Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semasa saya menulis artikel “Penemuan sulung batu megalit di luar pengaruh wilayah Minangkabau” pada 19 Februari, saya fikir hanya di Bekoh, Tangkak, Johor sahaja kemungkinan ditemui batu megalit yang dikaitkan dengan nisan pembesar orang Minangkabau di luar pengaruh wilayah Minangkabau.

Rupa-rupanya, menurut penduduk tempatan Bekoh, Shahairil Sapingi kemungkinan wujud batu megalit di tapak stesen KTMB Kuala Lipis, Pahang.

Nampaknya di Pahang juga mungkin ditemui batu megalit.

Foto Google Maps

Carian di Internet gagal menemui apa-apa maklumat berkaitan dan saya terus seorang pengusaha eco pelancongan Kuala Lipis yang pejabat beliau di terletak di Stesen KTMB Kuala Lipis.

Agak mengejutkan beliau sendiri tidak mengetahui kewujudan batu megalit dan batu Aceh di Kuala Lipis. 

Tiba-tiba muncul rakan Facebook saya bernama “Engku Khairul” mengesahkan pernah melihat batu Aceh di kawasan perkuburan Islam di Masjid Kampung Bukit Kota, Kuala Lipis (koordinat:4.260848,101.925651).

Namun, tidak dapat berkongsi fotonya kerana foto batu Aceh itu hilang dalam simpanannya.

Saya pernah menulis berkaitan Batu Aceh yang saya lawati di Kuala Lumpur bertajuk: “Batu Aceh yang 'hilang' di celah kilang & kondo”.

Lokasi batu Aceh di Masjid Kampung Bukit Kota, Kuala Lipis.

Ini sangat mengujakan.

Dalam rekod sejarah Pahang, dipercayai hanya di Pahang Tua ditemui batu Aceh, iaitu termasuk makam Sultan Muhammad Syah I Ibni Sultan Mansor Syah.

Batu Aceh berbentuk teratai di Masjid Kampung Bukit Kota, Kuala Lipis

Sebenarnya, jika kita membuat carian di akhbar, sebenarnya makam purba ini tidak mustahil ditemui batu megalit dan batu Aceh di Kuala Lipis atau lokasi lain di Malaysia.

Cuma pengetahuan dan kajian batu Aceh dan batu megalit ini tidak disebar luas dan ini memang memusykilkan saya. 

Kesimpulannya, pegawai daerah Lipis mesti proaktif dengan penemuan batu Aceh dan batu megalit yang berusia ratusan tahun sebelum Kuala Lipis menjadi ibu negeri Pahang antara 1898 hingga 1995.

Saya juga dikongsi 14 bangunan yang berpotensi dicalon tapak bersejarah oleh Majlis Daerah Lipis yang dibina selepas tahun 1898 yang kegemilangan daerah Kuala Lipis dengan kawasan perlombongan emas utama di Pahang.

Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Lipis dan Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Pahang juga dinasihatkan bekerjasama dengan Shahaniza Shamsuddin selaku pengerusi jawatankuasa kebudayaan, perpaduan, kebajikan masyarakat, pembangunan wanita dan keluarga negeri Pahang, Mohd Hassan Tuah yang giat promosi pelancongan daerah Kuala Lipis, Jabatan Warisan Negara, Lembaga Muzium Negeri Pahang, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM dan pengkaji sejarah Minangkabau di dalam dan luar negara.

Ini bagi:

  • Mengkaji sumbangan orang Minangkabau di Ulu Pahang sejak kurun 15 sehingga kurun 19,.
  • Mengenal pasti siapakah pemilik batu Aceh dan batu megalit di Kuala Lipis.
  • Mengilap semula sejarah warisan Kuala Lipis yang berpotensi diangkat sebagai produk pelancongan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Sejarah Kuala Lipis sangat berwarna-warni. Selamatkan stesen kereta api Kuala Lipis yang telah ditutup bagi memberi laluan stesen kereta api baru.

Wujudkah batu megalit Stesen KTMB Kuala Lipis atau tau ia sudah dipindahkan semasa pembinaannya pada tahun 1926?

Sesungguhnya kewujudan batu Aceh, batu megalit di Kuala Lipis bukti penempatan purba.


MOHD AZLAN MOHD SHARIF ialah pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS