Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Berbicara tentang kajian Batu Aceh di Malaya, empat tokoh ini sentiasa menjadi rujukan:

  • Richard Olaf Winstedt , A History of Johor (1365-1895 AD), (1932).
  • Datuk Dr Othman Mohd Yatim, Batu Aceh, Early Islamic Gravestones in Peninsular of Malaysia, (1985).
  • Prof Dr Daniel Perret, École française d‘Extréme-Orient (EFEO).
  • Drs Kamaruddin Abd Razak (Yayasan Warisan Johor), Batu Aceh Warisan Sejarah Johor (1999) dan Batu Aceh Johor Dalam Perbandingan (2004).

Dalam kajian keempat-empat tokoh ini, dipercayai terdapat sekitar 400 makam orang Islam yang ditandai dengan Batu Aceh dapat ditemukan hingga sekarang.

Yang hairannya tidak ditemui kajian bahawa kemungkinan wujud Batu Aceh atau "Batee Aceh" dalam sebutan Aceh, di Kuala Lumpur atau Selangor.

Penemuan Batu Aceh di empat lokasi di Kuala Lumpur perlu dipandang serius oleh pihak berwajib memandangkan ia ditemui di ibu kota Malaysia, termasuk yang ditemui tidak jauh dari pejabat Pesuruhjaya Warisan Negara.



Batu Aceh ini ditanda dengan nama berbeza yang salah satu daripada empat lokasi telah menjadi Masjid Jamek Sultan Abdul Samad sejak 1909.

Kajian Batu Aceh oleh keempat tokoh ini menunjukkan bahawa semua tapak adalah terletak berdekatan dengan sungai yang besar atau anak sungainya.

Ini tidak menghairankan kerana sehingga awal abad ke-20, sungai-sungai merupakan jalan utama di semenanjung Malaysia dan orang biasanya tinggal di tepi sungai.

Jika kita mudik dari Kuala Sungai Klang, kita akan bertemu dengan lokasi Batu Aceh yang pertama di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Kinrara, Puchong, Kuala Lumpur (koordinat: 3°03'44.9"N 101°39'02.9"E) iaitu di tebing kanan Sungai Klang.

Tak diketahui pemilik

Terdapat empat Batu Aceh yang tidak diketahui pemiliknya bersama kubur orang awam yang lain.

Tiada papan tanda menunjukkan wujudnya makam bersejarah ini dan penduduk tempatan mengenali makam lama ini sebagai "Makam Aceh".

Ketika ini makam ini dikelilingi kawasan kilang dan pembinaan kondominium.

Lokasi kedua Batu Aceh adalah makam dipercayai makam Dato Ungku Klang yang pertama (Dato Ungku Pinang Tunggal) dan Dato Ungku Klang Kedua (Dato Ungku Kampung Pinang) yang terletak bersebelahan dengan Petronas Jalan Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama (koordinat: 3°04'32.8"N 101°39'14.8"E).

Lokasi empat Batu Aceh ini adalah di tebing kiri Sungai Klang dan ketika ini empat Batu Aceh ini disimpan sementara oleh "Encik Din" bagi memberi laluan kerja kerja menaiktaraf makam yang sedang dilakukan.



Dari papan tanda di hadapan kompleks makam ini, ia dikenali sebagai "Makam AL Karamah Pinang Tunggal”.

Menurut pengkaji sejarah Selangor, Cikgu Faisal Surani, pengurusan makam ini sepatutnya diwarisi oleh keluarga waris ke-12 Dato Ungku Klang iaitu Datuk Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Abdul Jalil Abdul Rani.

Lokasi Batu Aceh ketiga ialah di tapak Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur yang terletak di Muara Bustar (sebutan dalam dialek Mandailing) atau persimpangan Sungai Gombak dan Sungai Klang (koordinat:3°08'56.6"N 101°41'43.7"E).

Sebelum tahun 1909, tapak masjid ini adalah adalah tanah perkuburan Islam bagi masyarakat yang tinggal di situ kebanyakannya etnik Melayu dari Rawa, Mendaling, Minangkabau, Jawa dan Bugis yang membentuk kawasan penempatan pertama di Kuala Lumpur dengan menjadikan kerja perlombongan timah bagi menyara kehidupan.

Tapak warisan negara

Kawasan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan sekitarnya telah diisytiharkan sebagai tapak warisan negara oleh Jawatankuasa Warisan Negara (JWN).

Merujuk kepada Sinar Harian pada 20 April 2016, telah ditemui di sini sebanyak 45 batu nisan lama termasuk ada dipercayai sebagai Batu Aceh tertanam berdekatan kawasan pembinaan projek Sungai Nadi Kita (RoL) sejak Disember 2015 sehingga Mac 2016.

Lokasi keempat ditemui Batu Aceh ialah di tapak yang ditanda sebagai "Makam Dato Harun Rashid & Siti Zubaidah", Jalan 1/48A, Sentul, Kuala Lumpur (koordinat:3°10'37.0"N 101°41'41.8"E).



Kedudukan satu Batu Aceh di sini adalah di tebing kiri Sungai Gombak dan bersebelahan Depot Simpanan Kenderaan Ditunda DBKL (Sentul).

Ketika ini, Encik Muhammad Sultan menjaga makam ini di mana terdapat sebuah surau dibina bersebelahan Makam Batu Aceh ini untuk kegunaan pengunjung.

Sebagai orang awam, saya pernah memaklumkan tentang penemuan artifak (Batu Aceh) di Kuala Lumpur kepada Jabatan Warisan Negara mengikut Akta Warisan Negara 2005 sebelum ini tetapi masih tiada jawapan daripada Pesuruhjaya Warisan Negara.

Saya memetik kata kata Pengerusi Majlis Antarabangsa Tapak dan Monumen (Icomos) Malaysia, Datuk Hajeedar Majid dalam Sinar Harian pada 20 April 2016, bahawa:

"Generasi kini mempunyai hak untuk mengetahui tentang penemuan tersebut dan mereka perlu diberitahu,"

Keduanya,sewajarnya papan tanda pemberitahuan tapak sejarah yang terperinci diadakan di empat lokasi bersejarah ini serta tapak bersejarah lain seperti Batu Aceh di Batu Pahat dan Muar setelah kajian menyeluruh telah dilakukan.


MOHD AZLAN MOHD SHARIF ialah pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Berkaitan:
Batu Pahat kurun ke-20: 'Arigato', Jepun
Rio Fermoso: Kenapa saya sahaja yang tahu?

Lihat Komen
ADS