Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pensyarah saran gaji minimum penjawat awam RM2,500

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Prof Barjoyai Bardai menyarankan gaji minimum untuk penjawat awam sebanyak RM2,500.

Beliau berkata, RM2,500 itu merupakan jumlah paling minimum bagi menampung keperluan hidup terutamanya di bandar-bandar.

“RM2,500 adalah tahap keperluan hidup minimum di Malaysia. Sepatutnya semua kakitangan kerajaan mendapat gaji minima untuk cukup hidup.

“Kerana itu matlamat kerajaan untuk memastikan bahawa semua warga di Malaysia mencapai tahap keperluan minima untuk hidup selesa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menjelaskan lanjut, Barjoyai berkata kenaikan gaji bagi penjawat awam juga tidak boleh terbatas kepada anggota polis sahaja tetapi sewajarnya terhadap semua penjawat awam yang berpendapatan kurang daripada RM2,500.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan serta ketua-ketua jabatan perlu memastikan kenaikan gaji tersebut layak diperolehi dengan menekankan aspek produktiviti mereka.

Katanya, kalau diikutkan, jumlah tersebut merupakan tahap yang sangat rendah berbanding perkiraan Bank Negara Malaysia tahun lalu.

Naik gaji agar tak terjebak rasuah

BNM menetapkan paras gaji di Kuala Lumpur pada 2016, dengan mengikut garis panduan negara maju sepatutnya dianggarkan sebanyak RM2,700 bagi golongan dewasa, RM4,500 untuk pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak.

“Maknanya itu satu keperluan. Tapi mungkin pelaksanaannya boleh dilakukan secara beransur-ansur mengikut peningkatan produktiviti.

“Jadi di masa yang sama, kerajaan dan semua ketua jabatan di sektor kerajaan perlu menekankan perspektif produktiviti pekerja bagi memastikan yang semua pekerja memang layak mendapat gaji lebih daripada RM2,500 itu,” kata Barjoyai.

Pada 10 Jun lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Ia turut disokong oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda, khususnya di kalangan anggota keselamatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak terjebak dengan rasuah.

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), berikut merupakan jawatan dan gred gaji anggota polis; Inspektor gred YA13 memperolehi gaji minimum RM2,329 dan gaji maksimum RM8,883, sarjan gred YA6 (RM1,711 - RM5,199), konstabel gred YA1 (RM1,014 - RM3,517), konstabel sokongan gred YS1 (RM852 - RM2,408) dan konstabel Orang Asli gred YTS 1 (RM966 - RM2,663).

Kenaikan akan tambah defisit negara

Walaupun begitu, Barjoyai menjelaskan, kerajaan akan menanggung penambahan defisit jika gaji penjawat awam dinaikkan.

Katanya, ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan telah kehilangan pendapatan sekitar RM20 bilion selepas menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Walaupun kerajaan mungkin mampu untuk membayar kenaikan gaji itu, tapi ini akan mengekangkan kedudukan dan menambahkan lagi defisit belanjawan kerajaan pada masa ini.

“Tambah-tambah lagi kita telah tambah RM20 bil kerana bertukar daripada GST kepada SST.

“Mungkin kalau diperkenalkan balik GST tu, kerajaan mempunyai tambahan kapasiti untuk menampung kenaikan gaji pekerja ini,” katanya.

Untuk rekod, sewaktu pelaksanaan GST, rakyat membayar cukai berjumlah RM44 bilion kepada kerajaan berbanding anggaran kira-kira RM20 bilion yang akan dikutip menerusi cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

GST yang dikenakan pentadbiran BN pada kadar 6 peratus dan dilaksanakan pada April 2015 hingga Mei 2018.

Setelah PH mengambil alih pemerintahan, GST digantikan dengan sistem cukai lama iaitu SST pada kadar 10 peratus.

Barjoyai turut mengulas mengenai pendedahan Azih yang dilaporkan Sinar Harian pada Mei lalu, tentang sekumpulan penjawat awam berdepan dengan masalah hutang kerana meminjam melalui ceti haram (ah long).

Meskipun tiada statistik, namun Azih berkata maklumat yang diterima menunjukkan agak ramai agak ramai yang berhadapan masalah hutang itu.

Menurutnya, proses yang mudah berbanding meminjam melalui bank atas faktor kelayakan membuatkan mereka cendurung untuk meminjam dengan ah long.

Menurut Barjoyai lagi, situasi sedemikian menjadi suatu kebiasaan apabila pendapatan lebih rendah daripada kos sara hidup, bermaksud rakyat terpaksa hidup di luar kemampuan.

“Mereka akan cuba meminjam dengan saluran yang mudah. Saluran biasa, misalnya melalui bank adalah sangat susah. Ada saluran yang lain melalui koperasi, mungkin sudah habis diterokai.

“Mereka terpaksa pergi kepada ah long. Ini akan menyebabkan tekanan hidup yang lebih tinggi dalam jangka panjang.

“Apabila tekanan ini berlaku, kemungkinannya pertimbangan kakitangan awam ini menjadi agak pendek dan inilah yang menyebabkan wujudnya gejala rasuah walalupun kecil-kecilan,” katanya.

Prof Shazali Abu Mansor dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) turut menyokong cadangan kenaikan gaji tersebut dilaksanakan terhadap semua penjawat awam di peringkat bawahan kerana mereka turut terkesan dengan kos sara hidup di bandar.

“Bandar macam di Kuala Lumpur, kalau dibandingkan dengan luar bandar tak sama kos sara hidupnya. Kenaikan kos sara hidup di bandar-bandar lebih tinggi daripada gaji.

“Kalau nak naikkan tu bukan kat yang beruniform tapi semua penjawat awam yang tinggal di bandar-bandar besar. Itu lebih adil,” katanya.

Shazali berkata, terdapat beberapa cara lain boleh dilakukan untuk mengurangkan beban penjawat awam selain menaikkan gaji mereka.

Beliau memberi contoh seperti mengurangkan kadar faedah pinjaman dan membenarkan pegawai kerajaan mengeluarkan sebahagian daripada wang gratuiti bagi mereka yang memilih skim pencen berbanding skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Pada umur sekitar 50 tahun tu banyak komitmen seperti untuk bayar rumah, anak-anak belajar,” katanya.

Pada 11 Jun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan meneliti syor ketua polis negara supaya gaji anggota pasukan itu yang berpangkat rendah perlu dinaikkan.

"Nanti kita fikirlah," katanya secara ringkas.

Lihat Komen
ADS