Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merujuk pada artikel Malaysiakini bertajuk 'Pensyarah saran gaji minimum penjawat awam RM2,500'.

Sekiranya cadangan ini dikuatkuasakan, saya jangka kedai-kedai akan mula naikkan harga barangan sehari sebelumnya. Bukan pertama kali keadaan seperti ini berlaku.

Ramai yang mendesak kenaikan gaji minimum sehingga ia dimasukkan dalam manifesto pilihan raya. Persoalannya, apalah guna gaji yang naik itu diiringi dengan kenaikan umum harga barangan?

Kuasa membeli tidak berubah, bahkan kesan yang lebih buruk ialah keupayaan majikan untuk membayar gaji pekerja ketika tiada jaminan penambahan pada produktiviti.

Akibatnya syarikat-syarikat akan mengurangkan kos operasi dengan mengecilkan saiz pekerja. Kesan akhirnya terhadap pekerja juga.

Persoalan pokok yang lebih penting tetapi jarang diperdebatkan ialah keupayaan negara mengekalkan kuasa beli rakyat. Desakan kenaikan gaji minimum ini semua timbul akibat peningkatan kos sara hidup.

Apakah punca kenaikan kos sara hidup? Adakah disebabkan gaji minimum? Atau sebenarnya ia berpunca daripada masalah lain seperti kadar inflasi yang tinggi (maksud saya kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi daripada angka rasmi yang dikeluarkan kerajaan)?

Ya benar, mungkin lebih 90 peratus negara di dunia mempunyai dasar gaji minimum. Tetapi adakah negara-negara tersebut boleh dijadikan model untuk meleraikan keresahan ini?

Negara-negara makmur seperti Sweden, Norway, Denmark dan Iceland tiada perdebatan gaji minimum ini kerana negara-negara tersebut tiada gaji minimum tetapi mereka kekal negara selaku yang makmur, gembira, dan kaya.

Satu persamaan yang dapat kita perhatikan pada negara-negara terbaik di dunia dari segi ekonomi ialah, kerajaan tidak terlalu melibatkan diri dalam pasaran. Pendapat saya, gaji juga adalah sebahagian daripada pasaran.

Biar pasaran menentukan keseimbangannya atau seperti yang dinyatakan pakar ekonomi Adam Smith menerusi teori invisible hand.


MOHD FAIZAL MOHD NOR ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS