasiswa sebagai hadiah.
Kedua, kerajaan juga memutuskan untuk melanjutkan kursus ijazah dari tiga kepada empat tahun. Saya kira tiga tahun pun sudah cukup untuk ijazah pertama. Kebanyakan pegawai tinggi kerajaan sekarang adalah produk tiga tahun Universiti Malaya. Yang penting ialah mutu pengajaran di IPT itu sendiri.
Satu musibah hasil perubahan dasar ini ialah angka pinjaman PTPTN akan melonjak naik. Jadi, tempoh bayar balik akan dilanjutkan dan ini juga bermakna bangsa Melayulah yang akan menderita. Bila seseorang penuntut Melayu keluar universiti, maka dia terus berdepan dengan azab membayar balik pinjaman walaupun dapat kelas satu, susah hendak membantu keluarga dan terpaksa naik bas berterusan dan terpaksa melupakan niat hendak memberi kancil.
Akhir sekali, ejen-ejen Biro Tatanegara (BTN) sedang sibuk untuk memastikan semua calon pro-kerajaan menang dalam pilihanraya IPT tidak lama lagi. Kepada Dr Shafie, saya minta tolong, jangan buang masa. Adalah lebih memanfaatkan jika kesemua Majlis Perundingan Pelajar (MPP) bersikap anti-kerajaan, mendesak itu, minta itu dan ini. Itu adalah sesuatu yang sihat.
Walaupun mereka nampak macam pro-PAS, tetapi apabila keluar universiti, mereka juga perlu bekerja untuk membantu ibu bapa dan anak isteri. Mereka tidak semestinya terus menjadi aktivis PAS. Mungkin mereka penjadi pejuang Umno yang lebih matang.
Kita semua tahu, sebagai pelajar, kita semua berfahaman sosialis tetapi apabila tamat pengajian, mendapat kerja dengan gaji yang lumayan, ramai akan menjadi kapitalis besar, kadang-kadang tidak berperi kemanusiaan pula, sentiasa mengejar keuntungan untuk membawa anak isteri melancong ke Disneyland.
Saya kira lebih baik ejen-ejen BTN ini dipindahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menjalankan kajian dan mengusahakan bantuan kerajaan kepada keluarga miskin dan tersisih, anak-anak terpaksa berhenti sekolah, dan bapa sakit dan tidak dapat bekerja. Apa yang dipaparkan oleh rancangan Bersamamu di TV3 hanya berupa setitik sahaja dalam lautan kemiskinan orang Melayu.
